Walaupun cerita yang disebarkan oleh segelintir pihak ini langsung tiada asasnya namun masih ada yang percaya insiden tersebut benar-benar berlaku terhadap pasangan yang dikatakan sedang menjalinkan hubungan cinta itu.

Bagi Uqasha sendiri, dia sebenarnya terlalu penat untuk melayan kisah murahan sebegini namun tetap bersikap profesional melayan pertanyaan Pancaindera.

Dia sendiri tidak mengetahui mengapakah namanya seringkali dikaitkan dengan kisah-kisah sebegini sejak dari awal pembabitannya dalam industri seni tanah air.

Berbeza dengan pasangannya, Syafiq Kyle yang dilihat mengelak dan seboleh-bolehnya enggan lagi melayan kisah tersebut.

Walaupun agak sukar untuk mendapatkan penjelasan daripada aktor yang berusia 23 tahun itu lantaran kesibukan di lokasi penggambaran, akhirnya dia membuka mulut tentang perkara tersebut.

Tegasnya, dia mahu kisah tersebut tidak lagi diungkit memandangkan tiada yang harus atau perlu diulas.

“Kalau betul saya dipukul oleh Syafiq, sudah tentu ada laporan polis yang dibuat. Saya sendiri tak tahu dari mana datangnya cerita begitu dan tiba-tiba sahaja nama saya panas,” tegas Uqasha Senrose ketika diminta mengulas gosip yang tersebar baru-baru ini.

Bagi Uqasha dia sendiri buntu bagaimana kisah dipukul oleh pelakon Syafiq Kyle terus menjadi perhatian masyarakat sedangkan insiden tersebut tidak pernah berlaku.

Sambil menegaskan isu tersebut sengaja direka oleh pihak-pihak tertentu, Uqasha enggan terus melayan gosip murahan yang sering kali terpalit kepada dirinya sejak mula bergelar pelakon beberapa tahun yang lalu.

“Saya sendiri tak tahu mengapa orang sering kali nak mengaitkan nama saya dengan cerita-cerita yang tak betul. Macam juga cerita yang dipukul itu, semuanya berpunca daripada gosip yang mengatakan saya diintai oleh anak hartawan.

“Perkara itu tak betul dan ditambah pula dengan komen peminat di laman sosial yang mengatakan saya dipukul oleh Syafiq. Mungkin peminat itu sengaja menulis benda karut dan tak perlu dilayan.

“Tapi apabila dilayan, ini pula yang jadi. Orang terus anggap perkara itu benar dan saya pula yang terpaksa menjawab. Kalau ikutkan memang saya letih nak menjawab benda yang tak betul macam ini,” ungkap Uqasha satu persatu.

Bagi kakak kepada pelakon Nelydia Senrose ini, dia seboleh-bolehnya enggan lagi memanjangkan kisah diintai anak hartawan dan kisah dipukul tersebut memandangkan perkara berkenaan tidak benar.

Tambahnya lagi, adakalanya dia rimas dengan pendedahan sebegini yang seringkali mengaitkan dirinya dengan cerita kurang manis berbanding dengan perjalanan seninya.

Pun begitu sebagai pelakon baharu, dia bersyukur kerana keluarganya tidak terkesan dengan cerita-cerita karut yang sedang bertebaran ketika ini.

“Alhamdulillah keluarga tak pernah mengambil pusing cerita begini. Mereka faham ini ada harga yang perlu dibayar kalau nak bergelar artis.

“Lagipun ini bukan perkara baharu yang terjadi pada saya. Sebelum ini pun banyak kali juga nama saya dikaitkan dengan cerita kurang manis tetapi dihadapi dengan baik.

“Saya tak ada masalah pun asalkan perkara itu tak menjejaskan periuk nasi saya sebagai pelakon sudahlah,” kata Uqasha berterus terang.

Hanya kawan

Menafikan Syafiq Kyle sebagai teman lelakinya, Uqasha menegaskan yang hubungan antara mereka berdua sekadar teman rapat sahaja. Baginya cerita-cerita yang mengatakan mereka merupakan sepasang kekasih adalah kurang tepat.

“Antara saya dan Syafiq hanyalah teman rapat sahaja. Kami tak bercinta seperti yang diperkatakan umum dan saya sendiri sudah berkali-kali membuat penafian tentang perkara itu.

“Bagi saya, ini bukan masa untuk bercinta lagi. Saya orang baharu dalam industri dan masih banyak perkara lain yang perlu diterokai untuk meneruskan kerjaya seni.

“Sama juga dengan Syafiq, dia masih muda. Rasanya lebih baik kami berdua tumpukan kepada bidang lakonan terlebih dahulu daripada melayan cerita cinta ini.

“Tapi kalau orang terus menerus nak mengatakan kami bercinta, tak ada masalah pun. Saya tak perlu peduli dengan apa yang orang nak cakap,” kata Uqasha berterus terang.

Bercerita mengenai kerjaya seni pula, Uqasha bersyukur kerana masih diberikan peranan dalam kebanyakan drama bersiri dan telefilem walaupun terpaksa bersaing dengan ramai muka baharu.

Mengakui industri seni tanah air begitu telus dan terbuka menerima orang baharu malah hampir setiap bulan ada sahaja pelakon baharu yang muncul di kaca televisyen.

“Dalam hal itu saya tak ada masalah besar memandangkan semua orang pun berhak menjadi pelakon. Soal persaingan atau soal siapa lebih banyak tawaran bukan menjadi isu besar bagi saya.

“Yang pastinya rezeki saya tetap ada. Tak perlu nak ada rasa iri hati melihat rakan-rakan yang lain lebih banyak tawaran dan sebagainya.

“Yang paling penting saya menjaga kualiti lakonan dan memberikan yang terbaik kepada setiap produk yang melibatkan saya,” katanya.

Terbaharu, Uqasha sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Sesumpah Ramadan dan Strawberi Karipap.

Ganggu emosi

SEGALA-GALANYA bagaikan tak kena apabila cerita yang mendakwa dia memukul Uqasha Senrose hangat diperkatakan umum. Bagi pelakon yang popular dengan drama bersiri Tanah Kubur ini, perkara itu benar-benar mengganggu emosinya sejak akhir-akhir ini.

“Kalau boleh memang saya tak mahu komen lagi isu tersebut. Dulu apabila saya buka mulut sahaja, bukan menjernihkan keadaan sebaliknya memburukkan lagi situasi yang perlu dihadapi.

“Selepas cerita tersebut keluar saya pening kepala sampai mengganggu emosi. Nak kerja pun susah dan serba serbi menjadi masalah buat saya!” tegas Syafiq kepada Pancaindera.

Enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Syafiq lebih senang jika kisah kerjayanya sahaja yang diperkatakan berbanding dengan kisah mengarut yang sedang dihadapinya itu.

Dia yang kini sibuk dengan penggambaran beberapa buah drama juga sedang sibuk mengacarakan rancangan Dapur Panas Bujang untuk siaran TV9.

“Rezeki saya dalam bidang ini semakin banyak dan saya bersyukur kerana orang nampak pada bakat yang ada pada diri saya.

“Walaupun banyak pelakon baharu yang muncul tetapi rezeki saya masih ada dan tak putus-putus,” katanya ringkas.

terlalu penat untuk melayan kisah murahan sebegini namun tetap bersikap profesional melayan pertanyaan Pancaindera