Ezlynn atau nama penuhnya Azline Ariffin ketika dihubungi Utusan Online memberitahu, perbuatan itu telah dilakukan oleh Adam sebanyak empat kali.

“Semalam (Ahad) saya balik rumah pukul 7.30 malam terkejut bila pintu pagar sudah terbuka.

“Saya tahu itu perbuatan dia (suami) sebab sebelum ini sudah banyak kali dia lakukan hal yang sama.

“Kali ini dia berbuat demikian sebab saya telah menukar kunci mangga di pintu pagar dengan yang baharu dan dia tidak mempunyai kunci pendua. Hanya di bahagian pintu rumah sahaja dia ada kunci pendua,” katanya.

Jelas Ezlynn,38, lagi, dia sudah melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa namun tidak mampu berbuat apa-apa memandangkan rumah itu merupakan hak milik bersama.

“Pihak polis dan peguam ada beritahu jangan ambil tetapi dia tetap berdegil. Mereka (polis dan peguam) semua sudah diberitahu namun disebabkan rumah itu dua nama, jadi dia masih ada hak walaupun sudah berbulan-bulan tidak pulang ke rumah.

“Rumah saya sudah kosong sebab dia sudah ambil semua barang cuma tinggal perabot besar sahaja. Saya ada cakap dengan dia, kalau nak datang,tunggu bila saya ada di rumah tapi dia sengaja datang waktu saya tiada kat rumah,” ulasnya.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Hi Hi Bye Bye itu lagi, Adam turut menganiayanya dengan menutup ‘periuk nasi’nya hingga tidak memperoleh sebarang tawaran nyanyian.

“Seorang penganjur memberitahu saya, Adam mengaku masih lagi pengurus saya dan telah menerima butiran tentang persembahan namun apabila sampai masanya, dia tak bagi sebarang maklum balas kepada pihak berkenaan.

“Selama 11 tahun saya bekerja, saya tidak sentuh langsung duit hasil nyanyian sebab dia yang pegang semua duit itu. Saya sudah banyak bersabar dengan tindakannya itu.

“Dia boleh pergi bercuti dan berhutang RM10,000 dengan saya tetapi hingga kini masih tidak langsaikan pinjamannya itu. Saya jenis yang susah nak kongsi hal peribadi pada orang luar tetapi bila dah sampai tahap macam ini, saya rasa cukuplah nak memendam perasaan,” jelasnya dengan nada sebak.

Pada 20 April lalu, penyanyi itu memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya mengikut Seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1984.

Bagaimanapun Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur menetapkan 23 Oktober depan untuk laporan hakam berhubung kes perceraian mereka selepas kedua-dua pihak mahu meneruskan penceraian.

Ezlynn dan Adam mendirikan rumah tangga pada 20 November 2011 dan tidak dikurniakan cahaya mata. - UTUSAN ONLINE