Yakin untuk melaksanakan tanggungjawab dengan baik. Dalam masa yang sama dia merasakan fasa ini adalah sangat penting buat dirinya yang masih mentah dalam soal agama suci ini.

Justeru, dia masih belajar untuk menyempurnakan segala amalan ke arah menjadi umat Islam yang lebih baik dan sempurna.

Pun, tidak melihat tekanan sebagai sesuatu yang perlu melemahkan semangatnya untuk menjadi seorang Muslim yang baik, cukup untuk orang lain tahu bahawa dia ikhlas mendalami ilmu agama.

“Bulan Ramadan ini memang saya sudah sediakan jadual untuk bahagi masa. Antara belajar agama dan bekerja, ada jadual yang perlu saya patuhi. Saya senang sekali kerana sudah mempunyai seorang ustazah untuk mengajar hal agama di rumah kami.

“Bagi saya pengajian ini perlu berlaku secara berperingkat-peringkat. Dalam masa yang sama tidak terlalu drastik. Sebab saya bukan sahaja mahu belajar tetapi mendalami agama ini dengan baik dari semasa ke semasa,” katanya.

Bercakap soal tekanan yang diberikan, ternyata penyanyi yang asal Sabah ini bijak mencatur langkah. Buat masa sekarang, apa yang perlu dielakkan adalah untuk berasa malu dan trauma. Ini bagi memastikan ilmu baharu berjaya diserap dengan baik.

“Buat masa sekarang pengajian saya lebih di rumah bersama suami. Malah dalam masa yang sama juga tidak putus mendapatkan ilmu melalui pembacaan buku-buku ilmiah.

“Sebagai saudara baharu banyak perkara yang perlu kita timbangkan. Saya tidak mahu nampak terlalu berubah sampaikan keluarga kandung berasa kehilangan saya. Jadi tidak mengapa untuk mengambil masa yang lama sedikit dalam mendapatkan ilmu. Selain itu, saya juga mahu membiasakan diri dalam banyak perkara, itu lebih baik,” katanya.

Bercerita serba sedikit momen di rumah dengan suaminya, Stacy sangat bersyukur untuk mempunyai seseorang yang tidak lokek membimbingnya. Malah ketika ini sembahyang berjemaah adalah perkara yang mereka tidak akan tinggal, untuk dilakukan bersama.

“Memang agak sukar sebenarnya untuk menghafal surah-surah. Mungkin lenggok bahasanya. Buat masa ini fokus apa yang wajib dahulu seperti menunaikan solat lima waktu.

“Selalunya juga Akim bertanyakan kepada saya, apakah saya mahu dia membaca secara normal atau lebih lambat untuk solat bersama-sama? Kadang tu kalau dia baca secara normal saya memang tidak terkejar juga,” katanya, dalam senyum.

Ditanya mungkin ada nasihat yang mahu dikongsi kepada bakal isteri penyanyi Hazama, Genervie Kam. Hazama dan Akim adalah sahabat baik dan kebetulan penyanyi Di Amaran Mama itu juga bakal bernikah dengan wanita bukan Melayu yang bakal memeluk Islam. Stacy nampaknya lebih mahu berkongsi apa yang sedang dia lalui. Ketika ini, jangan terlalu fikirkan tekanan yang ada, tetapi kemahuan diri sendiri untuk menimba ilmu baharu.

“Lambat atau cepat kita belajar bukan sesuatu yang perlu dirisaukan. Pokok pangkalnya, niat hati yang mahu belajar. Bagi saya lebih baik ilmu yang kita dapat itu digunakan dan difahami dengan baik, selain kita belajar tetapi sebenarnya kosong,” katanya.

Melihat peluang yang ada kini, Stacy juga tidak menolak mahu menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Terbaharu, dia dan suami sudah pun mempunyai minyak wangi sendiri di bawah jenama Obsess.

“Saya tidak melihat ini sebagai trend. Tetapi lebih kepada peluang untuk kami menceburkan diri dalam perniagaan yang kami suka. Ini adalah sesuatu yang baharu, tetapi permulaan yang baik untuk kami lebih berani dalam bidang bisnes,” katanya yang turut memberitahu Akim bakal melancarkan jenama pakaiannya tidak lama lagi.

