AKTIF SELEPAS PANTANG

Nurul bakal menjayakan persembahan sempena sambutan Hari Ibu

NURUL bakal menghibur peminat di Singapura sempena sambutan Hari 2
NURUL bakal menghibur peminat di Singapura sempena sambutan Hari Ibu , Mei ini.

Hampir dua tahun menyepi, aktif semula dalam dunia nyanyian sememangnya menjadi kerinduan buat Nurul Wahab.

Mengambil masa selama dua tahun adalah jangka masa yang lama tetapi jelas Nurul, tempoh itu diberikan khusus untuk dia memberi fokus sepenuhnya kepada keluarga.

“Sepanjang tempoh masa itu, saya memberi tanggungjawab sepenuhnya sebagai isteri dan ibu. Itu peluang yang saya ada,” jelasnya.

Tambah Nurul, sepanjang tempoh menyepi itu juga, dia banyak belajar betapa pentingnya kehidupan untuk diluangkan bersama keluarga.

Hasil perkahwinan antara Nurul Wahab dengan Eric Daniel Depp, pasangan ini telah dikurniakan dua cahaya mata, Zachery Depp dan Raphael Depp.

Baru selesai berpantang selepas melahirkan anak kedua pada 15 Januari lalu, jelas Nurul, pelbagai perkara yang perlu difikirkan sebelum mahu kembali aktif.

“Sekian lama saya berehat, saya banyak memerhatikan industri seni tempatan dan itu membuatkan saya begitu teruja untuk kembali ke bidang seni.

“Namun, bukan mudah untuk kembali aktif. Pelbagai perkara yang perlu diambil kira termasuklah daripada segi imej dan stamina saya,” jelasnya.

Jelas wanita ini, dia kini dalam proses untuk mendapatkan tubuh yang ideal kembali dan mungkin akan tampil dengan imej terbaharu.

Jika sebelum ini, wanita ini sinonim dengan gaya seksi, namun dengan kemunculan semula Nurul, dia merasakan perlu lebih sesuai dengan statusnya kini.

“Saya tukar sedikit imej untuk menyesuaikan ia dengan peredaran masa dan usia. Sisi yang lebih matang akan ditonjolkan terutamanya daripada segi imej.

“Dengan status ibu dan isteri saya merasakan agak keterlaluan jika saya tampil seksi. Itu yang saya pilih untuk sadurkan imej elegan dan sopan sesuai dengan status saya,” jelasnya.

Mengulas mengenai kerjayanya, jelas Nurul, dia kini sedang mengintai peluang untuk meluaskan kerjayanya ke negara lahir suaminya, Perancis.

“Saya sekarang dalam perancangan untuk merakamkan sebuah lagu berbahasa Perancis untuk mencuba pasaran di negara itu,” jelasnya.

Lagu itu dijangka akan siap bulan hadapan tetapi tidak tahu bila dijangka akan keluar untuk menemui peminat.

“Buat masa ini, saya masih lagi mencari syarikat rakaman tetapi masih belum ada sebarang perbincangan lagi,” jelasnya.

Belum ada sebarang perjanjian dengan mana-mana pihak di Perancis, perkara itu masih lagi dalam perancangan ketika kerjaya nyanyian dalam industri seni tempatan tetap menjadi keutamaan.

Pilih orang Singapura

Sudah hampir 20 tahun menyanyi, jelas Nurul, kembalinya ke bidang seni juga adalah kerana peminat.

Dek kerana permintaan itu juga, Nurul kini sedang membuat persediaan untuk membuat persembahan di hadapan peminatnya di Singapura.

Kali terakhir membuat persembahan di Singapura kira-kira dua tahun lalu, jelas Nurul, ramai peminat di Singapura yang sering bertanya tentang kehadirannya ke negara itu.

“Peminat memang banyak bertanya kepada saya bila mahu hadir ke Singapura lagi dan itu yang saya ambil peluang untuk ke sana,” jelasnya.

Persembahan Nurul di Singapura itu adalah bersempena dengan sambutan Hari Ibu pada bulan Mei depan.

Tambah Nurul, peminatnya di sini boleh turut serta untuk mengikutnya ke Singapura bukan sekadar melihat persembahannya, tetapi juga melancong bersama di sana.

Pakej percutian selama tiga hari dua malam itu akan bermula pada 8 Mei hingga 10 Mei, manakala persembahan akan diadakan pada 9 Mei.

Pakej itu adalah kerjasama dengan syarikat pelancongan IGNS Holidays yang turut menyediakan penginapan di hotel bertaraf lima bintang dan penerbangan dengan harga RM3,288.

Bercerita tentang persembahannya malam itu, jelas Nurul, dia akan menghiburkan para ibu selama lebih satu jam setengah.

Tambah menarik, malam itu juga bakal menyaksikan dia meraikan 20 tahun usia perjalanannya dalam industri seni suara.

Antara lagu yang bakal dinyanyikan ialah Cinta, Tangis Syukur dan Tertutup Hati.

Latest

Latest

Latest

Latest

Lagi Artikel Hiburan
Anda juga mungkin meminati