Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

‘Ingat diri, ingat Tuhan’

AZMIL MUSTAPHA masih aktif mengadakan ceramah.
AZMIL MUSTAPHA masih aktif mengadakan ceramah.

BENARLAH, putaran masa begitu pantas berlalu. Belum sempat kita menikmati hari ini, esok menjelma dalam satu kerdipan mata. Yang ada hanya kenangan dan memori tersemat di jiwa.

Memutar masa ke tahun-tahun 80-an, tatkala itu nama Azmil Mustapha memenuhi ruang angkasa seni tanah air. Lakonannya dalam filem Ali Setan mencetus fenomena yang cukup luar biasa.

Jeritan dan sorakan peminat menjadikan dia pelakon lelaki paling popular ketika itu menyebabkan tidak ada siapa yang tidak kenal dengan Azmil si Ali Setan.

Mungkin jika digali dengan lebih mendalam, populariti yang dikecapi pelakon berusia 64 tahun ini ketika itu lebih hebat berbanding populariti yang disandang pelakon Suri Hati Mr. Pilot, Fattah Amin.

Bezanya ketika itu, tiada media sosial yang dapat menjadi tanda aras populariti. Tiada trofi dirangkul cerminan kasih sayang peminat yang sanggup mengundi. Populariti yang dikecapi cuma satu fenomena yang terus diingati.

Ditanya persoalan yang menari rancak di benak fikiran, apakah nasihat bapa kepada lima orang anak ini kepada para pelakon popular yang bersarang dalam industri?

Jawabnya mudah, ingat diri dan ingat Tuhan kerana tegasnya, tiada guna populariti yang dikecapi jika sekadar mampu bertahan seketika cuma.

Pada masa sama, Azmil mengingatkan, mengekal momentum dan nama itu satu tugas yang bukan mudah.

“Saya sebenarnya sudah lama tidak menonton televisyen. Cuma anak-anak yang kerap menyebut nama-nama pelakon popular sekarang. Saya puji mereka kerana dapat mencipta nama dalam industri hiburan.

“Cuma satu, selalu ingat diri dan ingat Tuhan. Jangan melakukan perkara-perkara yang boleh menjatuhkan maruah dan harga diri. Ramai artis yang jatuh atas sikap mereka sendiri.

“Bidang seni ini jika kita tersalah atur langkah, kita mudah terjerumus ke dalam lubuk dosa dan ‘hilang’.

“Pelakon baharu dan popular kena jaga nama diri sendiri, agama dan keluarga,” katanya yang kini selesa dipanggil Ustaz Azmil.

Tunggu dana bina pusat Islam 

Baru sahaja pulang mengerjakan umrah beberapa bulan lepas, kesihatan pelakon ini semakin pulih menyebabkan dia dengan senang hati menjalani kehidupan harian tanpa sekatan daripada doktor.

“Doktor sebenarnya menghalang saya untuk aktif dalam aktiviti berceramah. Tetapi saya cakap, kalau hendak mati biarlah ketika saya berceramah. Lepas itu, dia diam sahaja.

“Alhamdulillah, saya tetap ikut nasihat doktor untuk menjaga kesihatan.

“Sekarang semuanya stabil dan kembali pulih. Biasalah orang berusia, banyak yang longgar sana sini,” katanya sambil tersenyum.

Berbicara tentang impiannya untuk membuka pusat Islam di Negeri Sembilan, Azmil memberitahu, proses pembelian tanah sudah hampir pada fasa yang terakhir dan buat masa ini dia hanya menunggu dana untuk membina bangunan di situ.

Bakal membuka sebuah pusat Islam untuk melahirkan hafiz dan hafizah selewat-lewatnya tahun ini, Azmil bersyukur kerana banyak pihak yang sanggup menyalurkan dana untuk membantunya merealisasikan impian tersebut.

“Alhamdulillah, tercapai sudah impian itu. Tanah seluas 20 ekar itu sudah dibeli oleh seorang dermawan dari Australia. Sekarang kita cuma tunggu proses geran bertukar nama sahaja.

“Malah dana untuk kos kehidupan harian seperti makan dan tempat tinggal sudah ada pihak yang menderma. Cuma kita memerlukan dana untuk membina bangunan di situ.

“Kita mahu membuka sebuah pusat Islam yang dapat meningkatkan ilmu para hafiz dan hafizah yang ada. Mereka akan diajar bahasa Arab dan ilmu-ilmu Islam untuk kelangsungan hidup mereka,” katanya.

Beraya di negara Uncle Sam

Bersua bicara dengan pelakon yang mula mencipta nama dengan filem Mekanik ini, dia cukup berjiwa hamba. Apa sahaja persoalan yang singgah di telinganya, seraya tersenyum dia tenang menjawab.

Baginya, tiada lagi istilah rindu yang bersarang dalam hati terhadap dunia seni. Hidupnya kini hanya untuk bekalan akhirat. Yang pernah dikecapi, cukup sekadar satu ingatan.

Membuka cerita tentang sambutan raya yang bakal menjelma, Azmil memberitahu, dia bakal menyambut Lebaran di Amerika Syarikat (AS). Bukan untuk bersuka ria tetapi ada tanggungjawab yang digalas.

Bakal tampil dengan naskhah dokumentari tentang Islam, Aktor Terbaik di Festival Filem Malaysia 1986 ini bakal ‘berkampung’ di negara Uncle Sam itu selama tiga bulan.

“Raya saya belum pasti lagi sambut di mana sebenarnya. Dalam perancangan, saya akan ke AS dalam jangka masa terdekat ini. Cuma tunggu urusan visa dan beberapa hal lain selesai.

“Saya ke sana sebenarnya untuk menjalani penggambaran bagi menyiapkan dokumentari tentang kehidupan masyarakat Islam di sana bagaimana sambutan puasa, raya dan kehidupan harian mereka,” kata pelakon yang mula menceburkan diri dalam industri seni sekitar 1983.

Dokumentari yang bakal ditayangkan di layar perak ini jelas Azmil, adalah untuk membuka mata pihak luar yang selama ini memandang Islam sebagai sebuah agama yang berimej ‘ganas’.

“Saya sudah menyiapkan dua buah dokumentari sama di Ireland dan Sepanyol. Tujuannya satu, adalah untuk mereka menyelami kehidupan umat Islam di negara-negara tersebut.

“Kita mahu mempamerkan keindahan Islam yang selama ini disalah anggap oleh pihak luar. Mereka sebenarnya tidak didedahkan dengan kehidupan harian umat 
Islam di negara 
tersebut,” katanya.

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan