Isterinya, Datin Fadilah Mansor berkata, keadaan suaminya sebelum itu baik-baik sahaja namun secara tiba-tiba mengadu sukar bernafas sebelum dikejarkan ke hospital.

“Kami baru pulang beraya sebenarnya, tapi dia mahu berhenti sebentar untuk membeli makanan. Secara tiba-tiba dia mengadu sesak nafas dan duduk sebentar sebelum tidak sedarkan diri.

“Dia sebelum itu okay. Makan pun macam biasa dan tidak menunjukkan sebarang masalah pernafasan. Semuanya berlaku secara tiba-tiba,” katanya kepada Utusan Online.

Penyanyi lagu malar segar, Tak Mengapa itu sebelum ini dimasukkan ke hospital akibat masalah paru-paru berair dan jangkitan kuman dan dibenarkan keluar sehari sebelum hari raya.

Turut menziarahi penyanyi popular adalah Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), Datuk DJ Dave dan Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin.

Dalam pada itu, Fadilah memohon agar semua yang mengenali suaminya untuk terus mendoakan kesihatan dan kesejahteraan penyanyi itu.

“Bila saya lihat dia sakit, separuh nyawa saya turut sakit. Saya minta semua doakan suami saya. Semoga dia cepat sembuh dan sihat seperti biasa,” katanya.

Ditanya adakah penyanyi popular itu menunjukkan sikap berbeza sebelum ini, Fadilah berkata, selera makan suaminya semakin bertambah.

“Dia ada cakap nak makan banyak supaya tambah berat badan. Sebab itu dia makan tidak berhenti. Asyik menjamu selera sahaja.

“Saya ikutkan sahaja kehendak dia tapi dalam masa yang sama, kena pantang juga. Tak boleh main makan sahaja,” katanya.- UTUSAN ONLINE