Masih perlu mengimbangi perkahwinan yang dibina dengan Awal Ashaari dengan penuh kesabaran dan kepercayaan, katanya sepanjang tujuh tahun usia perkahwinan, mereka masih dalam proses mengenali diri masing-masing selain menerima setiap cabaran rumah tangga mereka dengan hati yang terbuka.

“Usia perkenalan kami sembilan tahun dan berkahwin sudah tujuh tahun. Sebenarnya sepanjang waktu ini kami berdua dalam proses yang sama. Saling memahami antara satu sama lain selain menerima baik buruk masing-masing.

“Sama seperti orang lain perkahwinan kami juga ada turun naiknya tetapi apa yang kami amalkan jika ada apa-apa yang berlaku, kalau sudah maafkan jangan hanya di mulut tetapi dari hati, maknanya kena betul-betul ikhlas,” kongsi Scha.

Berkongsi sisi berbeza yang mungkin mereka di luar sana tidak tahu mengenai suaminya, Scha,36, mengenali Awal sebagai seorang suami dan ayah kepada anaknya. Lelaki itu digambarkan sebagai seorang yang sangat santai dalam membuat keputusan.

Berbeza dengan dirinya yang lebih suka melihat sesuatu itu berlaku dalam tempoh yang singkat, itu antara perbezaan yang masih membelenggu hubungan mereka.

“Mustahil tidak pernah berbeza pendapat, macam Awal sendiri dia mengambil masa untuk membuat keputusan, berbeza dengan saya.

“Malah ada suatu ketika komunikasi itu juga menjadi masalah antara kami memandangkan dia sering menyangka saya sudah tahu semua perkara. Itu antara perkara yang sering menimbulkan masalah, tetapi macam saya katakan tadi walaupun sudah tujuh tahun berkahwin kami masih dalam proses untuk mengenali diri masing-masing,” jelasnya.

Jangan palsukan kehidupan

Masih kekal dengan gelaran pasangan paling popular, kata Scha lagi, dia dan suaminya tidak pernah melihat gelaran itu sebagai suatu perkara yang perlu dipertahankan. Menjalani kehidupan seperti biasa, satu yang dipelajari ialah jangan cuba memalsukan kehidupan sedia ada.

“Jujurnya kami tidak merancang soal jenama pasangan popular ini, malah bukan satu keutamaan untuk mengekalkan gelaran ini.

“Apa yang kami ada ini mengambil masa, bukanlah datang dalam tempoh yang singkat. Jadi apa yang dilakukan sekarang adalah menjadi diri sendiri dan menjalani kehidupan seperti biasa,” jelasnya lagi.

Belum ada rezeki tambah anak

Sementara itu, ditanya mengenai desas desus yang kononnya dia kini berbadan dua, Scha tidak menafikan sedang berusaha untuk mendapatkan anak kedua selepas Lara Alana telah menjengah usia lima tahun.

“Memang itu yang kami sekeluarga mahukan. Saya memang mahu mengandung. Kalau mengandung memang saya akan kongsikan dengan semua.

“Namun buat masa ini belum ada rezeki, harap semua orang doakan kami,” katanya.

Tidak menolak dia dan Awal sedang memberi fokus untuk menambah ahli keluarga, kata Scha, buat masa ini dia masih belum menjalani sebarang rawatan alternatif.

“Memang menjadi fokus kami sekarang untuk menambah ahli keluarga. Antara sebabnya faktor usia.

“Buat masa ini kami masih belum mencari alternatif lain,” jelasnya lagi.