Pertandingan akhir itu akan berlangsung Jumaat ini pada pukul 8 malam waktu Finland (1 pagi Sabtu waktu Malaysia) di Helsinki.

Harith, 50, bakal berentap dengan empat pelawak lain iaitu Alex Calleja (Filipina), Katerina Vrana (Greece), Mino Van Nassau (India) dan David Kilimninck (Israel).

Menerusi video berdurasi 52 saat yang dimuat naik di laman sosial Facebook miliknya hari ini, pelawak itu mengucapkan penghargaan kepada semua yang menyokongnya dari awal pusingan hingga ke peringkat akhir pertandingan.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang menyokong dari awal pertandingan sehinggalah ke peringkat akhir. Penentuan pusingan akhir ini dinilai menerusi undian dalam talian oleh orang ramai,” katanya dalam video tersebut.

Harith sebelum ini berjaya mengalahkan 88 peserta lain termasuk Dr. Jason Leong juga dari Malaysia. - UTUSAN