Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

4 Jejaka hangat Ola Bola

KUALA LUMPUR, 10 Februari 2016 - Fotoshoot pelakon filem Ola Bola, 2

HATI siapalah yang tidak cair apabila menatap wajah empat jejaka yang merupakan bintang utama filem Ola Bola ini.

Dianggap antara pelakon yang sedang menjadi fenomena pada waktu ini dek penangan filem arahan Chiu Keng Guan itu, Luqman Hafidz, JC Chee, Eric Teng dan Haris tentunya tidak mampu menepis gelombang populariti yang melingkari kerjaya mereka kini sebagai pelakon.

Ke mana sahaja, ramai yang memperkatakan mengenai bakat lakonan mereka dan tidak cuma itu, ketampanan empat jejaka ini juga menjadi isu hangat buat kebanyakan peminat dan penyokong filem Ola Bola.

Berpeluang menyatukan mereka dalam satu sesi fotografi baru-baru ini di, Pancaindera menarik minat Luqman, JC, Eric dan Haris untuk berkongsi cerita dan kisah masing-masing buat tatapan semua pembaca setia akhbar ini.

 

Luqman (Ali)

Pemegang watak Ali ini sebenarnya merupakan bekas graduan Ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Menggalas kerjaya sebagai seorang juru ukur dan selepas empat bulan, Luqman bagaimanapun dengan rela hati melepaskan profesion itu kerana mahu memberi tumpuan penuh kepada rangka promosi filem ini.

Tidak ralat meninggalkan kerjaya itu, kata Luqman, dia cuma ingin melakukan apa yang disukai dan melihat dunia lakonan sebagai profesion yang ingin serius diceburi.

“Jujurnya, sebelum ini di sekolah saya tak pernah terbabit dengan sebarang aktiviti kesenian dan tahu-tahu sahaja, Ola Bola menyaksikan buat pertama kalinya saya berlakon.

“Saya terjebak dengan dunia lakonan ni kerana di awalnya sekadar mahu mencuba. Saya hadir ke sesi uji bakat pelakon dan tertarik kerana filem ini adalah mengenai sukan bola sepak dan saya nak menjadi sebahagian daripada naskhah ini.

“Tak sangka pula terpilih dan saya bersyukur kerana diberi peluang ini oleh pengarah Chiu,”katanya.

Mengaku menggemari sukan bola sepak sejak dari kecil, lelaki berusia 25 tahun ini cukup meminati pemain bola sepak terkenal Christiano Ronaldo yang menjadi idolanya.

Mengaitkan dengan watak Ali, kata Luqman, walaupun teruja menyarung jersi nombor 10, dia tahu tekanannya juga agak berat kerana individu yang menyarung jersi itu menggalas tugas besar di padang.

“Walaupun cuma di layar, tetapi saya perlu mempamerkan kemahiran bermain bola dengan baik dan itu adalah antara tekanan teknikal yang saya hadapi. Lantaran itu, saya juga ada menjalani latihan intensif bersama jurulatih.

“Apapun, saya bertuah berada dalam filem ini sebagai satu pasukan,” katanya.

Dalam pada itu, saat dipuji kerana berpotensi menjadi hero baru dalam drama dan filem, pelakon yang berasal dari Ampang, Selangor ini selesa merendah diri.

“Seandainya diberi kepercayaan saya akan bawa dengan baik. Tetapi saya tahu, ramai lagi yang berbakat dan ada rupa dan di akhirnya kita akan berbalik kepada soal rezeki Tuhan.

“Kalau ditakdirkan itu rezeki, saya terima. Saya faham dalam dunia lakonan, peluang tidak sentiasa ada dan kena gunakan setiap daripadanya dengan baik,” katanya yang ingin bekerja di bawah pengarahan Nik Amir Mustafa dan Osman Ali.

Eric Teng (Eric Balak)

Berkongsi cerita, pelakon berasal dari Kluang, Johor ini mendedahkan bahawa sebelum terbabit dalam filem Ola Bola, dia adalah seorang individu yang sukar mengikis sifat pemalu dalam dirinya.

Turut mudah rasa kurang yakin pada diri, Eric Teng, 20, bagaimanapun merasakan dirinya seolah adalah individu yang baru selepas diberi kelas intensif dalam tempoh dua hari bersama seorang guru motivasi dari Taiwan yang disediakan untuknya khusus untuk filem ini.

Kata Eric, dia tidak menolak, langkahnya dalam dunia lakonan segalanya kerana tuah kerana dia sendiri tidak pernah menyangka akan menjadi seorang pelakon dan menerima tempias populariti sebegini rupa.

“Saya ni pemalu, tetapi itu cerita sebelum Ola Bola. Sekarang saya sudah boleh menggunakan kemahiran komunikasi dengan baik dan sudah boleh berdepan dengan orang ramai dengan yakin.

“Kalau dulu, memang susah sikit. Masa uji bakat, saya nak sebut nama pun suara macam tak terkeluar. Memang lucu waktu itu,”katanya.

Meminati dunia lakonan, kata Eric, dia sedar sekarang situasi adalah berbeza dan semakin dikenali, semakin dia terdedah kepada ancaman kontroversi dan gosip misalnya.

Sambil berjenaka, kata Eric, dia bersedia untuk menempuhi ‘alam’ itu dan mengaku tidak bimbang andai dia cuma menjadi diri sendiri.

“Saya ni budak baik tahu, tak nakal. Jadi tak perlu nak bimbang apa-apa. Yang penting, jangan hipokrit dan jadi sahajalah diri sendiri,” katanya .

