Syed sempat bertemu lelaki tersebut baru-baru ini dan dia ada meluahkan perasaan dengan kisah rumah tangga yang masih berlarutan itu. Kata Ezany, dia bingung kerana isterinya masih menghilangkan diri sehingga hari ini.

“Rasanya sejak kes tersebut heboh diperkatakan saya sudah 12 kali turun naik Mahkamah Syariah. Tapi hanya pihak saya sahaja yang hadir tanpa kehadiran pihak di sana (isteri).

“Tapi sampai bila nak menyorok? Waran tangkap pun sudah dikeluarkan ke atasnya dan lambat-laun dia perlu hadir juga ke mahkamah untuk menyelesaikan masalah kami,” kata Ezany.

Dia yang mendirikan rumah tangga dengan Lizda Nuriyanti sejak lapan tahun lalu dikurniakan dua cahaya mata, Rayyan Harraz, 4, dan Hayden Harraz, 2.

Keadaan mula genting apabila Ezany terjumpa bukti kecurangan isterinya dengan lelaki lain pada Julai tahun lalu dan sejak itu wanita tersebut terus menghilangkan diri.

Tambahnya lagi, lebih tiga bulan juga dia mematikan telefon bimbit kerana tidak mahu dihubungi oleh sesiapa memandangkan dia menghadapi tekanan perasaan untuk berhadapan dengan kes itu.

Bukan apa, selalu dia hanya membaca kes-kes yang terjadi kepada rumah tangga orang lain tetapi kali ini dia pula yang kena hadap sendiri.

Cerita Ezany lagi, pada penghujung tahun lalu dia hampir direman di lokap gara-gara isterinya membuat laporan polis dan menuduh dia mencuri sebuah kereta.

“Kereta itu memang didaftarkan atas namanya tetapi saya yang menjadi penjamin dan saya memang gunakannya sejak dibeli. Tak ada isu pun kalau nak tuduh saya mencuri kereta tersebut.

“Saat keadaan kelam-kabut di balai polis itulah dia merampas dan membawa pergi anak bongsu kami. Kalau nak ikutkan memang saya mahu kejar tapi dinasihatkan oleh pihak berkuasa agar tidak berbuat demikian.

“Bukan apa mereka bimbang kalau terjadi kemalangan atau apa-apa perkara buruk ketika itu,” ceritanya.

Syed memang kasihan dengan Ezany sebab sampai sekarang pun dia langsung tidak berjumpa dengan Hayden lagi dan tak mengetahui di mana kedudukan anaknya itu. Manakala Rayyan pula kekal bersamanya.

Soal nak bercerai satu hal tapi apabila mengenangkan anak yang dibawa lari rasanya ramai yang simpati dengan Ezany.

“Sebab itu saya nak minta dia (isteri) tampil ke mahkamah dan selesaikan masalah ini. Melarikan diri tidak menyelesaikan apa-apa masalah pun sebenarnya.

“Saya tetap akan tuntut hak penjagaan anak menggunakan saluran yang betul. Itu sahaja yang saya fikirkan buat masa ini,” katanya yang masih lagi menguasahakan perniagaan belacan, kicap dan sos di bawah jenama Ezany.

Syed: Marah betul Che Ta apabila wajahnya digunakan sebagai pelaris produk lain.