Sebagai anak sulung dalam keluarga juga banyak mengajar Wani untuk menjadi lebih matang terutama apabila melihat kesukaran ibunya, Rukiah Kalapukong, 38, menyara keluarga.

“Saya pernah melihat sendiri survival ibu yang perlu mencari duit untuk keperluan kami sekeluarga hingga sanggup berpindah ke ibu kota dari Sabah semata-mata untuk mencari pendapatan lebih.

Pelbagai kerja yang dilakukan untuk menyara keluarga. Siapa yang tak sedih melihat keadaan ibu itu hinggalah dia mendapat kerja tetap di sebuah bank.

“Kesusahan hidup yang pernah dialami itu yang menjadikan saya banyak berfikir. Saya tak boleh menjadi anak manja sebaliknya perlu berdikari seperti ibu. Jadi saya gunakan bakat nyanyian sebagai punca pendapatan dan pada masa yang sama, saya tidak boleh mengabaikan pelajaran,” kata Wani berkongsi cerita.

Wani merupakan juara pertandingan nyanyian Kamilah Bintang ketika berusia 10 tahun dan kini menjadi artis naungan syarikat rakaman Suria Records Sdn. Bhd.

Malah demi mengejar kerjaya dan pelajaran, Wani sanggup melupakan waktu rehat dan berseronok seperti rakan sebaya dan biarpun sudah mempunyai pendapatan sendiri, Wani tidak menggunakan wang dengan sewenang-wenangnya.

Tidak boros, Wani juga berjimat cermat dan menyimpan wang yang diproleh hasil daripada nyanyian untuk masa depan terutama untuk kegunaan bagi melanjutkan pelajaran ke universiti kelak.

“Setiap duit persembahan yang diterima saya terus menyimpan di bank atau diserahkan kepada ibu. Saya tak nak pegang duit banyak-banyak, takut boros. Maklumlah keinginan remaja macam-macam. Nak gajet dan makan mewah-mewah tapi saya tahan semua keinginan itu buat sementara waktu ini,” jelasnya yang hanya menyediakan sedikit bajet bagi membeli mekap dan pakaian untuk kegunaan kerjayanya sahaja.

Usahawan

Bercita-cita untuk mengikuti pengajian dalam bidang keusahawanan, Wani juga merancang untuk melanjutkan pelajaran di dalam negara kerana tidak mahu berpisah dengan ibu dan dua adiknya, Mohd. Danish Haikal, 9, dan Syazwina, 5.

“Saya jenis rapat dengan keluarga. Masa lapang saya hanya dihabiskan dengan mereka selain rakan-rakan baik saya, Mysarah Ursilan, Amirah Syafiqah dan Nur Fatihah.

“Selalunya kami berjumpa dan melakukan aktiviti bersama-sama setiap kali hujung minggu atau pada cuti sekolah. Selalu kami cari masa untuk bersama-sama. Ibu pun sudah mengenali mereka, jadi tak ada masalah untuk memberi kebenaran saya keluar dengan kawan-kawan,” ujarnya.

Berhubung impiannya dalam bidang perniagaan yang ingin diceburi, Wani memberitahu, dia berminat untuk mengeluarkan rangkaian kasut dan minyak wangi.

“Doa-doakanlah impian saya itu menjadi kenyataan. Sekarang ini sasaran saya untuk mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM. Saya mahu lebih fokus dalam pelajaran tanpa melupakan bidang nyanyian,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Sri Aman, Petaling Jaya, Selangor ini.

Terkini, Wani sedang sibuk mempromosikan single baharu berjudul Kumbang Dan Bunga selepas lagu Berteman Saja dan Jangan-Jangan mendapat tempat di hati peminat.