Mengambil inspirasi daripada sukan permotoran (drift) menjadi intipati utama kepada pengarah Nevin Hiong untuk mengembangkan idea ke layar perak.

Menerusi filem Kampung Drift yang bakal ditayangkan 4 Ogos ini, ada kelainan yang cuba ditampilkan.

Drift sendiri bukan lagi sukan asing kepada rakyat Malaysia malah mempunyai pengikutnya sendiri.

Menggunakan nama-nama popular seperti Pekin Ibrahim, Shafie Naswip, Pablo Amirul dan Fatin Afeefa, produksi Mico Studio (M) Sdn. Bhd., menjalinkan aksi drift dan elemen kekeluargaan dalam filem ini.

Pekin sendiri tidak menafikan yang filem Kampung Drift memberikan perspektif baharu bagi sinema tempatan.

“Apabila membaca sahaja skrip buat kali pertama, saya tahu filem ini bakal memberikan kelainan secara total. Sebab itu saya tak berfikir panjang untuk menyatakan persetujuan untuk terlibat sama.

“Apabila dilihat kembali kepada keseluruhan cerita Kampung Drift, fokus utama bukan kepada drift itu sendiri tetapi masih ada elemen kekeluargaan yang dekat dengan penonton.

“Gabungan-gabungan ini yang mencantikkan lagi keseluruhan filem,” kata Pekin.

Menjalani penggambaran selama sebulan pada tahun lalu, pastinya setiap aspek diambil kira oleh pengarah termasuklah lagak drift yang menggunakan khidmat profesional untuk menghidupkan keseluruhan cerita.

Perincian-perincian itu ada kalanya membuatkan tidak banyak babak dapat dilakukan dalam masa sehari dan menjadikan filem berkenaan mengambil masa yang panjang untuk dirakam.

“Ini adalah kekuatan Nevin sebagai pengarah apabila dia begitu teliti dengan setiap yang dihasilkan. Setiap babak drift nampak hidup dan bukan dibuat-buat atau sekadar melepaskan batuk di tangga.

“Begitu juga dengan babak aksi. Mereka ‘korbankan’ sebuah kereta untuk adegan kereta terbalik.

“Saya sendiri sudah melihat keseluruhan filem ini dan saya yakin filem ini bakal diterima,” tambah Pekin.

Teruja

Mengulas lanjut mengenai kekuatan setiap pelakon, Pekin yang berpengalaman luas dalam bidang ini menyifatkan pembabitan Shafie dan Pablo sebagai penguat Kampung Drift.

Kedua-dua pelakon tersebut mempunyai karisma dan kekuatan tersendiri dan pastinya tumpuan terarah kepada Shafie yang sudah diangkat memenangi beberapa anugerah lakonan sebelum ini.

“Apabila bercakap soal filem pastinya kekuatan setiap pelakon juga perlu diambil kira. Untungnya filem ini memilih pelakon-pelakon yang sudah berpengalaman dan tahu yang perlu dilakukan.

“Jadi tak banyak masalah bila berada di set,” ujar Pekin lagi.

SINOPSIS

Kampung Drift yang merupakan gabungan antara aksi, komedi dan sains fiksyen berkisahkan tentang Johan lakonan Shafie yang amat meminati sukan drift.

Walaupun ditentang keras oleh ayahnya untuk menyertai sukan tersebut, minat Johan terhadap drift tidak pernah pudar.

Bersama-sama kawan baiknya, Bojeng, pakciknya, Ajoi, dan saintis ‘gila’, Pak Idon, dia menggunakan semua kesempatan untuk melibatkan diri secara aktif dalam sukan pemotoran itu.

Minat Johan mula bertukar menjadi sebuah impian besar apabila dia mendapat tahu sejarah hitam ayahnya yang berkait rapat dengan sukan drift.

Namun penglibatan Johan dalam sukan itu menghadapi jalan sukar apabila dia terlibat dalam pelbagai konflik diri, masalah cinta dan persaingan di antara Julia, Shiela dan Ray yang juga merupakan drifter ternama dari Kuala Lumpur.