.Namun sangkaan itu meleset sama sekali, minggu lalu ketika tayangan perdana filem, dilihat ada di antara penonton filem ini sanggup membawa anak bersama. Itu antara senario awal, yang menandakan AADC2 bakal membawa fenomena yang berbeza berbanding 14 tahun lalu.

Saya juga sempat menemu ramah pendukung utama filem ini, ikutilah apa pandangan mereka mengenai AADC2.

AADC2 juga ditayangkan di 90 pawagam seluruh negara dan tayangan di Indonesia serta Brunei juga sama tarikh dengan di Malaysia iaitu pada 28 April lalu.

Tanpa tekanan – Nicholas

Hits: Selepas 14 tahun kamu pernah terfikir untuk kembali menjayakan sekuel filem AADC2?
 

Nicholas: Tidak sebenarnya. Kami sudah berada di keadaan di mana yakin sudah tidak ada sekuel untuk filem ini. Namun bila diberitahu kami akan menjayakan filem kedua, perasaan itu sendiri sebenarnya masih terkejut. Pastinya bukan saja saya, malah peminat juga sebenarnya terkejut dengan kemunculan filem sekuel AADC.

Bagaimana kamu melihat filem AADC2?

Filem ini lebih kepada pertemuan kembali kami semua dan tentunya idea untuk sekuel filem ini adalah yang terbaik. 

Sebelum ini pernah menjadi filem pecah panggung, jadi ada tekanan buat kamu sendiri untuk AADC2?

Sebenarnya tidak. Secara peribadi saya tidak pernah mahu membebankan fikiran saya ke arah itu. Cuma apa yang paling saya pentingkan adalah komitmen saya dalam filem ini.

Susah atau tidak untuk mewujudkan semula keserasian dengan Dian Sastrowardoyo dan pelakon lain?

Itu adalah perkara terakhir yang saya fikirkan ketika menjalani penggambaran filem ini. Tidak ada masalah langsung untuk kami semua wujudkan apa yang pernah ada selama ini. Tambahan pula pada masa yang sama rutin seperti diskusi dan kelas sebelum penggambaran juga memudahkan kami mewujudkan emosi yang sama.

Bezanya saya sudah tua – Dian

Hits : Apa yang berbeza tentang kamu kini dan 14 tahun lalu?

Dian: Tentunya saya lebih tua dalam filem ini, bagaimanapun tidak dinafikan AADC yang pertama saya masih remaja, jadi teknik lakonan itu juga berbeza. Namun kini semuanya lebih senang buat kami semua, dari segi untuk mewujudkan emosi dan persiapan itu boleh dikatakan mudah. Mungkin secara dasarnya tahap profesional kami itu berada di tahap berbeza kini.

Ada yang membayangkan gandingan Dian dan Nicholas diibaratkan sebagai Kajol dan Shah Rukh Khan, komen?

Saya tidak tahu bagaimana untuk disamakan. Namun saya anggap itu sebagai pujian dan sangat berterima kasih.

Apa bezanya AADC berbanding filem Dian yang lain?

Tidak boleh saya bezakan, setiap projek punya kelebihan dan setiap filem itu akan membawa pengalaman yang berbeza buat saya. Soalnya sekarang setiap filem yang saya jayakan akan memberi kepuasan yang berbeza.

Ada keyakinan atau tidak AADC2 bakal mengumpul peminat baharu, yang sebelum ini tidak mengikuti yang pertama?

Saya tidak boleh bercakap dari pihak mereka. Bagaimanapun apa yang boleh saya harap agar penonton baharu akan menyukai sebagaimana kami. Ikutkan ini merupakan kali ketiga untuk saya menonton AADC2 dan perasaannya juga tiap kali sama iaitu teruja.

Karmen, Maura, Milly penambah rasa

Selain Cinta, antara watak yang turut mendapat tempat di hati penonton adalah tiga sekawan iaitu Karmen lakonan Adinia Wirasti, Maura lakonan Titi Kamal dan Milly lakonan Sissy Priscilia. Walaupun pada mulanya saya beranggapan mereka hanya “gila” di dalam filem, namun melihat keserasian yang dipamer ternyata tiada lakonan dalam persahabatan sebenar mereka.

