Malah pelakon berusia 30 tahun ini juga dilihat semakin yakin mengejar impiannya untuk mengukuhkan nama sebaris dengan pelakon sedia ada.

“Saya sudah puas berehat sebelum ini. Kini adalah masa bekerja keras dan mengejar semula impian yang tergendala sebelum ini.

“Kemunculan semula saya ini juga membawa aspirasi baharu. Ada perancangan tersendiri supaya perjalanan karier saya lebih kemas tersusun.

“Kalau dulu lainlah... Langsung saya tak fikir tentang strategi kerjaya. Main redah saja. Kemudian akur dengan telunjuk orang tentang selok-belok industri.

“Sedangkan tindakan yang sepatutnya, saya perlu menentukan sendiri keinginan saya dalam bidang ini,” kata Sasqia yang pernah membintangi filem Senario Ops Pocot dengan kumpulan Senario.

Mengulas tentang alasan berundur seketika daripada dunia seni, pemilik nama sebenar Nurlisasqia Dahuri ini berkata, dia belum cukup bersedia berdepan kehidupan sebagai artis pada waktu itu.

Justeru kata Sasqia, dia mengambil masa untuk bermuhasabah dan memperbaiki kelemahan diri.

Pun begitu, Sasqia bersyukur apabila ditawarkan watak antagonis bernama Gina dalam drama Ayuni Safira sekitar hujung tahun lalu.

Lebih manis apabila drama pertama selepas kemunculan semula itu mendapat maklum balas yang baik daripada penonton.

Begitu juga keadaannya apabila dia diberi peluang sekali lagi membawakan watak antagonis dalam drama Cik Bunga Encik Sombong.

Peluang sebegitu tidak dilepaskan kerana misinya mahu membuka mata khalayak tentang kemampuan lakonannya.

“Watak antagonis membuatkan saya menjadi lebih kreatif kerana memberikan banyak peluang untuk menerokai untuk memenuhi karektor yang diperlukan.

“Jika hendak dibandingkan dengan watak baik, saya merasakan kebanyakan watak sebegitu statik dan mengehadkan seseorang pelakon untuk ‘mewarnainya’.

“Sebab itu saya lebih seronok berlakon watak antagonis,” katanya yang sekali lagi bakal muncul dengan watak antagonis bernama Tina dalam drama Dhia Sofea tidak lama lagi.

TEROKA

Selain ingin mengukuhkan persembahan lakonannya, pelakon drama Mencintaimu yang sedang ditayangkan di televisyen ini juga melahirkan rasa teruja untuk menceburi bidang pengacaraan.

Kata anak kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang ini, pengalaman ditawarkan sebagai pengacara pada program Primadona baru-baru ini memberi peluang kepadanya untuk meneroka satu lagi bidang.

Enggan tergesa-gesa, menurut Sasqia, dia kini sedang mengasah kemahiran berkomunikasi dan melengkapkan ilmu pengetahuan sebelum benar-benar serius menceburi bidang berkenaan.

“Saya tidak kisah jika ada yang menganggap saya tamak untuk merebut peluang menerokai peluang dalam industri hiburan ini.

“Saya juga tidak peduli dengan kata-kata kononnya usia saya ini terlalu lewat untuk pergi lebih jauh.

“Biarlah orang nak cakap apapun asalkan saya tahu batas dan kemampuan diri.

“Lagipun tak salah kalau saya memberi persaingan yang sihat kepada bakat-bakat sedia ada,” ujarnya yang juga bercita-cita untuk menjadi seorang usahawan.

Berhubung soal hati pula, Sasqia memberitahu, dia masih belum memikirkan perkara tersebut. Namun Sasqia cukup optimis mengenai hal itu dan yakin dengan jodohnya.

“Saya lebih suka fokus kepada satu-satu perkara yang saya lakukan. Selebihnya saya berserah kepada Ilahi,” katanya lagi.

Saya sudah puas berehat sebelum ini. Kini adalah masa bekerja keras dan mengejar semula impian yang tergendala sebelum ini. Kemunculan semula saya ini juga membawa aspirasi baharu. Ada perancangan tersendiri supaya perjalanan karier saya lebih kemas ter­susun.