Tiada apa yang dikongsi tentang isi hatinya kepada umum memandangkan masing-masing sudah mempunyai kehidupan tersendiri sejak bercerai dengan wanita tersebut pada 2015.

Malah bintang filem Eiffel I’m in Love ini juga berasa janggal untuk memberi sebarang komen semenjak awal kisah cinta Stevieanne dengan Anggi Pratama berputik, dua tahun lalu.

“Benar, tiada apa yang boleh saya perkatakan tentang kehidupan peribadi dia. Kami sudah tiada apa-apa ikatan sejak bercerai. Dia ada hak untuk menentukan apa yang terbaik buat dirinya.

“Sebagai orang luar, siapa aku untuk melontarkan pandangan terhadap dirinya. Walaupun kami pernah ada hubungan satu masa dulu, tapi itu cerita lama,” kata Samuel.

Stevianne memfailkan perceraian di Mahkamah Pengadilan Negeri Jakarta Selatan selepas mengakui sudah tiga tahun berpisah ranjang dengan bintang filem My Idiot Brother itu.

Pasangan itu berkahwin pada 12 Februari 2012 sebelum dikurniakan seorang anak perempuan, Drucilia Kalea Arifin.

Biarpun ada pihak yang mengaitkan paparan gambar berlatar belakangkan Menara Eiffel di Kota Paris yang dimuat naik dalam Instagram merujuk kepada kekecewaan hatinya selepas cinta dilukai Stevienne, Samuel menafikan perkara tersebut.

Sebaliknya dia menyatakan tujuan gambar tersebut dikongsi hanyalah untuk menguar-uarkan projek terbarunya, filem Eiffel I’m in Love 2 yang bakal menanti penonton tahun depan.

Perkahwinan baharu Stevianne berlangsung dengan meriah di kota Jakarta, hujung minggu lalu. Suami baharunya adalah seorang juruterbang dan perkahwinan ini menjadi perbualan ramai apabila wanita itu dikatakan sudah hamil terlebih dahulu.

Pendedahan itu dibuat oleh seorang penggiat industri yang dikatakan turut terlibat dalam pasukan perancang perkahwinan Stevianne. Pun begitu wanita tersebut tidak pernah mengambil pusing tentang cerita itu. Apa yang penting adalah keluhuran cintanya dengan Anggi dan rasa cinta itu terlihat melalui keazamannya untuk menjadi isteri solehah pada masa depan setelah dia memeluk agama Islam beberapa bulan sebelum bernikah lagi.