Biarpun hampir tiga tahun Allahyarham suaminya, komposer terkenal Johan Nawawi meninggal dunia, Nora Ariffin mengaku sehingga kini cinta dan kasihnya terhadap lelaki tersebut tidak pernah padam.

Ada ketika menjadikan ruang media sosial untuk mencurah rasa hati dan kerinduan pada Allahyarham, Nora pernah dikecam gara-gara dianggap masih belum menerima hakikat dan

NORA bersama anak-anak yang kini menjadi tulang belakang hidupnya.
NORA bersama anak-anak yang kini menjadi tulang belakang hidupnya. 

takdir.

Ada yang bersikap keterlaluan sehingga tergamak mengejek-ejek cara penyanyi ini dalam media sosial.  

Pada awalnya turut 'melawan' menegakkan pendirian, kini Nora lebih tenang mengendalikan situasi seperti itu dalam senyuman.

"Mereka kata alahai, orang lain pun ada yang kematian suami juga, tak adalah macam saya.

Betul tu, tapi pengalaman kita tidak sama. Saya ada beberapa orang kawan yang melalui saat sukar kehilangan suami dan mereka mencari saya untuk meluah rasa.

"Saya layan mereka kerana memahami apa yang dilalui. Sebab itu saya katakan, orang di luar yang tidak rasa dan lalui, mereka tak akan faham," katanya meluahkan perasaan.

Tidak menyangka perkongsiannya dalam media sosial turut menjadi rujukkan, Nora  turut menerima pelbagai pertanyaan dengan sesetengahnya turut meminta nasihat daripadanya.

"Secara tak langsung saya dah jadi macam seorang pakar motivasi pula kerana ada antaranya mahu saya memberi kata-kata semangat pada mereka.

"Secara peribadi, saya gembira dapat berkongsi pengalaman dan yang penting, memahami bahawa golongan wanita yang kehilangan suami ini sebenarnya memerlukan  sokongan daripada semua pihak," tambahnya.


Diberi kekuatan

Mengaku reda di hati lambat hadir, penyanyi yang popular dengan lagu di Persimpangan Dilema ini perlahan-lahan mula nampak hikmah yang Allah SWT beri.

Selama ini terlalu sering hidup berdua dengan Allahyarham Johan, Nora tidak pernah menyangka akan tiba satu saat dia perlu melakukan semua perkara seorang diri.

"Bila Johan tak ada, saya tak pernah terfikir akan jadi sekuat ini. Bayangkan, saya tak pernah pergi bayar sebarang bil, insurans mahupun berjumpa mekanik untuk membaiki kereta.

"Sekarang saya kena buat semua itu sendiri. Rupanya inilah hikmah yang Tuhan nak berikan. 

"Malah, hubungan saya dengan anak-anak juga semakin hari semakin rapat. Tak apalah, Johan sudah aman di sana, saya akan tetap jalankan tanggungjawab di sini," katanya.

Sibuk

Kini  banyak mengisi masa dengan pelbagai aktiviti harian, penyanyi ini juga mengaku sibuk menguruskan kebanyakan bisnes peninggalan Allahyarham suaminya.

Tidak cuma itu, Nora juga bakal menyusul dengan acara besar menerusi penganjuran Minggu Setiausaha yang akan diadakan di Hotel Palace of Golden Horses pada 25 April depan. 

Kini sedang giat membuat persediaan, Nora  teruja kerana dia bakal berkongsi pentas dengan idolanya Aishah Ariffin.

Berjudul Spectacular Secretaries Week Luncheon 2019, acara anjuran Mareepoosa Creative & Event itu turut akan dijayakan pemain saksafon Alif Nasir termasuk Uchop Ahmad dan Irwan Mentor Otai.

Untuk persembahan itu kelak, sebanyak 50 buah meja disediakan dengan harga RM6,000 (Sapphire), RM5,000 (Ruby), RM4,000 (Emerald) dan RM3,000 (Amethyst).

Bagi pembeli tiket individu harga yang ditawarkan adalah RM600, RM500, RM400 dan RM300.
Sebanyak 10 peratus hasil jualan meja akan disalurkan kepada tabung  Institut Diabetes Negara (NADI) bagi membantu kos perubatan kanak-kanak yang menghidap diabetes.

 

 

Pengganti?

Sempat tertawa besar apabila diajukan pertanyaan sama ada dia sudah bersedia mencari pengganti Allahyarham sebagai suami, wajah wanita berusia 46 tahun ini bertukar kemerah-merahan.

Menganggap ia cuma soalan usikkan daripada teman media, Nora bagaimanapun enggan bermulut celopar.

Jujurnya tidak lagi terfikir akan perkara itu, sebagai seorang manusia biasa Nora akui adakala berasa sunyi mengenangkan insan tercinta tiada di sisi.

"Pernah saya dimarahi seorang ustazah kerana bermati-matian mengatakan tak mahu dan tak akan mencari pengganti.

"Ustazah saya katakan, setiap manusia tidak tahu apa aturan Allah SWT. Kadangkala Dia ambil sesuatu daripada kita kerana mahu menggantikan bukan yang lebih baik, tapi yang terbaik untuk kita," katanya.

Menjawab pertanyaan, kata Nora, dia kini menyerahkan sahaja semua urusan itu pada Yang Maha Esa kerana percaya dengan segala ketentuan-Nya.

"Anak-anak gembira andai saya bahagia. Itu yang mereka katakan dan bagi saya, andai pintu hati terbuka untuk berkahwin lagi, maka saya jalani saja.

"Kalau belum, datanglah orang yang macam mana sekali pun, bila hati belum terbuka maka tak akan terjadi juga bukan? Fikir dan doakan yang baik-baik," katanya.