SCHA Al-YAHYA kini sedang menjayakan drama bertajuk Ti Amo Sweetheart 100 Hari. – S2/ FAIRUZ IZYANA AYUB

Walaupun diulit dengan sanjungan ramai, menjadi seorang artis atau selebriti bukan sesuatu yang mudah.

Kalau kena caranya, pasti seseorang artis itu akan menempuh jalan mudah untuk mencipta nama dalam industri. Namun jika salah gaya, ada yang menghilang begitu sahaja.

Perkara itu diakui pelakon dan pengacara, Scha Al-Yahya yang sudah lebih sedekad bergelumang dengan onak dan duri industri hiburan tanah air.

Katanya, hanya golongan artis memahami kesusahan dan kepayahan untuk bergelar insan seni, mahupun untuk terus bertahan dengan kerjaya itu.

“Scha faham bagaimana industri hiburan di negara ini, lebih-lebih lagi, ia bukan industri yang besar untuk kita.

“Orang mungkin melihat artis hidup senang, penuh glamor tetapi hanya golongan ini sahaja yang tahu kepayahan kami,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Tambah Scha, ada artis yang berjaya dan memiliki kemewahan melalui hasil kerja keras tetapi ada juga artis yang melalui detik-detik sukar demi survival mereka.

“Jadi, Scha faham mengapa ada artis sanggup mendekati peminjam wang tidak berlesen demi kelangsungan hidup.

“Bagi Scha, mereka ini perlu tampil dan bercerita kepada orang terdekat atau perlu ada satu mekanisme bagaimana golongan artis yang memerlukan bantuan kewangan seperti ini dibantu,” katanya.

Katanya, soal malu memang tidak dinafikan tetapi apa juga masalah yang dihadapi, pasti ada hikmah dan cara penyelesaiannya.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi mendedahkan kira-kira 300 ahli persatuan itu yang terdiri daripada golongan artis terjebak dengan pinjaman ah long bagi tujuan menyara diri dan keluarga kerana kekurangan tawaran pekerjaan dalam bidang seni.

Scha berkata, dia memahami perkara tersebut dan mungkin itu jalan terakhir yang mampu difikirkan artis terlibat.

“Sebenarnya ia boleh dielak. Bagi yang sudah tahu, tidak salah untuk membantu mereka.

“Kita berada dalam satu industri yang kecil. Mereka yang sudah terjebak itu, tidak perlulah berasa malu untuk berjumpa dan meminta pertolongan menerusi saluran yang betul,” katanya.

Sementara itu, ditanya perkembangan terbaru, Scha berkata, dia kini aktif menerima tawaran termasuk iklan dan drama.

Selain menumpukan fokus sebagai ibu kepada Lara Alana yang semakin membesar dan aktif serta tugas sebagai isteri, Scha juga sedang menjayakan sebuah drama, Ti Amo Sweetheart 100 Hari.

Drama yang menampilkan pelakon utama Zul Ariffin dan Neelofa itu bakal ditayangkan pada Ogos ini di saluran Astro Ria.

Diarahkan oleh Micheal Ang, Scha tampil dengan membawa watak sebagai Rania di dalam drama berkenaan.