Hits: Antara bonus terbesar filem ini adalah untuk melihat selepas 14 tahun Maura sudah berkahwin dan mempunyai anak, dan apa yang paling hebat suami kamu dalam filem ini adalah lakonan Christian Sugiono yang juga suami sebenar kamu. Perasaan untuk kembali dalam AADC2 bersama suami sendiri?

Titi Kamal: Sangat bangga sebenarnya kami suami isteri berlakon dalam filem yang boleh dianggap legenda ini. Bukan suami saya sahaja, tetapi anak saya juga muncul dalam salah satu babak dalam filem ini. Malah apa yang paling lucu pembantu rumah saya juga turut ditampilkan (ketawa).

Hits: Watak Milly dalam AADC cukup spontan dan disukai, komen kamu sendiri sebagai pendukung watak?

Sissy: Terima kasih dengan pujian, tetapi ada yang beranggapan watak ini sebenarnya mempamerkan watak seorang yang bodoh. Namun sebenarnya apa yang cuba digambarkan Milly, dia adalah seorang yang suka memikirkan sesuatu yang berbeza. Walau bagaimanapun sangat seronok sebenarnya untuk mengetahui ada yang suka akan lakonan saya.

Hits: Ada yang percaya Karmen dan Adinia itu adalah orang yang sama, benar?

Adinia: Ini bukan kali pertama saya mendengarnya. Sukar untuk saya menjelaskan perasaan ini apabila ada yang berkata begitu. Di satu keadaan saya anggap itu sebagai pujian, namun bila ada yang mula memberi pendapat berbeza jadi saya sendiri keliru sebenarnya. Namun apapun pendapat mereka saya sangat senang untuk membawakan watak Karmen dalam AADC dan AADC2.- Gambar MOHD. FARIZWAN HASBULLAH 



Belum terfikir AADC3

Selaku pengarah filem ini, ada riak puas pada wajah Riri Riza yang sangat senang dengan sambutan diterima di negara ini. Dalam yakin pengarah muda ini memberitahu, tempoh 14 tahun untuk AADC kembali ke layar perak adalah waktu yang sangat sesuai.

Ketika sudah ada pertanyaa apakah akan muncul sekuel ketiga, Riza memberi jawapan yang berada di persimpangan.

Masih belum tahu! “ Katanya. Menurut Reza, belum ada sebarang perbincangan yang dibuat sama ada ia akan berlaku atau sebaliknya.

“Sebab utama ialah kami mahu lebih memberikan tumpuan kepada AADC2.

“Sejujurnya, untuk yang ketiga itu, saya tidak ada jawapan. Saya juga tidak tahu apakah ia akan ada atau sebaliknya,” katanya lagi.

Barangkali banyak menganggap sukar untuk mengumpulkan kembali nama-nama besar dalam AADC2, menurut pengarah ini dia menanganinya dengan mudah.

“Mereka semua mula dikenali melalui AADC lagi, 14 tahun lalu. Jadi kebanyakan mereka begitu dekat dengan filem ini.

“Sejujurnya, tidak ada masalah. Cukup hanya perlu meyakinkan mereka untuk kembali berlakon bersama seperti dulu, itu sahaja,” katanya lagi.

Indah khabar dari rupa

Menjadi antara yang pertama menyaksikan sekuel filem Ada Apa Dengan Cinta 2 (AADC2) pastinya akan kekal dalam lipatan sejarah sebagai seorang wartawan hiburan, tetapi malam itu juga memberi satu pengajaran yang cukup bermakna kepada hidup saya dalam meneruskan kerjaya ini.

Bersaksikan ratusan pihak media yang ada di situ, kedua pelakon utama, Nicholas Saputra dan Dian Sastrowardoyo menunjukkan belang sebenar siapa diri mereka.

Tiada senyuman mahupun kata-kata mesra, mereka hanya duduk terpaku menanti soalan demi soalan diajukan pihak media, langsung tidak mesra. 

Mungkin mereka penat atau tidak punya ‘kuasa’ melayan soalan yang bertubi-tubi sehinggakan langsung tiada riak yang melambangkan persahabatan?

