Tidak ada secalit cerita negatif tentangnya kecuali dilihat sangat mementingkan keluarga.

Begitu pun, Alif mendedahkan yang dia hanya manusia biasa dan tidak terlepas daripada melakukan kekhilafan.

Alif Satar
 

Justeru, kehadiran Syawal menjadi pelengkap untuknya saling bermaafan dengan keluarga tersayang.

Malah, Alif mengakui dia akan menangis tanpa disedari setiap kali bersalam dengan isterinya, Sha Dila pada pagi hari raya.

“Saya tidak sempurna. Dalam apa yang saya lakukan, niat saya sudah tentu untuk mencari rezeki. Insya-Allah setiap kali niat kita baik diiringi dengan usaha dan doa, pasti Allah akan makbulkan.

“Walaupun secara luaran orang tidak nampak, saya juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada silap. Jadi, inilah masa untuk meminta maaf kepada isteri yang banyak berkorban selama ini. Tanpa sokongannya, siapalah saya.

“Setiap kali tibanya pagi raya, acara wajib saya dan isteri adalah bersalam dan bermaafan. Kalau bukan hari raya pun, kami memang selalu minta maaf. Namun bermaafan pada hari raya lebih isimewa kerana melibatkan emosi apatah lagi kami sebagai suami isteri.

“Nak tahu, saya dan isteri pasti tidak dapat menahan sebak setiap kali bersalaman. Entah kenapa, kami akan menangis serentak tanpa disedari. Mungkin ia melibatkan emosi dan perasaan kami tersentuh kerana terlalu banyak yang kami lalui bersama sepanjang lima tahun hidup sebagai suami isteri.

“Ketika itu saya akan fikir apa kesalahan yang dilakukan terhadap isteri. Begitu juga dengannya merasai perasaan yang sama. Iyalah, mana-mana hubungan pasti ada naik turunnya,” luah Alif yang sentiasa berusaha melakukan yang terbaik buat isteri dan anak-anaknya.

Satu tradisi yang tidak diketahui orang ialah bagaimana keluarga Alif sangat menghargai cara lama dalam menyampaikan kasih sayang dan kemaafan.

Justeru, pada setiap tahun apabila menjelang Aidilfitri, mereka sekeluarga akan menjalani sesi fotografi lebih awal bagi dijadikan kad raya istimewa.

“Keluarga saya memang akan buat kad raya setiap tahun. Biasanya baju raya akan siap lebih awal kerana kami sekeluarga akan menghadiri sesi forografi untuk menyiapkan kad raya tersebut.

“Kami mahu mengembalikan zaman kemeriahan kad raya yang tidak dirasai oleh generasi muda sekarang. Kami akan hantar kepada sanak saudara terdekat untuk dijadikan kenangan.

“Apabila menerima kad raya daripada kawan-kawan, itu adalah satu penghargaan dan kami akan gantung di satu sudut dalam rumah untuk tatapan tetamu yang datang,” kata Alif yang akan muncul dengan lagu baharu berjudul I Want You To Love Me.