Umpama semuanya sudah terjawab hari ini, biarpun perit, Ezlynn terpaksa akur dengan keadaan sekarang di mana rumah tangga dengan Adam sedang menuju ke arah perceraian. Malah, dia tidak malu untuk mengakui bahawa bahtera yang pada awalnya dibina atas tiket kasih sayang itu bakal runtuh pada bila-bila masa sahaja dari sekarang.

Mengaku selama berkahwin dengan Adam, dia sama sahaja seperti wanita lain, punya keinginan untuk menjadi ibu dan menimang cahaya mata sendiri bagi melengkapkan makna sebuah keluarga bahagia.

Namun, apabila disuarakan, entah kenapa dia banyak menerima alasan. Ini menjadikan dia terpaksa mendiamkan diri dan memendam rasa untuk mengandungkan zuriat sendiri, jauh sekali melahirkannya ke dunia.

Pasangan ini bakal hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan esok (23 Oktober) bagi urusan penyelesaian kes perceraian mereka. Ezlynn akui berdebar untuk menerima kata putus secara rasmi meskipun dia sendiri yang memfailkan perceraian itu.

Bukan soal zuriat sahaja yang menjadi isu, tetapi banyak lagi isu domestik yang berbangkit yang menjadi punca keretakan hubungan wanita berusia 36 tahun ini dengan lelaki yang juga merupakan bekas pengurusnya.

Ezlynn bersetuju untuk membuka mulut mengenai isu rumah tangga selepas merasakan dirinya sudah terlalu lama memendam sedih. Dan, lara di jiwanya itu terhitung lebih lama, iaitu selama 11 tahun, jika dihitung dari zaman mereka bercinta lagi. Kisah ini mula terbongkar menerusi luahan hati yang dibuat di laman Instagram, yang menyaksikan Ezlynn berang dengan tindakan Adam yang didakwa menceroboh dan memecah masuk kediamannya. Ramai menyalahkan dan menuduh bahawa perkongsian Ezlynn di media sosial adalah kerana mahu membuka aib suami kerana kejadian pecah rumah itu. Sebenarnya, menurut Ezlynn, Adam sudah berbulan-bulan tidak duduk di rumah itu, meninggalkan dia tanpa sebarang khabar.

“Orang tak tahu selama ini sayalah yang banyak menjaga air muka dan menutup cerita sebenar semata-mata kerana dia adalah suami saya ketika itu,”katanya.

Mengaku sudah lama memohon perceraian daripada lelaki itu, Ezlynn memberitahu sudah bersedia dengan fasa selanjutnya selepas ini.

Dia fitnah saya - Adam

Kurang lebih pukul 8.30 malam Khamis lalu, Pancaindera berjaya menghubungi Adam bagi mendapatkan kenyataan berkenaan kes pecah rumah sebagaimana didakwa oleh Ezlynn.

Sedar mengenai gambar dan kenyataan yang dimuat naik di media sosial baru-baru ini, Adam menegaskan dia tidak dapat memberikan sebarang kenyataan lanjut mengenai apa yang berlaku sehingga selesai pertemuan di mahkamah esok.

Bagaimanapun, Adam mengandaikan semua yang didakwa merupakan satu fitnah dan tidak masuk akal.

"Dia sengaja buat begitu kerana mahu memastikan saya menceraikan dia sedangkan saya tidak mahu berbuat demikian. Tempoh hari, saya tidak menceroboh, sebaliknya pulang ke rumah itu yang mana adalah milik kami berdua. Memang saya masuk tetapi apa yang diambil adalah barang kepunyaan saya," katanya yang mendakwa Ezlynn mahu memberi tekanan kepadanya.

Dalam pada itu, Adam mendedahkan pernah mendapatkan khidmat kaunseling di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dalam usaha berbaik semula dengan Ezlynn namun penyanyi itu masih berkeras untuk berpisah.

"Bermacam dakwaan dilemparkan termasuk menuduh saya tidak beri nafkah. Saya ada semua bukti termasuk menerusi perbualan di aplikasi Whatsapp. Semua itu akan diterangkan di mahkamah,"katanya.

Adam, terima kasih

Sejujurnya, jauh di sudut hati, Ezlynn berterima kasih kepada lelaki tersebut atas segala kasih sayang yang pernah hadir dalam hidup mereka. Meskipun banyak hal yang pahit berlaku, dia hanya mahu melihat masa depan yang baik, buat dirinya dan juga Adam pada masa depan.

"Terima kasih kepada dia kerana sudah berjaya buat saya jadi kuat. Rasa kasihan dan sayang, itu semua telah saya buang jauh-jauh.

"Yang tinggal sekarang hanyalah rasa yang sangat kuat untuk bertahan dan melalui kehidupan ini dengan lebih baik pada masa depan," ujarnya yang berharap mahu hidup aman, bahagia dan tenang selepas ini.

Ditanya sama ada selama ini pernah terlintas di hatinya merasa cemburu apabila melihat kebahagiaan rumah tangga orang lain sementelah dia tidak dapat merasakan nikmat yang sama, Ezlynn kelihatan bagai tersentuh dengan pertanyaan yang dilayangkan.

Tentu sekali naluri wanitanya turut mendambakan kebahagiaan seperti yang dibayangkan. Namun siapalah dapat meneka keadaan sebaliknya yang perlu diharungi dan sudah pastilah ia adalah sesuatu yang tidak dipinta oleh Ezlynn.

“Pada satu tahap, saya akui sering merasa negatif terhadap diri sehingga pernah menyalahkan diri sendiri di atas segala yang berlaku. Tiba masanya untuk saya meletakkan noktah kerana tiada kebahagiaan dalam rumah tangga ini.

“Cukuplah saya merasa lemah dan tidak tertolong akibat ditindas olehnya. Sudah, cukup!” katanya.

Ya, takdir menjanda itu bagaikan sudah berada di depan mata. Dia benar-benar nekad untuk melalui fasa yang pedih dan perih itu. Jika sebelum ini bertahun-tahun dia berusaha menyelamatkan cinta dengan lelaki berkenaan, sekarang dia memilih untuk nekad.

"Sabar seorang manusia itu ada hadnya kerana itulah saya cari peguam untuk uruskan soal perceraian. Saya nekad untuk bercerai selepas merasakan Adam banyak melakukan perbuatan yang mendukacitakan saya sebagai seorang suami.

"Sebagai seorang isteri, tiada lain yang saya harapkan daripadanya kecuali agar dia mampu menjalankan tanggungjawabnya dengan baik ketika dia punya peluang itu dahulu. Kalau dia berani katakan dia tidak mahu melepaskan saya kerana cinta, bagi saya andai dia sayang dan cinta, dia tidak akan menyeksa saya seperti apa yang dia lakukan,"katanya.