Amira Rosli dan Amar Baharin

Ia nampak semakin menjadi-jadi selepas pasangan ini sah menjadi suami isteri November lalu. Pihak tersebut sewenang-wenangnya ‘menjual’ nama mereka kepada umum tanpa persetujuan empunya badan.

Semua itu dilakukan pihak berkenaan dengan tujuan melariskan produk atau sebagai daya penarik untuk memastikan majlis penganjuran mereka mendapat sokongan ramai.

Terkini pasangan tersebut sekali lagi berdepan dengan situasi yang sama apabila ada pihak dengan sengaja menggunakan nama mereka untuk penganjuran sebuah pertandingan yang menawarkan hadiah lumayan di laman sosial.

Situasi tersebut secara tidak langsung menyebabkan pasangan itu terpaksa membuat penjelasan semula kerana bimbang keadaan itu menyebabkan kekeliruan orang ramai.

“Keadaan begini telah pun berulang banyak kali. Tambahan pula membabitkan penganjuran majlis di lokasi-lokasi tertentu. Pihak tidakbertanggungjawab itu turut menggunakan wajah kami sebagai ‘pelaris’," jelas Amar dalam nada cukup kesal.

Tidak membiarkan hal itu berlalu mudah, Amar pernah memberi amaran kepada mereka untuk hentikan gangguan tersebut.

“Saya pernah tegur secara baik kepada mereka. Kita maklum tentang bisnes dan strategi pemasaran mereka tapi tidak eloklah menggunakan cara sebegitu.

“Lagipun kita sebagai masyarakat Melayu ini ada adab dan cara tersendiri terutama dalam bab menegur orang lain yang baru dikenal.

“Paling tidak pun, saya akan berdiam diri membiarkan saja tindakan pihak tersebut walaupun secara terang-terangannya itu memang salah.

“Bagaimanapun semakin saya berdiam diri, semakin pula menjadi-jadi. Itu yang buat saya tidak boleh duduk diam itu. Saya perlu melakukan sesuatu,” tegasnya.

Tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang atas setiap perlakuan yang tidak bermoral itu, Amar juga menegaskan dengan cara sebegitu dia dapat memberi pengajaran.

Meskipun Amar belum lagi bertindak ke tahap itu, pelakon Suamiku Encik Kolot ini bersedia untuk membuat laporan polis jika pihak tersebut masih berdegil.

Ini kerana menurut Amar dia sudah letih melayan kerenah pihak berkenaan yang dilihat penuh dengan sandiwara setiap kali isu yang sama dibangkitkan.

“Dengan cara tindakan sebegini, saya dapat memastikan kejadian yang sama tidak lagi berulang. Bukan marah tetapi kecewa. Sudah banyak kali kami kena berdepan dengan hal macam ini, berulang kali. Harap-harap selepas ini tidak lagi berlaku. Tolong faham, ini juga membabitkan periuk nasi kami suami isteri,” katanya lagi.

BELUM REZEKI

MENGUBAH bicara kepada topik alam rumah tangga yang baru dilayari hampir dua bulan, Amar mengakui urusan untuk mendapatkan zuriat sendiri di luar kemampuannya.

Tidak pernah mendesak Amyra untuk sama-sama merealisasikan impian menjadi ibu bapa dalam masa terdekat, Amar juga percaya pada takdir Yang Maha Kuasa.

“Sebenarnya masih terlalu awal untuk memperkatakan tentang perkara ini. Tidak adil juga untuk menilai kami sebagai pasangan suami isteri yang masih hijau dalam alam rumah tangga ini.

“Apa yang mampu dilakukan adalah doa yang baik-baik daripada semua buat kami berdua. Sebab perkara ini membabitkan rezeki.

“Sekarang ini pun rezeki yang mendatang membabitkan kami sudah melimpah ruah. Kami bersyukur kerana apa yang diharapkan selama ini menjadi kenyataan,” ujarnya.

Berhubung kerjaya seni Amar memberitahu, dia dan Amyra bakal terlibat dalam satu produksi yang mengkehendaki gabungan mereka sebagai pasangan suami isteri.

Masih dalam peringkat perbincangan, Amar juga bersedia untuk mengulas perkara tersebut selepas proses perbincangan antara kedua-dua pihak berakhir tidak lama lagi.

“Saya tidak kisah untuk berlakon sama dengan Amyra asalkan nashkah yang ditawarkan itu mempunyai nilai dan mesej yang kuat untuk dijadikan tatapan penonton.

“Mesti ada daya penarik utama untuk menggabungkan kami bersama. Jika tidak, lebih baik kami berlakon seperti biasa seperti sebelumnya,” kata Amar.