Membuktikannya dengan Konsert Search Live di Istana Budaya yang bermula 4 hingga 7 Disember lalu, kelangsungan hidup dan cinta terhadap muzik rock masih konsisten biar semua anggotanya sudah berusia.

Itulah pengorbanan yang berharga buat kumpulan ini dalam mengekalkan aras populariti yang sudah dipegang sejak dahulu.

Dapat disaksikan kesungguhan pemain dram, Yazit yang tidak pernah menggunakan alasan sakit buah pinggang yang dihidapinya bertahun-tahun itu untuk terus bermain walaupun hanya seketika.

Semangat setia kawan itulah yang diserap ke dalam jiwa kelima-lima anak kelahiran Johor ini yang menyusun langkah kemas menghiburkan seluruh penonton yang hadir menyaksikan konsert berkenaan.

Tenaga yang diberikan tidak boleh disangkal lagi apabila kehadiran mereka di atas pentas berprestij itu telah mengembalikan nostalgia lagu-lagu hit mereka sejak ditubuhkan pada 1981.

Memulakan konsert dengan lagu Panggung Khayalan membuatkan penonton mula terbuai dengan aksi Amy sebagai vokalis. Kualiti vokal yang dipamerkan jelas menunjukkan kesediaannya untuk menyanyikan lagu seterusnya.

Hebat! Tiada perkataan lain yang ingin digambarkan lagi dengan kumpulan ini yang terus mendendangkan lagu-lagu popular seperti Balada Pemuzik Jalanan sebelum beralih kepada Kejora Ku Bersatu dan Laila Namamu Teratas.

Pada konsert itu Search mendendangkan 21 buah lagu, Yang lain termasuk seperti Gelora Cintaku, Isi Atau Kulit, Langit dan Bumi dan Pelesit Kota.

Sebagai penutup, Search membawakan lagu Pawana yang dimainkan dengan cukup baik pada malam itu sehingga menenggelamkan nyanyian Amy sendiri apabila peminat turut berdendang sama.

Dalam konsert yang menyaksikan mereka bergandingan dengan kumpulan pemain cello, Paladin, Search mengejutkan kembali lena sebahagian peminat mereka.

Bermain dengan lagu-lagu popular lain seperti Rozana, Isabella, Fantasia Bulan Madu dan Gadisku, Yazit memulakan pukulan dramnya dengan kemas. Baginya, inilah kenangan manis yang terlalu istimewa untuk dibawa pulang buat semua.

Tambah Yazit, rasa sakit tidak dilupakan kerana hadirnya dia adalah untuk memastikan kelancaran konsert yang sudah dirancang sejak beberapa bulan lalu.

Sempat menceritakan keadaan dirinya selepas konsert malam pertama, Yazit memberitahu bahawa dia baru sahaja keluar dari hospital kira-kira dua jam sebelum konsert bermula.

“Empat hari saya terlantar di Hospital Kuala Lumpur. Rasanya inilah masa untuk saya melunaskan tanggungjawab sebagai pemain dram meskipun keadaan kesihatan tidak mengizinkan.

“Doktor memang tidak benarkan saya turut serta kerana saya berkeras memandangkan ini merupakan harapan dan kehendak saya sendiri.

“Pesan doktor, saya boleh tumbang bila-bila masa sahaja,” katanya.

Kehadiran Yazit itu juga sebenarnya membibitkan rasa gembira dan sayu ahli-ahli yang lain dengan semangat juang tinggi yang ditampilkan.

Yazit juga diberi perhatian dan penghormatan daripada penonton kerana keazamannya.

Kebimbangan mengalami masalah vokal oleh Amy sebenarnya bukanlah pemusnah konsert yang telah mengekalkan momentum persembahan sepanjang empat malam. Malah, peminat yang hadir tidak kecewa dengan persembahan yang ditunjukkan.

Amy berkata, mereka berlima saling melengkapi antara satu sama lain dan tidak mungkin dapat dipisahkan.

“Masih ingat ketika kami sama-sama datang dari Johor Bahru, 33 tahun yang lalu.

“Search ibarat sebuah keluarga. Kami datang dari Johor Bahru dan kehadiran kami telah mengubah landskap muzik Kuala Lumpur ketika itu. Pengalaman itu yang mengajar kami untuk bertahan kerana bukan mudah untuk mengukuhkan jenama Search.

“Banyak kenangan pahit manis yang telah dilalui sepanjang tempoh ini dan pastinya semua kenangan bersama anggota yang lain akan terus tersemat di ingatan sampai bila-bila.

“Tidak ada apa yang mahu kami buktikan, selain berasa bangga dapat bermain pertama kalinya di Istana Budaya.

“Inilah eksperimen untuk kami berkongsi detik indah kumpulan kami sejak ditubuhkan,” katanya.