Membintangi salah satu drama yang pernah fenomena, Dia Semanis Honey dan tampil dengan lagu baharu, Terus Mencintai yang menjadi siulan ramai sehingga berjaya mengungguli carta radio tempatan membuktikan usaha wanita berusia 33 tahun ini tidak sia-sia.

Pada masa yang sama, Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana tidak putus-putus menerima tawaran undangan nyanyian atau diundang sebagai tetamu dalam majlis-majlis tertentu.

Namun kesibukan mencari rezeki yang semakin melimpah-ruah, Nana tidak pernah lupa impiannya untuk mengerjakan ibadah umrah di Tanah Suci.

Menurut ibu kepada Muhammad Rayyan Nakhaie, 9, hasrat tersebut sudah lama disimpan tetapi baru diberikan rezeki untuk dilaksanakan tahun ini.

“Sebenarnya sudah lama saya memasang niat untuk ke Mekah dan mengerjakan umrah. Sebelum ini tiada kesempatan kerana faktor kewangan dan masa. Kini, rezeki saya dalam bidang seni semakin baik jadi saya mahu melaksanakan niat tersebut.

“Dengan izin Allah SWT, saya akan berangkat ke Mekah pada 5 Disember ini dan berada di sana selama 10 hari. Saya sangat bersyukur kerana perancangan yang dibuat pada awal tahun dipermudah.

“Lebih istimewa, saya juga dapat membawa anak, ayah dan abang bersama-sama. Saya mahu berkongsi rezeki ini dengan insan yang sentiasa menyokong kerjaya dan kehidupan saya.

“Bila berada di sana, saya mahu mendoakan semua perkara yang baik seperti jodoh, rezeki, kejayaan dan kesejahteraan diri bukan sahaja untuk saya malah buat keluarga dan semua orang sekeliling,” ujar Nana yang kini banyak memperbaiki diri sebagai persediaan ke Tanah Suci.

Bercerita tentang perkembangan karier seni, anak kelahiran Felda Sendayan, Negeri Sembilan ini tidak berehat lama selepas pulang dari Mekah nanti.

Menurut Nana, sejurus kembali ke tanah air, dia akan terbang pula ke Korea Selatan bagi menjalani penggambaran drama Pengantin Musim Salju arahan Michael Ang.

Bergandingan buat kali kedua dengan Alif Satar selepas drama Dia Semanis Honey, Nana berkongsi rasa teruja untuk kembali ke set penggambaran drama adaptasi novel ini.

“Selepas pulang dari Mekah, saya akan sibuk dengan penggambaran drama Pengantin Musim Salju yang berkemungkinan akan dijalankan di Korea Selatan. Projek drama ini sudah lama dirancang.

“Selepas drama pertama saya dan Alif, Michael ada menyatakan perancangannya untuk menggandingkan kami lagi dalam drama tersebut pada musim salji tahun lepas.

“Namun rancangan itu terpaksa ditangguhkan kerana kami terikat dengan latihan serta pementasan teater muzikal Dia Semanis Honey. Jadi, disebabkan kami terlepas musim salji lalu, kami perlu menjayakan penggambaran pada hujung tahun ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Nana turut meluahkan rasa gementar apabila lagu baharunya, Terus Mencintai turut dipertanding pada separuh akhir Muzik Muzik 32 (MM32).

Menurut Nana, selain bersaing dengan ramai penyanyi baharu yang berbakat, membawa harapan peminat untuknya mara ke Anugerah Juara Lagu juga memberikan debaran buat dirinya.

“Perasaan gementar untuk bertanding kembali melanda saya sama seperti GV2 yang lalu. Kali ini saya bukan sahaja perlu bersaing dengan ramai penyanyi yang hebat dan berbakat malah turut membawa harapan peminat.

“Sebenarnya saya lebih suka menjadi peserta underdog seperti yang berlaku ketika menyertai GV2. Ketika itu saya hanya memberikan tumpuan terhadap nyanyian dan tidak perlu memikirkan pandangan orang lain.

“Pun begitu, saya akan melakukan yang terbaik bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga sebagai hadiah kepada peminat yang selama ini menyokong saya tanpa jemu,” luah ketika ditemui dalam majlis pelancaran produk kecantikan dari Kanada, Salima Skin Solution baru-baru ini.