April sememangnya signifikasi dengan penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini kerana pada bulan inilah dia mula bertapak sebagai anak seni, puluhan tahun lampau.

Tahun 2015 genaplah usia 20 tahun dia merentasi perjalanan masa bergelar anak seni dan menariknya, selepas dua dekad itu, dia kekal menjadi kesayangan semua.

Pada malam Selasa lalu, bertempat di Panggung Sari, Istana Budaya, penyanyi nombor satu negara berjaya menghimpunkan ratusan peminatnya dalam satu malam demi menyaksikan konsert yang dinamakan Datuk Siti Nurhaliza Unplugged 2015.

Tidak perlu instrumen muzik yang banyak, Siti berjaya melontarkan vokalnya pada malam itu dia memberikan kepercayaan kepada pemuzik kegemarannya, Aubrey Suwito untuk mengetuai susunan muzik akustik.

Selama dua jam konsert berlangsung, Siti membawa peminat mengimbau kembali perjalanan kariernya ketika pertama kali menyertai Bintang HMI 1995 hingga kini.

Siti akui, dengan terlaksananya konsert akustik ini ia sekaligus melengkapkan portfolio dirinya selama 20 tahun menjadi penyanyi.

“Dahulu Siti pernah memasang angan untuk membuat konsert sebelum usia 21 tahun dan alhamdulillah angan-angan itu berjaya menjadi kenyataan di usia Siti 20 tahun.

“Sebelum ini Siti pernah menjayakan konsert jelajah Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura dan di Royal Albert Hall, London. Jadi pemilihan untuk buat konsert secara unplugged adalah pilihan Siti sendiri demi mahu berikan kelainan dan lengkaplah perjalanan seni Siti,”katanya.

Satu malam yang cukup indah, tetapi berjaya memberi tafsiran untuk 20 tahun perjalanan kehidupan Siti Nurhaliza sehingga bergelar bintang yang paling mempersona dalam industri hiburan tempatan.

Kekuatan seorang Siti Nurhaliza bukan setakat pada suaranya yang lemak merdu bergemersik, tetapi juga kerana sopan santun dan sifat menghargai yang semulajadi ada dalam dirinya.

Menanti November

Demi memberi satu lagi peluang kepada peminatnya, Siti bakal menyaksikan pementasan Konsert The Muzikal Fragmen Siti selama lapan hari di Istana Budaya, November depan.

Konsert yang bertemakan nyanyian, muzikal dan lakonan ini bakal mengimbau semula perjalanan hidup dalam kepayahan bergelar anak seni.

“Pementasan konsert muzikal ini akan ada nyanyian,visual, muzik dan lakonan. Untuk lakonan Siti ketika di bangku sekolah dan remaja, akan ada pelakon yang akan lakonkan sebab zaman itu Siti tidak memakai tudung. Tapi siapa pelakonnya, tunggu lah nanti akan diumumkan.

“Harap masa lapan hari ini dapat beri ruang untuk peminat datang menyaksikan pementasan muzikal ini yang akan diadakan pada 14 hingga 21 November ini,” katanya sambil tersenyum.

Persiapan dua minggu

Hanya satu malam sahaja, pastinya rata-rata peminat cinta mati Siti melahirkan rasa kecewa dan sedih kerana tidak dapat menjadi saksi kepada persembahannya pada malam tersebut.

Ia diakui sendiri si empunya badan, namun dia terpaksa membuat keputusan di saat akhir demi mendapatkan tempat yang selesa buat peminatnya.

“Tak dinafikan ada peminat yang meluahkan rasa marah-marah dan kecewa sebab tak dapat tengok konsert Siti. Tapi ini merupakan keputusan yang sangat singkat Siti lakukan.

“Siti ada bertemu dengan Abang Joe (Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani) dan berborak-borak mengenai hasrat untuk adakan konsert di Istana Budaya pada April.

“Jadi, Abang Joe mencari slot hari yang ada pada April, maka 7 April telah ditetapkan konsert unplugged dan hanya satu hari sahaja sebab hari lain tempat ini sudah terikat dengan persembahan lain,” tuturnya.

Sambil menyifatkan persembahannya kali ini cukup sederhana kerana diiringi enam pemuzik sahaja, Siti turut memaklumkan persiapan yang diambil bagi memastikan dirinya benar-benar bersedia juga hanya memakan masa selama dua minggu.

“Memang sangat singkat dan waktu pendek sebab Siti hanya ada dua minggu sahaja nak buat latihan dan memastikan semuanya berjalan lancar seperti apa yang dirancang. Biasanya kalau konsert ambil masa selama sebulan.

“Jujurnya memang penat sebab baru beberapa hari ini Siti terlibat membuat persembahan di majlis lain tapi apa-apa pun Siti tetap sahut cabaran kerana tak mahu sia-siakan slot yang ada itu,” ungkapnya yang mengeluarkan modal sendiri demi melihat kepuasan kerjaya seninya.

Bercakap apakah mungkin pencapaian yang ingin dia lakukan pada masa akan datang, Siti membalas dengan mengatakan bahawa dia lebih selesa andai kerjaya seninya berjalan mengikut arus semasa industri.

“Buat masa ini Siti tak boleh nak fikirkan mahu apa lagi yang hendak dicapai pada masa akan datang.

“Siti lebih selesa kiranya perjalanan seni Siti seiring dengan arus industri seni tanah air,” katanya yang masih memikirkan konsep persembahannya pada masa hadapan.