Pada satu ketika, kedua pelakon itu duduk bersebelahan dan di hadapan mereka dituju soalan daripada puluhan wartawan. Tidak tahu hendak dijawab yang mana satu, mereka berpaling dan berpecah kepada dua kumpulan.

Satu soalan ditanya, “Adakah Dian bersedia untuk menerima kritikan kerana sekali lagi, ada babak cium antara kamu dan Rangga?”

Jawabnya ringkas dalam mimik kurang suka, “Tidak ditayangkan di Malaysia bukan? Jadi apa isunya, kalau hendak tengok silakan ke Indonesia.”

Ya, tidak ada apa yang salah tentang jawapan itu. Tepat dan padat tetapi cara lontaran suaranya yang nyata jelik serta pandangan wajah yang seakan tidak berpuas hati, mematahkan hati semua berada di situ.

Dia tidak semesra Cinta yang ada dalam karya yang dibawanya. Oh, kami barangkali terlupa, di pentas itu, di hadapan kami dia adalah Dian, bukan lagi Cinta yang mesra dan penuh budi bahasa.

Sepanjang sesi temu ramah itu, langsung tiada senyuman diberikan oleh kedua pelakon ini biarpun pujian melambung-lambung diberikan.

Persoalan pertama, mengapa kamu tidak seperti Cinta yang dipaparkan cukup lembut serta mudah mesra. Mengapa begitu berbeza sekali keperibadian Rangga yang sopan? Persoalan yang tiada jawapan.

Malah, tatkala cuba untuk menemu ramah Melly Goeslow juga, kebenaran terlebih dahulu dipinta. Namun, penyanyi yang cukup saya hormati itu langsung tidak memandang saya dan hanya menggelengkan kepala. Jawapan pengurusnya mudah, “Tunggu sahaja yang lain.”

Hairannya ketika itu, Melly masih lagi leka bermain telefon bimbit dan akhirnya berlalu pergi kerana mungkin terlalu lama menunggu untuk ditemu ramah.

Berbeza sekali pengalaman ketika saya menemu ramah artis Indonesia bertaraf antarabangsa, Anggun Cipta Sasmi. Cukup ramah dan tiada langsung kegusaran atau raut jelik yang dicerminkan menerusi wajahnya. Satu persatu soalan dijawab dengan senyuman, malah dia sempat berseloroh menceritakan pengalamannya yang telah melakar nama di dalam industri seni sejak tiga dekad yang lalu.

Mungkin kesalahan tidak seharusnya diletakkan seratus peratus di bahu pelakon-pelakon dan penyanyi tersebut, namun mengapa pelakon pembantu yang lain dengan begitu mesra melayan pihak media?

Pihak pengurusan juga seakan ‘lepas tangan’ atas alasan esok akan ada temu ramah eksklusif bersama pihak media. Namun untuk esoknya, tidak semua media dijemput dan mereka terpaksa untuk bergasak mendapatkan cerita daripada pelakon-pelakon tersebut.

Malah, jurugambar yang terlibat semasa majlis tayangan dan sesi temuramah eksklusif esoknya turut meluahkan kekecewaan di atas sikap endah tidak endah pelakon-pelakon tersebut.

Mungkin jawapan kepada semua persoalan berbangkit adalah, AADC2 merupakan sekuel kepada sebuah filem cinta yang telah mencetuskan fenomena di serata dunia, untuk apa lagi dipomosikan berlebihan?

Ada apa dengan nilai sebuah promosi lagi? Tidak perlu, kerana mereka begitu yakin ia mampu untuk ‘pecah panggung’.

Saya difahamkan di Indonesia, sememangnya banyak artis memilih untuk agak kurang ‘ajar’ dengan media yang terpaksa mengejar dan mengasak mereka demi mendapatkan eksklusif.

Di sana, media dan artis jarang yang boleh bersatu atas nama persefahaman. Banyak artis melayan media sebagai musuh rasmi dalam tradisi industri mereka.

Lalu barangkali, baik Nicolas, mahupun Dian terlupa yang mereka sedang berada di Malaysia, perlu membawa budaya dan pekerti yang berbeza, seharusnya. Lalu, saya teringat kepada Datuk Rossa dan Krisdayanti. Tidak hairanlah kenapa mereka kekal sebagai ‘diva’ lebih dua dekad lamanya.