Bagaimanapun senyuman yang dilemparkan Erma, 46, sejak beberapa bulan lalu, seperti mendapat tempat di hati peminatnya.

Tidak kurang yang mahu menjadikan dia contoh dan melabelkan dia sebagai seorang wanita yang tabah.

Bukan apa, poligami buat sesetengah wanita bukan sekadar perkataan memandangkan ada yang perlu dikorbankan jika meneruskan pilihan tersebut.

Jelas Erma, di kala ini, melihat kebahagiaan Bada Hj. Azmi adalah sesuatu yang menyenangkan malah katanya di tahun baharu ini dia lebih teruja untuk melihat apa yang sudah dijanjikan yang Maha Esa buat dirinya.

“Saya didik diri untuk buat sesuatu itu bukan bagi mendapatkan ganjaran. Sebab itu apabila orang memperkatakan soal payung emas, saya tidak terbawa-bawa.

“Saya percaya ini satu ujian Allah buat diri ini. Mungkin ini cara belajar untuk terima sesuatu itu dengan hati yang terbuka tanpa mengharapkan apa-apa. Sama seperti bila saya menunaikan solat, kerana saya mahu menunaikan kewajipan tanpa memikirkan ganjaran sebab kita tahu kita tidak layak untuk itu,” katanya.

Melihat keupayaan dirinya, ada yang memuji penerimaan Erma dalam soal ini. Benarkah dia bersedia untuk dijadikan contoh buat wanita di luar sana?

Jujur dengan hatinya, kata Erma jangan mengambil dia sebagai contoh. Pesan pengarah ini, hayati sendiri kemahuan diri sebelum membuat keputusan.

“Jangan jadikan saya contoh. Saya hanya kendalikan hati sendiri. Saya percaya hanya kita sahaja mampu mengendali hati masing-masing. Saya belajar untuk ikhlas sebab saya mahu orang yang saya sayangi bahagia.

“Tetapi kepada mereka jangan anggap apabila seseorang itu tidak boleh menerima kehidupan bermadu, mereka itu dianggap sebagai jahat. Kadang-kadang kita tidak tahu mungkin dia terlalu sayangkan suaminya sehingga tidak mampu berkongsi. Sebab itu jangan ikut orang. Kenali hati sendiri jangan paksa,” katanya.

Berkongsi kisah kehadiran anak tirinya, yang hampir berusia sebulan, kata Erma tentunya ini momen yang bahagia buat keluarga besarnya.

Malah anak bongsunya, Cinta Aina Sofea yang kini berusia sembilan tahun juga teruja dengan ahli baharu yang bernama Jihad itu.

“Seperti yang saya katakan tadi, saya tidak ada masalah dengan suami saya dan Aida. Memang saya ada melawat ketika dia bersalin tempoh hari, tetapi tentunya Aida dan bayi tersebut tidak berada di rumah kami.

“Anak saya juga gembira dengan kehadiran bayi tersebut memandangkan dia memang suka menjadi kakak, ada adik sendiri. Soal tanggungjawab, memang saya tidak boleh nafikan Bada tidak pernah melupakan kami,” katanya tersenyum.

 

Tahun 2015

Melewati 2014 dengan jaya balas Erma tahun ini dia mahu pastikan ada sesuatu yang lebih mampu diberikan dirinya kepada industri. Manakala bercakap soal peribadi pula wanita ini yakin dia sudah menepati kebahagiaan yang dimahukan diri.

“Tahun 2014 memang tahun yang baik untuk saya, buat karier saya khususnya. Manakala tahun lepas juga saya banyak mengembara ke serata dunia mendapat ilmu.

“Tentunya tahun ini saya harapkan yang terbaik buat karier dan kehidupan saya juga,” katanya.

Sementara itu, mengemudi kerjaya sebagai pengarah kebelakangan ini, ada yang terlupa Erma sebenarnya bermula sebagai seorang pelakon. Tidak menolak sedia berlakon, bagi Erma dia mempunyai syarat tersendiri untuk memastikan kepuasan lakonan itu mencapai tahap maksimum.

