Program Maulid Akbar Selawat Perdana 1436 Hijrah ini akan berlangsung di Dataran Putra, Presint 3, Putrajaya pada 8 Mei ini.

Berbeza pengisian kali ini, program kali ini akan memperdengarkan Tausiyah atau tazkirah daripada ulama seluruh dunia yang diketuai oleh Al Habib Umar Ben Hafidz dari Yaman.

Selain bakal dihadiri seramai 25 ulama dari seluruh dunia, program yang cukup indah ini juga bakal dimeriahkan oleh barisan selebriti terkenal tanah air.

Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Perdana Ummah (YPD), Shahrul Nasrun Kamarudin berkata, majlis bertemakan Kesatuan, Perpaduan dan Persaudaraan itu bertujuan memupuk ikatan persaudaraan sesama manusia yang berterusan tanpa memikirkan perbezaan ideologi.

“Kami memilih ikon dan tokoh agama yang membawa akhlak serta imej positif sebagai teladan kepada umat Islam. Saya melihat budaya qasidah sudah menjadi fenomena masyarakat hari ini.

“Penglibatan selebriti dalam program ini juga sangat-sangat membantu menjayakan majlis keagamaan kerana mereka juga dipandang sebagai satu ikon dan sekali gus dapat menarik minat para pencinta Islam,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar program Selawat Perdana di Hotel Royale Bintang, The Curve, Damansara, baru-baru ini.

Majlis ilmu itu adalah kemuncak kepada program induk, Muktamar Ulama Ahli Sunnah Wal Jammaah Sedunia Malaysia 2015, yang akan berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya bermula 6 hingga 8 Mei ini.

Tambah Shahrul, antara pengisian program yang akan dimulai seawal pukul 6.45 petang itu adalah solat maghrib berjemaah serta bacaan al-Quran.

Diikuti dengan tazkirah agama yang membincangkan topik kesatuan, perpaduan dan persaudaraan serta solat Isyak secara berjemaah.

“Program ini akan bermula pada pukul 9 malam, selama dua jam 30 minit dan akan disiarkan secara langsung di stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM).

“Budaya selawat, zikir dan qasidah dapat memupuk umat Islam untuk mengingati Allah SWT dan Rasulullah SAW. Tujuan kami hanya satu, iaitu mahu mengumpul ummah Nabi Muhammad SAW untuk menyatakan rasa cinta dan kasih kepada rasul dan memohon doa dalam suasana yang penuh keberkatan.

“Selain qasidah, kami juga akan menyuntik dengan pengisian Maulid sebagai pengisian utamanya untuk memberi pencerahan lebih jelas mengenai Islam selain dapat menarik minat generasi muda dan mendedahkan mereka dengan hiburan segar dan aktiviti positif yang berteraskan akhlak yang terpuji,” jelasnya lagi.

Seramai 25 selebriti bakal menghadiri program penuh keilmuan ini, antaranya, Amy Search, Mawi, Adi Putra, Fizz Fairuz, Bunkface, Adam AF, Hafreez Adam, Adam Corrie, Asfan, Almy Nadia, Luftya, Uqasha, Rita Rudaini, Black, RJ, Aizat Amdan, Fathia Latiff, Johan As’ari, Ashraf Muslim dan Siti Fazurina.

Dengan penglibatan mereka semua, ia dilihat mampu membantu mempromosikan majlis ini menerusi media sosial mereka bagi mengalu-alukan semua peminat masing-masing hadir pada majlis ilmu berprestij ini.