Mengakui sukar untuk menggalas cabaran itu, Pengarah Teater Bangsawan, Jelitawan dan Lelaki Haiwan, Rosnan Nordin berkata, dia mengambil masa lebih sebulan untuk menulis skrip dan menggubah lagu yang sesuai dengan naskhah agung itu.

Malah, Rosnan memberitahu, cabaran sebenar adalah untuk mengolah karya itu supaya relevan dan bertepatan dengan selera penonton. Bahkan, karya ini merupakan cerita dongeng yang sering didengar sejak kecil lagi.

Pengarah ini juga mengakui terpaksa membaca lebih 10 kali karya ini sebelum menulis skrip supaya tidak lari daripada cerita asal. Malah, menulis lagu baharu untuk persembahan ini juga memerlukan masa yang lama.

“Karya ini sangat popular dan untuk adaptasi kepada sebuah teater muzikal adalah satu cabaran yang berat. Namun, untuk persembahan ini, kita akan menitikberatkan elemen visual dan teknologi.

“Teater bangsawan memerlukan satu evolusi namun ada format-format yang tidak boleh diubah. Jalan cerita kekal cuma dari segi garapan cerita dan prop diperkemas supaya relevan dengan cita rasa kini,” katanya kepada Mega Budaya.

Memilih pelakon yang bukan dalam kalangan artis popular, Rosnan mempunyai alasan tersendiri. Dia mahu memberi peluang dan yakin dengan kemampuan barisan pelakon yang juga merupakan kakitangan Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara (JKKN).

Rosnan juga mendedahkan, proses mencari pelakon yang sesuai memakan masa hampir setahun kerana dia mahu mengenali peribadi setiap pelakon terlebih dahulu dan mengolah watak itu mengikut kesesuaian pelakon.

Malah, kesibukan barisan pelakon dan kru produksi yang juga bertugas di JKKN mengehadkan waktu latihan. Namun, mereka tidak pernah lupa akan komitmen serta disiplin untuk menjayakan teater yang mengakhiri Siri Semarak Bangsawan 2016 anjuran jabatan tersebut.

“Naskhah ini mempunyai mesej tersirat yang sesuai dengan masyarakat kita. Tentang sifat baran seorang lelaki yang disumpah namun akhirnya tewas dengan kelembutan seorang wanita yang akhirnya membuahkan rasa cinta.

“Karya ini saya garapkan semula supaya sesuai dengan semua lapisan masyarakat. Kanak-kanak sehingga warga emas boleh datang menonton dan berhibur. Dalam pada masa yang sama, banyak nilai murni yang dapat disampaikan,” katanya.

Teater bangsawan Jelitawan dan Lelaki Haiwan ini akan dipentaskan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermula 11 November sehingga 13 November depan. Pas masuk berharga RM10, RM20 dan RM30 akan dikenakan untuk penonton. Menariknya, sebahagian hasil kutipan akan disumbangkan kepada tokoh-tokoh seni budaya yang sedang sakit dan uzur.

Tiket boleh ditempah melalui talian telefon 03-26148200/ 8262. Peminat perlu segera mendapatkannya kerana setakat ini, sambutan cukup menggalakkan dengan hampir 80 peratus tiket telah dijual.