“Saya tidak boleh mengarah dan berlakon, itu salah satu sebab saya tidak berlakon dalam filem atau drama arahan saya.

“Memang saya bersedia terima tawaran lakonan, namun saya mahu pastikan skripnya berbaloi untuk saya,” katanya yang bakal berlakon dalam sebuah teater berskala kecil tidak lama lagi.

Sementara itu, bercakap mengenai karya terbaharunya teater muzikal Sirah Rasulullah Tahajjud Cinta, Erma tidak menolak teater itu lebih ringan berbanding Takhta 3 Ratu.

Katanya, setelah tiga kali menjayakan teater Sirah Rasullulah dia yakin ini adalah serpihan tanggungjawab yang perlu dilakukan demi menyingkap kembali perjuangan Rasulullah SAW.

“Teater Sirah Rasulullah Tahajjud Cinta merupakan penyejuk buat saya selepas menjayakan teater Takhta 3 Ratu. Jadi tiada masalah mengenai teater ini memandangkan kisahnya sudah ada cuma sedikit perbezaan dari segi props dan lagu.

“Istimewa mengenai teater yang berlangsung pada 3 sehingga 7 Januari lepas ini adalah sumbangan kutipan hari terakhir teater ini secara keseluruhnnya buat mangsa banjir di Pantai Timur,” katanya.

Ketika soalan ini menerpa, Erma dengan jujur berkata, dia langsung tidak mengetahui apa sebenarnya yang terjadi di antara keluarga anak didiknya dan pengarah Jinggo. Jinggo baru-baru ini berkongsi paparan skrin membabitkan bualannya bersama bapa Balqis. Antara yang terkandung dalam perbualan itu, bapa Balqis menuduh Jinggo sengaja menipu soal tawaran lakonan kepada anaknya. Juga terdapat kata kesat yang dilemparkan sehingga menimbulkan kemarahan Jinggo yang menuduh bapa Balqis sebagai lupa diri.

Bagaimanapun bercakap berdasarkan naluri sorang ibu, tentunya di waktu kini Erma mahu menyebelahi Puteri Balqis.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku, tetapi di saat ini, saya lebih mengenali siapa Balqis. Sebab itu bila diberitahu kisah ini hati saya berat. Sukar sebenarnya untuk berfikiran teruk tentang seseorang yang kita kenal. Malah saya tidak pernah alami sebarang masalah dengan Balqis mahupun dengan kedua ibu bapanya,” katanya.

Tidak menolak sebarang kemungkinan, kata Erma, jika benar tindakan Jinggo tersebut, dia percaya mungkin ada sesuatu yang perlu dilakukan.

Kata Erma soal ‘tidak sedar diri’ perlu dihapuskan secepat yang mungkin sebelum menjadi lebih parah.

“Saya sering menasihati Balqis agar sentiasa rendah diri, malah ketika dia menerima anugerah baru-baru ini juga saya mahu dia tahu kebanggaannya hanya berada di atas pentas sahaja.

“Sebab jika benar apa yang dikatakan Jinggo itu, saya mahu mereka cepat sedar dengan keadaan ini (keluarga Balqis), memandangkan industri kita tidak memerlukan sikap sedemikian rupa,” katanya.

Ada yang menganggap keadaan ini mencalarkan nama baik pelakon kanak-kanak ini. Malah sudah ada yang percaya mungkin isu ini akan membelenggu potensi kanak-kanak itu pada masa hadapan.

Bagaimanapun bagi Erma, apa yang berlaku itu tidak cukup untuk menjatuhkan seorang pelakon berbakat besar ini.

“Jika kisah seperti ini sudah mencalarkan imej seseorang, apa pula yang mahu dikatakan kepada saya? Saya sudah hampir 20 tahun berhadapan dengan keadaan yang sama. Bagi saya ini tidak mencalarkan imej mana-mana pihak.

“Penting untuk kita ketahui bahawa bakat dan kredibiliti seseorang dalam industri sahaja yang mampu menentukan hala tuju seseorang itu. Bukan gosip,” katanya.