ARIFF AZIZ kini semakin dikenali menerusi drama bersiri Misteri Wan Peah.

Menganggap cerita-cerita itu hanya sebagai permainan industri, Ariff mengesahkan hubungannya dengan pelakon wanita itu hanyalah atas dasar persahabatan, bukan percintaan seperti yang digembar-gemburkan.

Malah pelakon ini juga mengakui, keserasian dan keselesaan yang terpamer menerusi lakonan mereka dalam drama bersiri Misteri Wan Peah menguatkan lagi desas desus tersebut.

“Kami hanya kawan. Namun saya akui selesa berkawan rapat dengan Sasqia. Dia juga memenuhi ciri-ciri wanita pilihan saya tetapi tidaklah sampai hendak bercinta.

“Apabila berlakon bersama-sama saya dapat rasakan keserasian. Sebab itu lakonan nampak hidup. Saya pun banyak belajar daripada dia tentang teknik lakonan. Malah dia juga seorang yang sangat positif.

“Ada juga peminat yang suruh kami bercinta sebab bagi mereka kami cukup serasi. Saya layankan sahaja komen-komen peminat. Tapi kalau sampai suruh bercinta betul-betul itu, mungkin tidak,” katanya.

Disogok soalan, adakah hati teruna berusia 28 tahun ini sudah dimiliki, Ariff hanya tersenyum sendiri. Mengakui sedang dalam proses mengenali hati budi, dia bagaimanapun tidak mahu terlalu tergesa-gesa dalam menjalinkan hubungan cinta.

Malah dia meletakkan had usia 35 tahun untuk berkahwin kerana baginya, kerjaya yang baru sahaja bermula memerlukan komitmen dan disiplin yang tinggi. Fokusnya hanya untuk kerjaya seni.

“Saya sendiri sedang mencari calon sesuai. Ada berkenalan dan rapat cuma sekarang rasanya lebih baik fokus dengan lakonan. Bunyi memang agak klise tapi itulah kenyataannya.

“Saya serahkan sahaja kepada jodoh. Lagipun saya bukan tergesa-gesa nak kahwin pun, masih muda rasanya. Nanti bila menghampiri umur 35 tahun, baru saya betul-betul fokus cari calon isteri pula,” selorohnya.

Dalam pada itu, pelakon yang kini sedang meningkat naik ini menyimpan hasrat untuk berlakon watak cacat. Namun saiz tubuh badannya yang sasa menjadi penghalang untuknya merealisasikan impian.

“Sukar juga berbadan sasa ini sebab ada watak-watak yang tidak sesuai. Namun kalau ada pengarah suruh saya kurangkan berat badan untuk sesuatu watak, saya akan lakukannya sekiranya berbaloi.

“Malah untuk drama Misteri Wan Peah pun saya terpaksa mengurangkan ‘ketul-ketul’ badan sebab pengarah cakap pelik dan tak sesuai dengan watak cikgu itu.

“Jadi saya lupakan gim buat seketika,” katanya. - Gambar NOOR AZLINA JAAFAR

Jangan kaitkan kami 

Bersua bicara dengan pelakon ini, memang wajahnya lebih kurang sama dengan Idris Khan. Malah tubuh badan Ariff yang sasa juga saling tidak tumpah dengan pelakon yang popular dengan drama Duda Terlajak Laris itu.

Ditanya adakah dia selesa dikaitkan dengan Idris, pelakon ini menggelengkan kepala. Baginya, setiap anak seni perlu mempunyai identiti sendiri dan dia menolak untuk naik dengan publisiti sebegitu.

“Ada peminat yang datang dan menegur saya dengan nama Idris. Saya anggap itu kebetulan dan sejujurnya, saya kurang selesa. Bukan sekali dua, banyak kali saya berhadapan dengan situasi itu.

“Malah ada juga pengarah dan produser yang menyamakan saya dengan Idris. Saya perlu mencari perbezaan terutama dari segi lakonan dan pembawaan diri. Mungkin ada yang suka tetapi saya tidak,” katanya.

Dalam pada itu, mungkin ramai yang tidak tahu, Ariff merupakan salah seorang ahli kumpulan Carla yang turut dianggotai Harris Baba. Namun pelakon ini menolak untuk meneruskan kerjaya sebagai penyanyi buat masa sekarang.

“Berlakon lebih memberi kepuasan berbanding nyanyian kerana kita membawakan pelbagai karakter. Mungkin apabila kerjaya lakonan sudah stabil, baru saya cuba menyanyi kembali,” katanya.