Konsert yang pada asalnya direka untuk dipersembahkan di pentas berprestij tanah air, Istana Budaya, Kuala Lumpur tidak kelihatan janggal, malah berjaya memukau kira-kira 8,000 pengunjung yang hadir.

Hujan renyai-renyai serta permukaan padang yang sedikit lecak tidak sedikitpun melunturkan semangat rock n roll yang dapat dirasai di tapak konsert seawal pukul 6 petang.

Pengunjung mula dihidangkan dengan persembahan pembukaan pada pukul 9 malam, oleh penyanyi Fiq Mentor, yang membawakan sejumlah tiga buah lagu sebelum anggota Search beraksi.

Pentas dengan latar belakang skrin besar senyap seketika, sebelum satu persatu anggota Search tampil memperkenalkan diri, kecuali pemain drum mereka, Yazit.

Amy, Kid, Din, Nasir dan pemain dram undangan, Eddie, tanpa berlengah terus mempamerkan persembahan penuh bertenaga melalui lagu yang diangkat sebagai nama konsert, iaitu Panggung Khayalan.

Pengunjung yang telah menanti aksi mereka sejak beberapa jam terus dibuai dengan lagu-lagu popular kumpulan berasal dari Johor Bahru itu, antaranya lagu Paranoid, Gadisku, Metropolitan, Honky Tong dan Kejora Ku Bersatu.

Persembahan kumpulan yang ditubuhkan lebih 30 tahun lalu itu ternyata berjaya menggamit tumpuan pengunjung, dengan rata-rata yang hadir berusia antara 20-an hingga 40-an.

Lagu-lagu yang dipersembah termasuk Melastik Ke Bintang, Menuju Puncak, Ku Taklukan Dunia, Kejora dan Melayar Bahtera terus membawa pengunjung ke alam khayalan dengan mengenang memori-memori zaman terdahulu.

Konsert mencapai kemuncak, apabila seorang lagi anggota kumpulan Search, iaitu Yazit naik ke pentas bagi melengkapkan anggota kumpulan rock yang mempunyai peminat melangkaui negara dan generasi tersebut dengan mengambil alih tempat Eddie selaku pemain dram.

Kehadiran Yazit walaupun dalam keadaan tidak sihat, ternyata mampu terus memukau penonton yang setia mengiring nyanyian kumpulan rock tersebut dengan lagu-lagu seperti Fantasia Bulan Madu, Rozana dan Isabella.

Dalam kerancakan konsert tersebut, Amy mengambil kesempatan dengan meluahkan kegembiraan dan rasa terharunya ke atas kehadiran penyokong yang hadir bagi menyaksikan konsert mereka.

“Persembahan ini merupakan suatu pentas ‘pemanas badan’ sebelum kami merangka sebuah lagi konsert berskala mega, sesuai dengan ulang tahun penubuhan Search selama 35 tahun.

“Tempat ini (Johor) memberi makna amat besar kepada kami, kerana di sini kami bermula dan saya berharap kesemua yang hadir terhibur dengan persembahan kami,” ujarnya disambut dengan teriakan ribuan pengunjung yang membanjiri tapak konsert.

Dengan Eddie kembali menggantikan Yazit sebagai dram, Search terus memberikan persembahan bertenaga menjelang tamat persembahan, dengan lagu-lagu seperti Pelesit Kota, Pawana, Isi Dan Kulit didengarkan sebelum melabuhkan tirai persembahan dengan lagu No Way Jose, ketika jam menunjukkan pukul 12 tengah malam.