Kemunculan Eman Manan sering dapat dilihat dalam cerita-cerita yang berat dan setiap kali ada rumah produksi yang mahu mengarahkan kisah sebegitu, pasti namanya menjadi senarai teratas.

Ketika bertemu empat mata dengan lelaki bertubuh tinggi lampai ini, dia memberitahu, sebenarnya tidak pernah meletakkan sebarang syarat atau kriteria dalam memilih naskhah.

Meskipun dia sendiri tanpa berselindung mengakui sering menjayakan watak yang sama kerana tidak mahu terlalu selektif.

“Sudah begitu tawaran yang diberikan, jadi saya terima sahajalah. Walaupun saya sendiri perasan, kalau naskhah berat, memang nama saya sahaja yang jadi pilihan.

“Kerana apa? Kerana sudah tidak ada orang lain melainkan saya. Mungkin juga pengenalan dan wajah saya dalam bidang lakonan sudah sinonim dengan watak berat sampai sudah melekat,” tuturnya.

Justeru Eman meluahkan rasa yang tertanam jauh di sanubarinya yang dia teringin untuk membawa watak berunsur humor, sekali gus dapat mencipta kelainan dalam profil kariernya.

“Mungkin wajah saya yang serius, orang takut nak bagi watak komedi. Tapi pernah jugalah saya bawa karakter begini cuma tak banyak.

“Saya seorang yang terbuka untuk bawa apa sahaja peranan. Berilah apa (watak) pun, sudah namanya tanggungjawab, jadi saya cuba untuk tepati kriteria tersebut.

“Akan tetapi apabila produksi menerangkan kepada saya bahawasanya pelakon lain tidak boleh bawa peranan yang ditawarkan maka saya sudah dapat agak yang itu karya sesuatu yang berat,” terangnya.

Filem sastera tiada penonton

Sebagai penggiat seni, perasaan gusar tidak dapat dilenyapkan apabila membicarakan tentang sambutan jika naskhah terbabit berkisarkan tentang bahan sastera dan sejarah.

“Saya sering dapat soalan tentang mengapa tidak diangkat kisah-kisah sejarah dan sastera ke layar perak walhal kita banyak naskhah hebat.

“Jawapannya mudah, filem begini tiada pengikut atau penonton. Lihatlah apa yang terjadi terhadap filem Hanyut arahan U-Wei yang sangat hebat namun gagal di pawagam.

“Sejujurnya, saya ingin menyeru penonton untuk sama-sama tonton Srengenge dan moga cerita ini tidak terjadi hal sama seperti karya lain,” pintanya.

Sambut baik

Dalam pada itu, Eman menyambut baik usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam mengadaptasi novel berjudul Srengenge ke layar kaca.

Mengagumi hasil penulisan Sasterawan Negara, Datuk Profesor Emeritus Shahnon Ahmad menerusi novel tersebut, yang jelas Eman berharap agar diperbanyak lagi novel sebegini diadaptasi ke kaca televisyen pada masa hadapan.

“Ini sebuah karya ulung oleh Sasterawan Negara kita. Besar harapan saya agar semua penonton tak kira usia dapat menonton supertelefilem ini.

“Menjadi salah seorang pelakon untuk cerita ini pun sudah buatkan saya kagum dan diharap generasi hari ini tidak lupa dengan karya epik begini,” ulasnya yang memegang watak Awang Cik Teh.

Srengenge yang merupakan ideal asal Shanon pada 1973 bakal ditayangkan secara eksklusif pada 6 Mei ini, pukul 9 malam di TV1.

Selain Eman, supertelefilem arahan Mahuddin Ibrahim itu turut membariskan pelakon seperti Sahronizam, Datin Fadilah Mansor, Jasmin Hamid dan Fathil Dani.

Mengulas lanjut mengenai pembabitannya, Eman membaca sebanyak tiga kali novel berkenaan bagi benar-benar memahami pengisian plot penceritaannya.

“Adalah menjadi tanggungjawab seorang pelakon untuk membaca novel biarpun sudah ada skrip yang disediakan.

“Skrip tidak merangkumi keseluruhan kisah maka perlu bagi saya untuk dapat kefahaman dari novel itu sendiri.

“Salah satu cara nak hafal skrip dengan senang, kita mesti menguasai bahasa dan tatabahasa.

“Dan salah satu untuk menguasai nahu, kita perlu banyak membaca,” jelasnya.