Dalam pada itu, sengaja mengusik Eric andai kekasihnya mungkin cemburu andai ramai wanita cuba mendekati dirinya selepas kini sudah popular, Eric dalam tawa menegaskan dia tidak mempunyai teman wanita.

“Dulu pernah ada, tapi kami dah putus sebab saya sibuk dengan komitmen kerja. Tapi jangan terkejut andai saya katakan, sekarang memang ramai yang cuba mendekati.

“Ada yang hantar mesej peribadi, ada yang berani bagi gambar tidak senonoh. Saya pula yang jadi takut. Bayangkan, saya yang lelaki ni jadi takut dengan mereka ini,” katanya.

Haris (Sanjeet)

Memegang watak Sanjeet, seorang pemain bola berbangsa Singh, lelaki berusia 21 tahun ini sebenarnya mempunyai darah kacukan Melayu-Bosnia.

Pada awalnya, ramai yang menyangka Haris Mohd Zainuddin atau Haris, sememangnya seorang lelaki singh dan kerana itulah watak Sanjeet diberikan kepadanya.

Turut dipanggil sebagai Sanjeet di luar filem, Haris bagaimanapun tidak berkecil hati dengan panggilan tersebut dan menganggap ia satu perkara yang biasa.

“Langsung tak marah pun sebab itu menunjukkan mereka sangat terinspirasi dengan watak Sanjeet. Kalau mereka rasa ia memberi inspirasi, saya tak kisah langsung dan lagipun ia bukan satu perkara yang negatif,” katanya.

Kongsi Haris lagi, dia yang meminati sukan bola sepak turut bangga terbabit dalam filem ini yang menekankan konsep semangat perpaduan satu Malaysia sebagai intipatinya.

“Saya tak pernah berlakon dan ini adalah kali pertama saya terlibat dalam dunia lakonan sama seperti tiga yang lain.

“Ia satu pengalaman yang menyeronokkan dan berharga buat saya apatah lagi untuk sebuah filem berkualiti seperti Ola Bola.

“Lagi satu, saya suka dengan konsep perpaduan yang diterapkan. Bagi saya, dalam filem ini banyak mesej yang tersirat dan salah satunya, adalah betapa hebatnya kita andai kita semua bersatu-padu.

“Satu lagi, ia menekankan tentang erti jangan mengalah sebagai satu pasukan. Ini adalah satu perkara yang kita semua perlu ada dalam diri masing-masing,”katanya.

Menurut pelajar tahun kedua jurusan Kejuruteraan Mekanikal Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) ini lagi, dia bagaimanapun tidak pasti sama ada mahu menjadikan lakonan sebagai kerjaya serius kerana pada waktu ini, fokusnya adalah untuk menamatkan Diploma terlebih dahulu.

Mahu terus menyambung pengajian dalam bidang yang sama di peringkat Ijazah, kata Haris, dia mungkin akan mempertimbangkan tawaran lakonan yang sesuai dengan waktu senggang yang ada andai diberi peluang dan kepercayaan.

JC Chee (Tauke)

Tinggi dan berwajah tampan, JC Chee lengkap pakej bak seorang model. Itu menjadi satu kelebihan buat lelaki kelahiran Chuping, Perlis ini yang diangkat sebagai pemegang watak utama, Tauke atau Chaw Kwok Keong dalam filem ini.

Kali pertama terlibat dalam filem, jejaka berusia 31 tahun ini mengaku bukan mudah untuk meraih peluang ini kerana perlu bersaing dengan ratusan individu lain yang ingin mencuba nasib untuk mendapatkan watak Tauke ketika sesi uji bakat berlangsung.

Menganggap ia satu rezeki dan tuah, kata JC, dia tidak menyangka dirinya terpilih untuk menggalas tanggungjawab itu apatah lagi dia juga menyifatkan ketika uji bakat, banyak perkara melucukan berlaku.

“Saya dah lama tak bermain bola. Masa kecil, saya sering berlatih main bola sepak dengan kawan sekampung. Tapi bila dah dewasa ni, memang berkaratlah kemahiran bila tak berlatih.

“Kelakarnya, saya sampai di tepi padang, saya terus berdiri di tepi tiang gol. Tak tahu nak buat apa dan berharap pengarah tak pilih saya sebab saya rasa tak yakin diri bila tengok orang lain lebih hebat daripada saya ketika di padang.

“Tetapi, tuah ternyata menyebelahi dan pengarah mahu saya bawa watak Tauke,” tambahnya.

Memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal di UTAR, JC mengaku ketika di awal pembabitannya dalam bidang seni, kedua ibu bapanya pernah menghalang keinginannya itu lantaran menganggap ia bukan satu profesion yang menguntungkan.

“Mereka bimbang sebab bidang ini tak stabil, tetapi saya tetap teguh dengan keputusan saya dan kerana itu saya tinggalkan kerjaya saya sebagai jurutera sebab saya mahu berlakon.

“Mereka marah dengan tindakan saya, tetapi saya mahu buktikan bahawa ia bukan sekadar minat, tetapi profesion yang mencabar juga,” katanya.

Kerap bercampur dengan rakan-rakan Melayu, JC mengaku dia terbiasa berbahasa Melayu sejak dari dulu dan tiada masalah untuk berbicara dalam loghat utara juga.

Dalam pada itu, kata JC yang pernah membintangi drama Vengeance Code di saluran RTM, turut memuji tenaga dan usaha Chiu dalam Ola Bola, JC bangga terbabit dalam filem berkonsep 1Malaysia seperti Ola Bola dan berharap akan ada lebih banyak filem seperti ini pada masa akan datang.

 

 

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan