Syamsul, 33, berjaya merangkul trofi Pengarah Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik Ke-57 menerusi filem Munafik yang berlangsung di Phnom Penh, Kemboja semalam.

Suami kepada pelakon, Puteri Sarah itu juga meluahkan rasa syukur dan bangga kerana dapat mengharumkan nama negara di mata dunia.

“Kalau tanya perasaan, memang saya terkejut kerana tidak sangka sama sekali saya menang. Saya masih terlalu kerdil untuk pengiktirafan ini.

“Saya tahu pihak Perbadanan Kemajuan Filem Na­sio­nal Malaysia (Finas) ada menghantar pencalonan tapi tak sangka pula boleh menang.

“Saya anggap kemenangan ini satu mimpi yang menjadi kenyataan. Walaupun Munafik sebuah filem seram, namun pihak penjurian dapat menyelami mesej mendalam menerusi filem itu,” katanya kepada UTUSAN ONLINE di sini hari ini.

Syamsul yang tidak dapat menghadiri majlis itu juga menjadikan kemenangan itu sebagai satu pembakar semangat untuk menghasilkan lebih banyak karya yang berkualiti dan terbaik.

“Saya anggap ini bukan tekanan sebaliknya satu pembakar semangat. Saya sentiasa berusaha sebaik mungkin untuk memberikan yang terbaik kepada penonton.

“Di usia 33 tahun ini, saya telah berjaya merealisasikan satu daripada mimpi-mimpi indah. Tapi itu bukan bererti saya sudah puas, banyak lagi yang saya harus belajar dan kecapi,” katanya.

Syamsul kini sedang sibuk menyiapkan filem, Munafik 2 yang dijangka menemui penonton selewat-lewatnya Mac tahun depan. - UTUSAN ONLINE