Itulah yang dilihat pada pelawak terkenal, Tauke Jambu yang tidak mampu menyembunyikan air mata kesyukuran sebaik majlis akad nikahnya bersama Nadia Mohd. Effendi berjalan lancar pada pukul 11.55 pagi dengan sekali lafaz.

Kembali berstatus suami selepas menduda lima tahun lalu banyak memberi pengajaran dan pengalaman buat lelaki berusia 41 tahun itu untuk tidak mengulangi kesilapan lalu.

“Nikah dan perkahwinan ini bukanlah perkara mudah. Tanggungjawab dan amanah kena pikul sebagai seorang suami kepada isteri. Begitu jugalah sebaliknya.

“Kami dah bercinta beberapa tahun dan bertunang selama dua tahun. Segala pengalaman dan ranjau, kami tempuhi bersama.

“Tiap hubungan pasti ada masalah, tapi kita akan cepat-cepat perbaiki agar perkara itu tidak berlarutan selama beberapa hari,” ulasnya.

Memberitahu kepada pihak media usai majlis selesai, Tauke atau nama sebenarnya Zamratul Amri Zakaria tersentuh dengan sifat sabar yang dimiliki Nadia dan tidak tersalah langkah untuk memperisterinya.

“Dia seorang yang tabah dan sangat sabar. Tiada perempuan yang boleh bersabar sampai ke tahap itu melainkan dia seorang.

“Itu yang buatkan saya lebih tersentuh dan terpaut dengan keikhlasannya. Alhamdulillah, penutup tahun ini merupakan hari bermakna buat diri saya,” katanya sebak.

Pasangan pengantin dinikahkan oleh Imam dan Jurunikah Masjid Al- I’itisam, TTDI Jaya, Mohd Fairus Shuaib yang mewakili bapa pengantin perempuan, Mohd. Effendi Mamat.

Tauke turut menyerahkan mas kahwin berjumlah RM300, wang hantaran RM30,000 dan lima dulang hantaran kepada isterinya berbalas tujuh dulang.

Untuk perkahwinan kali keempat ini, Tauke mendoakan ikatan pernikahan itu berkekalkan hingga ke nafas terakhir bersama wanita yang dicintainya.

Enggan lagi menoleh ke belakang, Tauke yang sebelum ini dikurniakan enam cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu tidak terburu-buru soal perancangan menambah zuriat.

“Insya-Allah, kalau ada rezeki, adalah. Cepat atau lambat saya serahkan pada kuasa Tuhan yang tentukan.

“Kalau boleh saya mahukan anak seramai sepasukan bola sepak (ketawa). Maknanya, kena tambah lagi lima oranglah,” ujarnya seraya disambut hilaian tawa.

Tambah Tauke, anak-anaknya yang kini menetap di Johor Bahru sedia maklum mengenai majlis pernikahan itu dan mereka tidak lupa mengirimkan ucapan tahniah.

“Saya menerima banyak ucapan tahniah daripada anak-anak dan teman rapat.

“Syukurlah masih ada yang mengingati kami dan memberi kata-kata terbaik tentang perkahwinan ini,” ujarnya lagi.

STATUS anak seni tidak pernah lekang dengan kisah kontroversi serta cerita-cerita panas yang memberi kehangatan dalam industri seni tempatan.

Malah nama Tauke sering kali terkena tempias dek gosip murahan yang mengaitkan dirinya namun dia tidak melatah dan bersikap profesional menghadapi tohmahan itu.

Bercakap tentang soal itu, sebagai isteri, kata Nadia Mohd. Effendi, dia akan sentiasa percaya kepada suaminya selain menyedari tiada perkara yang tidak boleh diselesaikan tanpa perbincangan.

“Sebagai isteri, saya kena taat pada suami. Walau macam mana sekalipun dugaan itu hadir, kita boleh berbincang.

“Buat apa kita nak percaya anasir luar lebih daripada suami sendiri sedangkan kita tak kenal pun siapa mereka.

“Sebab itulah saya sukakan kematangannya. Dia tak cepat gelabah dan akan duduk berbincang kalau ada masalah,” katanya.

Dalam pada itu, pasangan ini belum lagi menetapkan lokasi percutian berbulan madu tetapi merancangnya untuk tahun hadapan.