Kata Shikin, keputusan itu dibuat ekoran ada pihak yang tidak berpuas hati dengan perniagaan masakan sup panasnya, lantas untuk mengelakkan sengketa berlanjutan, dia akur menarik diri.

Meskipun perniagaan tersebut mendapat sambutan ramai terutama di kalangan peminat dan penduduk sekitar, Shikin reda yang rezeki berniaga di lokasi tersebut setakat di situ sahaja.

“Memang saya sangat sedih dan kecewa dengan kejadian yang berlaku. Ini kerana saya tidak membuat sebarang masalah dengan siapa pun, malah ramai orang datang tidak putus-putus ke kedai ini.

“Tetapi ada pihak yang tidak puas hati dengan saya dan tak perlulah saya jelaskan siapa orang tersebut. Biarlah saya mengundur diri sebab saya tidak mahu mencari musuh dengan siapa pun termasuklah keluarga terdekat,” kata Shikin.

Penyanyi berusia 37 tahun ini percaya, dugaan yang berlaku tersebut mempunyai hikmah tersembunyi dan menganggapnya satu ujian untuk dia melangkah lebih maju dalam bidang perniagaan pada masa akan datang.

“Tak mengapalah kali ini saya mengundur diri demi tidak mahu bergaduh dan bermasam muka. Rezeki dan bumi Allah SWT ini luas dan saya ketika ini masih mencari tapak baharu agar saya dapat kembali berniaga,” kata Shikin kepada UTUSAN ONLINE.

Pada awal Oktober lalu, Shikin membuka kedai makan berkongsi dengan kakak sulungnya dengan memfokus kepada pelbagai jenis sup termasuk tulang yang dibuat hasil air tangannya sendiri. - UTUSAN ONLINE