Tentu sekali jenama program realiti seperti Gegar Vaganza agak asing buat Hetty Sarlene, Dia Fadila dan Farawahida, namun impak program sebegini sering kali memberikan kelebihan kepada para penyanyi seperti mereka yang ingin membuka semula langkah dalam seni.

Lihat sahaja para peserta musim lalu yang kini semakin menempa nama dan mendapat sokongan peminat malah melalui program-program realiti jugalah, banyak wajah baharu yang berkualiti dan popular mewarnai industri tempatan.

Dan pastinya, kemunculan Hetty Sarlene, Dia Fadila dan Farawahida pada Gegar Vaganza musim kelima ini (GV5) membuktikan kekuatan platform tersebut untuk meraih peluang menaikkan kembali nama dan populariti mereka dalam bidang nyanyian.

Yang nyata kemunculan mereka seperti mengembalikan zaman kegemilangan masing-masing yang sebelum ini pernah menjadi perhatian ramai.

HETTY SARLENE

Kuala Lumpur sentiasa di hati

PERNAH membina nama di negara ini melalui nyanyian dan lakonan, Hetty Sarlene yang memulakan karier seni pada usia belasan tahun secara tiba-tiba hilang dari radar seni.

“Kuala Lumpur tidak pernah jauh dari hati saya.” Demikian kata anak kelahiran seberang tambak ini. Malah katanya, dia nekad memulakan kembali kerjaya sebagai penyanyi dan pelakon.

Bergelar isteri kepada Dani Aaqil sejak dua tahun lalu, Hetty atau Hetty Sarlene Abdul Hamid, 34, menjelaskan, kehadiran cinta hatinya itu tidak pernah menjadi penyebab dia menjauhkan diri daripada dunia seni.

Mendapat restu suami yang tidak pernah menghalang minat dan kariernya, kata Hetty, suaminya itu merupakan orang pertama yang memberi sokongan apabila dia mendapat tawaran menjadi peserta GV5.

“Malah dia begitu teruja dan senang sekali agar saya dapat meneruskan minat saya dalam bidang ini,” katanya sambil memberitahu suaminya yang juga seorang lelaki berketurunan Inggeris itu sedia berkorban untuk berpindah ke negara ini.

“Namun buat masa ini hanya saya seorang sahaja yang akan berada di Kuala Lumpur. Tetapi suami sudah bersetuju untuk berpindah sekali dan akan bertukar tempat kerja,” kongsinya.

Bercakap mengenai pembabitannya dalam GV5, Hetty yang juga peserta tunggal dari luar Malaysia akui gementar, namun dia tidak mahu melihat pentas tersebut sebagai satu pertandingan.

Yang lebih utama, katanya, dia mahu memberikan persembahan terbaik sebagai jawapan kepada peminat yang selama ini ingin melihat dia kembali dalam dunia nyanyian.

“Melihat peserta yang bukan calang-calang memang membuatkan saya gementar. Apapun saya tidak sabar untuk muncul dalam program ini,” tambahnya.

DIA FADILA

Bahagia bergelar suri rumah

KEHADIRANNYA dalam industri muzik tempatan tidak lama. Selepas bergelar isteri lapan tahun lalu, Dia Fadila memilih untuk aktif sebagai guru vokal di salah sebuah institusi pengajian tinggi tempatan.

Namun apabila dikurniakan dua orang cahaya mata, Dia atau Nur Fardilla Nadia Abu Bakar, 34, mengambil keputusan untuk meninggalkan kerjaya tersebut kerana ingin menumpukan sepenuh perhatian membesarkan dua anak perempuan yang berusia tujuh tahun dan empat tahun.

“Ramai yang menyangka saya masih aktif mengajar vokal. Sebenarnya saya sudah berhenti mengajar secara sepenuh masa lebih enam tahun lalu selepas mengandungkan anak kedua.

“Namun begitu saya hanya mengambil satu tawaran sahaja dalam setahun contohnya, pada tahun ini, saya menerima tawaran sebagai guru vokal untuk program Bintang RTM,” jelasnya.

Tambahnya: “Setiap hari dengan anak-anak, melihat mereka membesar di depan mata membuatkan saya tidak sedar yang sudah hampir tujuh tahun saya meninggalkan kerjaya sebagai penyanyi.

“Kini anak-anak sudah besar dan waktu yang sesuai untuk saya kembali aktif dalam bidang seni. Penyertaan saya dalam program GV5 adalah langkah awal untuk memberitahu peminat bahawa saya bersedia untuk kembali.”

Tidak menjadikan status guru vokal sebagai perkara yang boleh membuatkan dia berasa selesa, sebaliknya dia tidak dapat lari daripada berdepan cabaran dalam mengharungi pertandingan tersebut.

“Bertanding dengan penyanyi-penyanyi hebat pastinya memberikan cabaran kepada saya. Apatah lagi dengan status saya sebagai guru vokal jadi saya perlu mempersembah sesuatu yang setaraf dengan status tersebut.

“Dengan status itu juga, saya perlu berdepan jangkaan dan harapan tinggi daripada peminat. Justeru, saya akui bukan suatu yang mudah dilakukan,” ujarnya yang menjadi genre dangdut dan Irama Malaysia sebagai cabaran terbesar.

FARAWAHIDA

Penyanyi juga perlu belajar

KALI pertama mencuba dan diterima menyertai GV5, hanya satu objektif yang terpahat dalam benak Farawahida Razali - untuk mendapatkan sebanyak mungkin ilmu dunia muzik, sekali gus memperbaiki mutu nyanyian.

Kata Farawahida, 33, sebagai penyanyi dia perlu mendapatkan input baharu lebih segar daripada mereka yang profesional agar terus kekal berada dalam dunia seni.

“Selama ini saya menyanyi ikut suka sahaja dan tidak pernah belajar vokal secara rasmi. Teknik menyanyi dan pernafasan pun ikut keselesaan.

“Saya tidak tahu apa yang tidak kena dan salah kerana tidak ada yang kritik cara saya. Maklumlah belajar sendiri-sendiri. Jadi dengan menyertai GV5, saya mahu mendapatkan ilmu tersebut.

“Semua pun maklum yang Datuk Ramli MS (juri) ada kepakaran dalam bidang tersebut dan saya rela dikritik untuk kebaikan sendiri,” kata Farawahida.

Baginya, GV5 adalah platform menggali ilmu sedalam-dalamnya, berbekalkan mental dan fizikal yang sudah bersedia menerima setiap pembelajaran.

“Pada masa sama, saya juga biasakan diri mendengar dan berlatih lagu-lagu baharu daripada penyanyi muda masa kini kerana seperti yang kita tahu, GV selalunya penuh dengan kejutan dan cabaran,” katanya yang terkenal dengan lagu Tanpamu satu ketika dahulu.

Tambah Farawahida, kemunculan di GV5 juga adalah peluang untuk kembali menonjolkan dirnya dalam arena seni selepas muncul dengan album single Mengapa Harus Aku yang bergandingan dengan Datin Alyah tahun lalu.