Namun, selepas bergelar juara pertandingan Gegar Vaganza musim terbaru, namanya menyinar semula. Kegemilangan satu ketika dahulu muncul kembali sekali gus menaikkan semula kerjaya nyanyian yang mengalir dalam batang tubuhnya.

Adat industri, semakin popular seseorang penyanyi itu, semakin tinggilah bayarannya. Namun bagi Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana, popularitinya tidak sedikit pun membuat dia berasa tamak atau mencipta ruang untuk pentingkan diri sendiri.

Bercakap kepada Hits, Nana percaya, ramai yang mula khuatir sekiranya dia mula meletakkan harga yang tinggi untuk melakukan persembahan.

“Saya sedar diri dan tidak berubah. Dahulu, waktu saya kekurangan tawaran nyanyian, bayaran macam mana sekalipun saya tetap ambil tanpa banyak berkira,” luahnya.

Bagi ibu tunggal ini, nyanyian adalah salah satu daripada punca pendapatan utamanya untuk menyara diri bersama anak, Mohamad Rayyan Nakhaie, 6.

Cuma buat masa ini, bayarannya terpaksa berubah sedikit atas beberapa faktor untuk memberikan yang terbaik semasa membuat persembahan.

“Kalau dulu, orang panggil menyanyi, saya pergi sahaja tanpa tanya pun berapa mahu bayar. Kini berbeza sedikit kerana saya buat persembahan bersama dengan orang lain juga.

“Sebelum ini saya buat solekan sendiri, tetapi kini saya ada jurusolek sendiri dan mereka juga perlu bayaran. Begitu juga dengan jurutera bunyi yang saya bawa.

“Jadi, duit yang saya ada itu dibahagi sama rata bersama mereka yang bersama dengan saya untuk menjayakan persembahan. Bukan untuk saya seorang sahaja,” jelasnya.

Ternyata, selepas bergelar juara, mutu persembahan perlu dijaga. Untuk memberi yang terbaik, perlu dibantu dengan team sokongan yang sama hebat.

Namun, baginya jika ada yang memerlukan dia untuk menyanyi tetapi tidak mempunyai modal yang mencukupi, masih boleh dibawa berbincang.

“Kalau ada peminat yang mahu saya menyanyi sewaktu majlis perkahwinan misalnya, saya boleh sahaja lakukan. Tetapi selalunya peminat yang setia dengan saya sejak dahulu lagilah,” jelasnya dalam ketawa.

Sesuai dengan kerjaya nyanyiannya yang kembali meriah, Nana telah membeli mikrofon khas. Pada mulanya khuatir juga jika dikatakan berlagak kerana menggunakan mikrofon sendiri, tetapi itulah nasihat yang diterima daripada guru vokalnya, Cikgu Shafi.

“Cikgu Shafi kata, nada suara saya yang rendah memerlukan sokongan menerusi mikrofon. Tekak saya boleh cedera jika terus menerus memaksa vokal keluar.

“Kalau saya bercakap, suara saya sangat perlahan. Bila ada mikrofon sendiri, kita boleh sesuaikan ketinggian suara tanpa mengganggu keselesaan ketika menyanyi.

“Lagipun, kalau guna mikrofon yang disediakan, banyak perkara yang perlu dikawal semula. Jadi, perkara itu akan menyusahkan beberapa pihak.

“Itu yang saya ambil inisiatif untuk menggunakan mikrofon sendiri yang sudah diubah suai untuk memenuhi kemampuan vokal saya,” katanya.