Selain perniagaan, pasangan ini juga sering dilihat bersama dalam kempen-kempen iklan terkemuka. Melihat ini sebagai rezeki, kata Stacy ini tidak bermakna dari segi karier nyanyian juga akan menyaksikan perkara yang sama.

Buat masa ini dia lebih senang menguruskan urusan nyanyian sendiri, tanpa bersatu di bawah bumbung yang sama dengan si suami.

“Kami lihat ini rezeki, sementara ada peluang kami tidak mahu menolak tawaran yang datang.

“Namun dari segi karier nyanyian sebenarnya kami masih berbeza. Saya dan Akim mempunyai haluan yang berbeza dalam hal ini,” katanya.

Belum tarawih di masjid

HASRAT besarnya adalah untuk sama-sama mengerjakan solat tarawih di masjid bersama suami sepanjang Ramadan kali ini. Bagaimanapun, ada sebab kenapa dia belum bersedia untuk melakukan ibadah itu secara berjemaah di masjid. Dalam keadaan masih baharu dengan agama suci ini, adalah lebih baik untuk dia memahami apa yang wajib dahulu sebelum mampu meneruskan ibadah sunnah yang lain. Untuk itu, Stacy lebih senang memastikan dirinya benar-benar bersedia untuk mencari fadilat tarawih di masjid.

“Bila orang tanya sudah belajar setakat mana, saya jadi takut. Kita risau tidak sampai apa yang mereka harapkan. Jadi, saya fikir tidak mengapalah, yang penting saya akan terus berusaha untuk belajar. Dalam masa yang sama ikhlas melakukan semua ini, tanpa rasa terbeban,” kongsinya.

Bakal menyambut hari raya ini tanpa suami, walaupun ini kali pertama dia bakal menyambut Aidilfitri sebagai isteri namun bukan sesuatu yang merunsingkan. Tentunya sambutan hari raya ini akan bersama keluarga mentua di Johor Bahru. Ini kerana Akim akan berada di Tanah Suci untuk mengerjakan umrah bersama ahli kumpulan The Majistret bermula 22 Jun ini.

“Kalau Akim pergi bercuti dan meninggalkan saya menyambut Aidilfitri seorang mungkin saya boleh marah, tak puas hati. Tetapi, dia pergi menunaikan umrah, jadi saya reda sahaja. Lagipun tidaklah sedih sangat mungkin perkara ini juga masih baharu buat saya. Saya dan anak, Bella akan menyambut hari raya kali ini bersama keluarga mentua di Johor,” katanya.

Terbaharu untuk diceritakan, dia dan suami sudah pun mempunyai minyak wangi sendiri bawah jenama Obsess.

“Saya tidak melihat ini sebagai trend. Tetapi lebih kepada peluang untuk kami menceburkan diri dalam perniagaan yang kami suka. Ini adalah sesuatu yang baharu, tetapi permulaan yang baik untuk kami lebih berani dalam bidang bisnes,” katanya yang turut memberitahu Akim bakal melancarkan jenama pakaiannya tidak lama lagi.

Selain perniagaan, pasangan ini juga sering dilihat bersama dalam kempen-kempen iklan terkemuka. Melihat ini sebagai rezeki, tidak bermakna dari segi karier nyanyian juga akan menyaksikan perkara yang sama.

Buat masa ini dia lebih senang menguruskan urusan nyanyian sendiri, tanpa bersatu bawah bumbung yang sama dengan si suami.

“Dari segi karier nyanyian sebenarnya kami masih berbeza. Saya dan Akim mempunyai haluan yang berbeza dalam hal ini,” katanya.

Nampaknya bukan sahaja Stacy yang seronok belajar solat, anaknya, Bella yang berusia empat tahun juga turut serta.

Stacy memang suka memasak untuk Akim dan keluarga kecilnya ketika berbuka puasa.

Untuk wangian yang baharu diperkenal, ia mewakili personaliti diri Stacy sendiri.

Kali pertama mencuba untuk berpuasa, Stacy mengakui dia pernah menggigil demam.