“Saya bertuah kerana memiliki isteri seperti Kaka. Bukan senang nak menjaga orang yang mengalami penyakit seperti saya ini melainkan dia mempunyai tahap kesabaran yang tinggi.

“Tak mudah untuk orang lain faham situasi seperti saya. Ia seperti tangan luka tetapi ditoreh dan dipicit-picit lagi bahagian luka tersebut. Seperti itulah perasaannya.

“Apabila saya terlalu memikirkan sesuatu, bukan senang untuk saya berhenti. Ia membuatkan saya tidak tenang dan boleh berkelakuan pelik seperti tiba-tiba menangis atau marah tanpa sebab.

“Apabila saya mengalami depresi, jika tiada yang membantu ia boleh mendatangkan bahaya. Saya pernah mencederakan diri sendiri dengan memukul dinding.

“Disebabkan pengalaman itu, apabila saya depresi, Kaka akan cepat-cepat pegang tangan dan menenangkan saya. Dia cuba mengalih perhatian saya kepada sesuatu yang lain.

“OCD pula menyebabkan saya akan berfikir hal yang akan datang dan bukan keadaan semasa. Jadi untuk cuba berhenti berfikir, saya buat kerja rumah untuk mengalih beban otak saya terhadap sesuatu yang tidak sepatutnya saya fikirkan.”

“Saya tahu hal ini akan berulang lagi tapi sekurang-kurangnya saya mempunyai seseorang untuk diluahkan. Ia sangat membantu kerana kalau saya keseorangan, memang boleh mendatangkan bahaya kepada diri,” cerita Adam jujur.

Begitu mudah bagi seorang wanita yang bergelar isteri jika ingin ke syurga, taatlah kepada suami dan sentiasa bersamanya dalam susah atau senang.

Itu prinsip yang dipegang oleh Kaka Azraff atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 29, setelah bergelar isteri kepada Adam Azriff, 29. Semenjak dinikahkan pada 14 Disember tahun lalu, Kaka mengaku dia nekad meletakkan suami sebagai keutamaannya.

Tanggungjawab sebagai isteri diharungi dengan cekal terutama ketika saat menjaga dan merawat suaminya yang menghidap Gangguan Bipolar dan OCD,

Gangguan Bipolar ialah penyakit mental yang menyebabkan depresi, menjejaskan ragam, tenaga dan keupayaan seseorang untuk berfungsi.

“Memang tidak ada manusia yang sempurna dalam dunia ini namun Adam sangat sempurna di mata saya apabila kami sah menjadi suami isteri. Saya akan lakukan apa sahaja untuk ‘syurga’ saya ini.

“Tanggungjawab saya sebagai isteri semakin menyeronokkan apabila saya berpeluang menjaga atau menjadi ‘jururawat’ kepada suami yang menga­lami gangguan dan OCD.

“Kami berdua tidak kisah berkongsi hal ini kepada umum kerana ia sebenarnya banyak berlaku dalam kalangan masyarakat. Cuma kita menyedari atau sebaliknya.

“Sekurang-kurangnya perkongsian saya ini memberi manfaat dan menjadi panduan buat mereka yang melalui situasi yang sama atau berhadapan dengan ahli keluarga yang mengalami gangguan sebegini,” kata Kaka berterus-terang.

Tambahnya. sebelum mereka bergelar suami isteri, dia sudah mengetahui dengan jelas gangguan-gangguan yang ada pada Adam.

“Pertama kali melihat kelakuan Adam apabila emosinya terganggu saya agak terkejut, namun saya menjadi teruja untuk membantu sehabis baik kerana saya sangat mencintainya.

“Adam pernah mengalami depresi dan menerima rawatan psikologi daripada psikiatri. Rawatan itu tidak cukup kerana pesakit seperti Adam ini memerlukan sokongan kuat daripada orang terdekat. Jadi, sebagai isteri saya mengambil tanggungjawab ini untuk merawat penyakitnya secara perlahan-lahan.

“Ada juga yang bertanya, bolehkah saya berhadapan dengan situasi suami dan merawatnya sedangkan saya bukanlah seorang doktor.

“Sejujurnya apa yang dialami oleh Adam ini terkawal dan ia tidak menjejaskan orang lain pun. Ia hanya boleh menjejaskan dirinya sendiri jika gangguan emosi itu datang.

“Namun semua itu boleh dielak dengan bantuan saya sebagai isteri. Untuk itu saya selalu menonton apa sahaja video berkaitan penyakit ini. Saya tidak jemu-jemu membuat penyelidikan sendiri kerana mahukan yang terbaik buat suami,” luah Kaka.