SHAHARUL RIDZWAN

Tidak pernah ter­lintas di fikiran pelakon kacak berusia 29 tahun itu yang dia akan menerima kecaman bertalu-talu oleh penonton setia drama yang ditayangkan di slot Akasia di stesen te­levisyen TV3.

Sekalipun agak ‘pedih’ untuk didengari telinganya, namun Saharul menyifatkan, kecaman-kecaman sedemikian saling tidak ubah seperti satu gurauan daripada penonton semata-mata.

“Jangan pula anggap saya dayus atau lemah hanya kerana melihat lakonan saya dalam Jangan Benci Cintaku. Itu sekadar lakonan sahaja. Saya hanya memenuhi tuntutan karakter,” ringkas komen Saharul ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Drama bersiri terbitan Suhan Movies Production yang me­ngupas konflik rumah tangga itu mencetus fenomena dalam kalangan penggemar drama Melayu sejak mula ditayangkan pada 29 Jun lalu bermula pukul 7 hingga 8 malam setiap hari Isnin hingga Jumaat di TV3.

Selain Saharul, naskhah Jangan Benci Cintaku turut menampilkan pelakon lain termasuk Niena Baharuddin, Zahirah McWilson dan Azizah Mahzan.

Bagi Saharul lagi, walaupun ada sebilangan peminat menggelarkannya sebagai lelaki yang dayus dan lemah, namun dari satu perspektif lain, pelakon berkenaan amat gembira kerana karakter lakonannya itu berjaya meninggalkan kesan kepada penonton.

Dalam masa sama, pelakon yang juga bapa kepada seorang cahaya mata itu mengharapkan peminat tidak hanya menonton drama tersebut sebagai satu hiburan, sebaliknya, memahami mesej tersirat menerusi setiap watak dalam Jangan Benci Cintaku.

“Peminat sekarang sudah bijak, tahu membezakan yang mana drama dan juga realiti. Kalau nak kata saya dayus (kerana watak Shah), tidak sama sekali. Penonton kena faham kenapa Shah bersikap demikian.

“Memandangkan drama itu sudah tular dan mencetus fenomena, apa yang saya harap­kan adalah kesedaran peminat terhadap nilai-nilai murni yang ada. Setiap watak ada kekuatan sendiri,” katanya lagi.

Ini kerana kata Saharul, lazimnya masyarakat tidak memandang isu konflik rumah tangga sebagai sesuatu yang serius dan dia sebagai pelakon sebolehnya mahu peminat berfikir di luar kotak jalan cerita drama tersebut.

“Ramai yang suruh Shah ceraikan Fika tetapi mereka harus tahu, perkara halal yang dibenci Allah adalah perceraian. Orang tengok drama itu untuk lepaskan kemarahan dan hiburan tetapi tidak bagi saya. Saya tidak kisah kalau orang kecam kerana drama. Yang paling utama fahami mesej atau pengajaran daripada drama itu,” tegas Saharul lagi.