Enggan terus berduka dengan perkara yang berlaku, penyanyi yang popular dengan lagu ketuhanan, Hafiz Hamidun bangkit menjalani kehidupan dengan lebih bahagia.

Hafiz atau Mohammad Hafiz Hamidun, 34, melalui hidup pascakontroversi kini membuka lebih peluang kepadanya untuk memberikan sepenuh perhatian terhadap kerjaya.

“Kalau ikutkan dahulu, banyak juga perancangan ketika berada dalam fasa berumah tangga. Namun apakan daya, tiada rezeki untuk saya merealisasikan rancangan tersebut.

“Oleh itu, apabila berlakunya perpisahan, fokus saya kembali berbalik kepada kerjaya sahaja.

“Saya mempunyai pelbagai perancangan untuk memantapkan lagi kerjaya walaupun perlu berdepan dengan banyak persaingan terutama dari segi kemunculan bakat baharu menerusi program-program terkini.

“Pun begitu, saya juga tidak mahu ketinggalan dan sentiasa cuba untuk sama-sama aktif dalam industri. Buktinya, saya kini sudah tampil dengan single baharu berjudul Jangan Berhenti,” jelasnya.

Meskipun sudah bangkit daripada kegagalan tersebut, bekas anggota kumpulan nasyid UNIC ini tidak lokek berkongsi pengalaman yang diperoleh.

Jelasnya, walaupun peristiwa itu sudah lama berlalu, namun masih ada peminat yang bertanya dan ada juga yang meminta pandangan serta nasihat daripadanya.

Bertalu-talu soalan diberikan terutama menerusi akaun media sosial. Menurut Hafiz, bagi tidak menghampakan pertanyaan mereka, dia kerap memuat naik status dalam akaun Twitter yang mengandungi nasihat serta kata-kata semangat.

Malah jika dijemput menghadiri sebarang program, Hafiz sama sekali tidak keberatan untuk berkongsi pengalaman yang pernah dilaluinya.

“Perkara tersebut sudah diselesaikan dengan cara yang sepatutnya. Saya dan pihak di sana teguh dengan keputusan masing-masing dan selesai secara betul di mahkamah. Rata-rata peminat faham dengan situasi saya.

“Pun begitu, tiada isu jika saya ingin bercakap tentang perkara tersebut kerana bagi saya bukan semua orang mempunyai pengalaman seperti ini.

“Bagi saya apa sahaja yang boleh saya kongsi, saya akan kongsikan dengan tujuan untuk berkongsi pengalaman dan pengajaran sahaja.

“Bukannya dengan niat untuk mengaib atau mengeruhkan keadaan,” ujarnya.

Sufian matang

Berdasarkan pengalaman hidupnya, Hafiz mengambil peluang untuk memberikan sedikit nasihat kepada Sufian Suhaimi yang baru sahaja putus tunang.

Sebagai insan yang pernah melalui situasi yang hampir sama, Hafiz yang dipertemu dengan Sufian baru-baru ini mengakui dia nampak Sufian matang dalam berdepan konflik tersebut.

Menurutnya, tiada kata-kata nasihat yang ingin disampaikan selain mengharapkan Sufian mencari ilmu sebanyak mungkin agar dia mampu berdepan apa jua situasi dengan baik.

“Yang berlaku kepada Sufian hanya sekelumit sahaja berbanding dengan perkara yang saya hadapi sebelum ini.

“Saya berdepan konflik yang lebih besar. Ketika perkara itu berlaku, semua orang bercakap tentangnya sehingga melibatkan mahkamah dan jabatan agama.

“Namun yang saya perhatikan, Sufian seorang anak muda yang matang dan dia tahu bagaimana untuk menangani masalah ini,” ujarnya.