Bagaimanapun pemilihan subjek Bangladesh sebagai keutamaan, hanya Mamat sahaja yang tahu. Tetapi garapan filem ini memberikan kelainan dan nafas baharu kepada mereka yang bakal menemui penonton 9 Mac ini.

Jika dibandingkan dengan filem seperti Zombie Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah dan beberapa filem lain, tidak dinafikan Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh sedikit terkeluar dari gaya Mamat.

Satira yang cuba disampaikan oleh Mamat sebenarnya masih berbisa dengan subjek Bangladesh yang lebih antarabangsa.

Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh dimulakan dengan latar masa 20 tahun yang lalu apabila Mirdu lakonan Saiful Apek diserang oleh serigala sehingga mengakibatkan perubahan fizikal ke atas dirinya.

Tidak hanya fizikal, tingkah laku Mirdu juga menjadi ganas dan kejam hingga ramai penduduk kampung menjadi korban kerakusannya. Penduduk kampung yang sudah tidak boleh bersabar akhirnya mengambil keputusan membakar rumah Mirdu.

Mirdu yang marah dengan kejadian itu bertindak menggigit dua anak kembar Kumba (Muhamad Ikhwan) dan Kumbi (Muhamad Azwan), sekali gus menyebarkan jangkitan wabak itu sebelum dia ditembak mati.

Usop Wilcha (Shy 8) yang baru berpindah ke kawasan baharu dengan Wahab B (Sharwani NS) bertemu dengan Jaynab Ramunggei (Emma Maembong) dan tinggal berjiran serta menjalankan perniagaan bersama-sama di sebuah medan selera. Pada masa sama, wabak serigala itu sudah mula merebak di Malaysia.

Kumbi yang kini sudah dewasa juga berada di Malaysia untuk mendapatkan bantuan Jaynab bagi mengembangkan pembiakan baka serigala sekali gus melenyapkan spesies manusia di muka bumi.

Bagaimanapun semua agenda jahat ini sudah lama diketahui Pilun (Zizan Razak) iaitu seorang pekerja asing tanpa izin warga Bangladesh yang bekerja di gerai Usop.

Pilun berkali-kali cuba untuk memaklumkan kepada Usop mengenai perkara itu tetapi usahanya sering terhalang.

Kritikan

Tidak dinafikan Mamat jarang mengarahkan filem tanpa sebarang kritikan sosial. Sama juga halnya dengan filem ini yang disifatkan mempunyai maksud tersirat yang tajam.

Namun tarikan lebih tertumpu kepada subjek serigala yang datang dari Bangladesh dan membuat onar di Malaysia. Jika diamati hanya filem-filem Inggeris seperti Twilight Saga sahaja menggunakan binatang tersebut sebagai subjek utama.

Mungkin kita sendiri tidak pernah terfikir yang serigala dari Bangladesh lebih berbahaya dan kejam daripada serigala Inggeris seperti yang digambarkan melalui filem ini.

Paling terkesan apabila wabak serigala ini menyerang penduduk tempatan. Mereka (pekerja Bangladesh) tetap akan berjuang membalas dendam sekiranya diancam, dikutuk atau dimarahi oleh penduduk tempatan.

Walaupun secara keseluruhan tingkah laku serigala yang gambarkan oleh Mamat mencedok bulat-bulat filem yang pernah ditayangkan tetapi itu langsung tidak mengganggu tumpuan untuk menonton filem ini sehingga tamat.

Perkembangan watak dan penceritaan tidak terletak kepada Zizan Razak dan Emma Maembong semata-mata sebaliknya filem ini lebih tertumpu dari kaca mata Usop Wilcha yang merupakan watak utama.

Watak yang dibawa oleh Usop tetap sama. Lucu dengan dialog-dialog sinis yang dituturkan oleh pelakon ini pastinya menjadi nilai tambah kepada keseluruhan filem ini.

Mamat bijak mengolah perbezaan orang Melayu dan Bangladesh yang mencari rezeki di sini. Paling sinis apabila adegan Wahab B yang mahu pulang ke kampung kerana tidak tahan bekerja di kedai makan milik Usop.

Sikap berkenaan ternyata berlawanan dengan Pilun yang rajin bekerja. Yang cuba digambarkan oleh Mamat adalah cerminan kepada segelintir masyarakat Malaysia yang pemalas.

Filem Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh harus dimasukkan ke dalam jadual ‘mesti tonton’ bagi tahun ini. Tidak terlalu berat untuk difikirkan, filem ini juga digarap secara santai dan menghiburkan.