Abby

Meskipun belum bergelar penyelam profesional namun sebagai pemegang penyelam advanced beberapa tahun kebelakangan ini Abby sentiasa mencari-cari peluang untuk melakukan aktiviti berkenaan.

Justeru setiap kali ada peluang, Abby pasti merakamkan apa jua kenangan indah yang berada di depan matanya itu. Peluang keemasan sebegitu tidak wajar diabaikan begitu saja!

“Minat itu tercetus selepas saya terlibat sebagai pengacara untuk sebuah program dokumentari membabitkan masyarakat berketurunan Bajau Laut di Sabah pada 2014.

“Saya teruja melibat mereka menyelam hingga ke dasar laut tanpa langsung menggunakan peralatan khusus. Hebatnya mereka sampai langsung tidak takut untuk berenang hingga ke tengah lautan.

“Sejak itu, saya mencabar diri saya untuk berani menyelam skuba. Lama kelamaan, perasaan debaran bertukar menjadi keseronokan apabila berpeluang melibat sendiri ikan berenang depan mata.

“Melihat himpunan terumbu batu karang yang bertindak sebagai benteng dan perlindungan pantai terhadap ombak yang kuat juga membuatkan saya cukup insaf dengan segala ciptaan-Nya,” kata usahawan dalam talian ini.

Hingga ke hari, Abby berpeluang untuk menyelam di kawasan perairan Bali, Indonesia, The Great Barrier Reef, Queensland, Australia selain Pulau Perhentian (Terengganu) dan Sipadan (Sabah).

Terkini, Abby merancang untuk melakukan aktiviti berkenaan di Pulau Redang, Terengganu yang memiliki pemandangan dasar lautan tersendiri berdasarkan pengalaman penyelam skuba yang pernah ke sana sebelum ini.

Menariknya Abby tidak pernah mengeluarkan belanja yang besar pada setiap kunjungan kawasan perairan yang menjadi tumpuannya. Tidak perlu terlalu selesa dengan menempah hotel dan membiayai perbelanjaan yang mahal-mahal.

Cukup sekadar dengan membina khemah yang kecil untuk Abby dan rakan-rakan berteduh untuk beberapa hari, sudah cukup untuk Abby melepaskan ‘gian’ yang terbuku selama ini.

“Orang kata aktiviti menyelam skuba ini memerlukan belanja besar tapi saya selesa untuk bersederhana,” katanya yang turut bermain golf, mendaki gunung dan menunggang All Terrain Vehicle (ATV) bagi menikmati keindahan semula jadi.

BIODATA

  • Nama penuh: Noor Aisyah Rahmad
  • Nama singkatan: Abby Aisyah
  • Tarikh lahir: 3 Jun 1992 (25 tahun)
  • Tempat lahir: Kuala Lumpur
  • Pekerjaan: Pengacara TV sambilan
  • Moto kehidupan: Tidak pernah berkata tidak untuk satu pekerjaan yang mencabar. Teruskan berusaha!
  • Impian menyertai Gadis Panca: Saya mahu meluaskan platform bagi menggapai cita-cita bergelar Penerbit tersohor satu masa nanti.