Cuba menyelesaikan perkara ini sebaik mungkin pada mulanya, tanpa disangka dia juga melakukan kesilapan.

Secara tidak sengaja Remy mendedahkan status hubungan pertunangan yang sudah berakhir dengan Ezza Yusof dalam laman sosial minggu lalu.

Kongsinya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

“Saya sebenarnya mahu minta maaf, sebagai seorang lelaki bila berada dalam masalah kita seharusnya kena bijak dan tidak mengikut perasaan.

“Ini kesilapan dan kelemahan saya. Saya memang akui hubungan yang terjalin berada dalam krisis, tetapi sepatutnya saya kena menjaga hati pelbagai pihak dalam soal ini,” jelasnya yang mengikat tali pertunangan dengan Ezza pada Mei 2017.

Tidak mahu berdolak dalik dengan apa yang berlaku, Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, 37, sudah cukup bersedia menjelaskan apa yang sedang dilaluinya kini.

REMY ISHAK tidak mahu mementingkan diri sendiri dan menyekat kehidupan orang lain.
REMY ISHAK tidak mahu mementingkan diri sendiri dan menyekat kehidupan orang lain.

Tenang memberitahu dia masih belum mampu melangkah ke alam perkahwinan, sehingga ke saat ini kongsi Remy, dia masih samar dengan hala tuju hubungannya dengan Ezza.

“Dua tahun berkawan dan seterusnya dua tahun lagi mengikat tali pertunangan, dalam tempoh itu saya masih belum mampu memperbaiki diri.

“Saya juga belum mampu menjaga orang lain.

“Ini adalah kelemahan saya. Jadi daripada saya tidak tahu hala tuju hubungan ini adalah lebih adil untuk saya melepaskannya. Ini kerana tidak patut untuk saya mengikat anak orang dalam hubungan ini,” katanya.

Masih terkesan dengan apa yang berlaku, jelas Remy, bukan mudah untuknya bercakap soal ini.

Meletakkan tanggungjawab sebagai sebab utama, dalam keadaan ini dia masih perlu memikirkan pihak lain.

“Saya tidak boleh pentingkan diri, jadi ini adalah yang terbaik daripada saya menyekat kehidupan dia. Dalam keadaan ini saya tidak mahu komen memandangkan saya takut percakapan saya ini akan lebih mengeruhkan keadaan.

“Memang pihak sebelah saya juga mengharapkan untuk meneruskan, tetapi dalam keadaan ini saya tidak boleh memaksa pihak sebelah sana menunggu. Namun saya tidak mahu nafikan jika ada rezeki dan jodoh kami suatu hari nanti,” katanya.

Nampak tenang untuk menjelaskan apa yang berlaku, Remy tidak nafikan apa yang berlaku berpunca daripada dirinya sendiri.Ternyata komitmen dan kegagalannya mencari apa yang dimahukan dalam perhubungan itu membawa kepada keputusan berat tersebut.

“Dalam tempoh hubungan ini saya sebenarnya sudah penat untuk meneruskan apa yang tidak ada. Jadi saya pilih untuk tidak meneruskannya.

“Namun, apa yang berlaku antara kami tidak ditamatkan begitu sahaja. Tempoh perkenalan kami agak lama, jadi apa yang masih baik di antara kami akan diteruskan sebab ini soal profesional,” kata Remy dengan tenang.

Tidak melibatkan orang ketiga

Ketika ini namanya cukup sinonim dikaitkan dengan pelakon cantik Mira Filzah.

Malah kejayaan lakonan mereka dalam drama Pujaan Hati Kanda memberi peluang untuk peminat melihat mereka bersama di pentas realiti.

Menafikan Mira ada kena mengena dengan keputusan yang diambil, kongsi Remy, keputusan itu tidak melibatkan mana-mana pihak lain.

“Mira tidak ada kena mengena dengan apa yang berlaku. Malah tidak ada orang ketiga yang terlibat dalam keputusan ini.

“Tiada wanita lain yang terlibat di pihak saya dan tiada lelaki lain yang terlibat di pihak sebelah sana,” jelasnya.

Selepas hampir sebulan mengambil keputusan ini, bagi Remy dalam tempoh ini dia melihat apa yang berlaku sebagai tempoh bertenang.

Menolak untuk menjawab sama ada proses pemulangan cincin sudah berlaku, jelasnya, soal itu terlalu peribadi untuk dikongsi.

“Tentang urusan pulang cincin pertunangan terlalu peribadi untuk saya kongsikan. Biar keluarga saya dan dia uruskan soal itu.

“Boleh juga cakap sekarang saya sedang mengambil masa untuk proses bertenang,” katanya.

Sementara itu, Remy kini merupakan rakan kerjasama pemasaran untuk jenama minuman tempatan, Origina. Bakal berada di beberapa lokasi untuk mempromosikan minuman ini, kongsi Remy, dia tidak sekadar mahu bergelar seorang duta memandangkan dia yakin produk ini membawa kebaikan kepada pengguna.

Buku jelas keadaan diri

Jika ada yang melihat lelaki ini sebagai seorang yang rumit, ternyata apa yang dimahukan Remy dalam sebuah hubungan juga sama seperti mereka di luar sana. Namun bukan mudah baginya untuk berkongsi cerita.

“Tiada bezanya dengan orang lain. Saya rasa dalam mana-mana hubungan juga mahukan perkara yang sama.

“Saling memahami dan sebagainya,” katanya.

Bakal menghasilkan buku mengenai dirinya bulan hadapan, Remy yakin mereka di luar sana kelak akan lebih faham apa yang sedang dilaluinya termasuk soal depresi.

“Saya akan hasilkan sebuah buku sedekad Remy Ishak. Dalam buku itu nanti akan menceritakan segalanya-galanya termasuk perjalanan saya dalam industri ini dan apa yang saya pernah lalui.

“Saya yakin menerusi buku itu kelak mereka boleh menilai sendiri apa yang sedang saya harungi. Ia termasuk soal depresi dan tekanan jiwa dan mengapa saya tidak mampu ke fasa seterusnya.

“Bagaimanapun, buku ini tidak akan menyentuh hubungan cinta saya mahupun keburukan orang lain, semuanya tentang saya sahaja,” jelasnya lagi.