Biarpun tidak pernah dihalang oleh keluarga untuk bergiat aktif dalam aktiviti seni di sekolah, namun ketika itu dia lebih mementingkan bidang pelajaran. Usai tingkatan lima di Sekolah Menengah Bukit Mertajam, Pulau Pinang, dia memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Ijazah Seni Persembahan di Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 1984.

“Sejak di bangku sekolah lagi saya sering terlibat dengan lakonan, tarian dan sebagainya. Dulu persatuan seni di sekolah agak aktif. Disebabkan itu jugalah minat dalam diri ini banyak ke 
arah bidang seni. Peluang menyambung pelajaran dalam bidang tersebut juga membuka laluan ke arah seni.

“Ketika di universiti, saya memperoleh banyak peluang untuk berlakon. Jika ada masa lapang, saya akan mengikuti siri jelajah ke seluruh Kuala Lumpur bersama penggiat seni,” ujarnya.

Ketika mengikuti kursus latihan amali di Radio Televisyen Malaysia (RTM), dia didedahkan dengan tugasan di belakang tabir. Secara tidak langsung, penyertaannya itu telah membawanya mengenali lebih dekat lagi penggiat seni.

“Dulu latihan amali tak ada elaun, jadi kakitangan RTM kasihan sebab saya dan kawan-kawan tak ada duit poket. Untuk membantu, mereka menyuruh kami berlakon. Ketika itu, drama Melayu tidak banyak seperti sekarang jadi apabila dapat peluang beraksi, ramailah yang ingat lakonan kita.

“Individu yang membawa saya masuk dalam bidang seni adalah Rohani Yusuf iaitu ibu saudara kepada pelakon Ida Nerina. Masa itu dia bekerja dengan stesen TV3, jadi dia banyak tawarkan saya watak dalam drama televisyen. Bila sudah termula berlakon dan pegang duit sendiri, rasa seronok tu sangat luar biasa sampaikan tertunggu-tunggu untuk dipanggil lagi,” ujarnya.

Bermula dari peranan kecil, akhirnya dia diberi peluang untuk membawa watak yang lebih besar. Cuma ketika itu, dia lihat tawaran yang datang banyak memerlukannya untuk menjadi pelawak. Mengakui dia bukanlah seorang yang kelakar namun masyarakat di sekelilingnya berasakan sebaliknya.

“Kadang-kadang orang luar lebih tahu watak apa yang sesuai untuk kita bawa. Jadi mungkin juga kerana itu saya lebih dekat dengan watak pelawak. Sejurus tamat belajar, saya leka berlakon sampai terlupa cari kerja tetap. Tawaran berlakon pun tak putus jadi saya tak kisah pun tak ada kerja.

“Sedang seronok berlakon, pada tahun 1993, saya mendapat tawaran bekerja di Kementerian Kebudayaan sebagai Pegawai Kebudayaan. Masa itu tidak sangka pula dapat pekerjaan tetap dan saya pun cuba memperlahankan kerjaya seni untuk memberi tumpuan kepada kerjaya.

“Walau bagaimanapun genap dua tahun bekerja, saya tidak boleh tipu diri dan sedar jiwa ini lebih kepada lakonan. Tanpa berfikir panjang, saya meletakkan jawatan. Biarpun keluarga terkejut dengan keputusan tersebut, namun bagi saya itulah pengorbanan besar kerana terlalu sayangkan dunia seni,” ujarnya yang juga aktif dalam tarian.

 

HASRAT BELUM TERCAPAI

Dikenali dengan watak Pak Selamat dalam sitkom Spanar Jaya, dia juga pernah mencipta nama di Singapura apabila terpilih sebagai pelakon dalam drama bersiri Under One Roof. Selain itu, pada tahun 70-an dan 80-an, Zaibo juga terkenal kerana mampu menari ala John Travolta, seorang penari profesional Hollywood.

Lebih 30 tahun bergelar pelawak, dia mengakui menyimpan hasrat untuk membawakan watak berkaitan bidang psikologi. Namun impian itu masih belum tercapai lagi.

“Saya inginkan watak orang tua yang ada konflik dalam diri sendiri dan masyarakat tetapi bukanlah jalan cerita yang klise seperti yang biasa kita lihat. Sebab bagi saya, watak seperti ini bermain dengan emosi dalaman yang berat. Ia memerlukan penghayatan yang luar biasa,” tuturnya.

Selama bergelar anak seni, pelakon yang juga bekas pengacara program Redah Kasi Pecah Ekstravaganza ini bersyukur kerana dunia seni telah membuka jiwanya untuk menyelami jiwa orang lain melalui watak yang dilakonkan.

“Kalau tak jadi pelakon mana mungkin kita boleh berlakon jadi orang lain. Ilmu lakonan ini sebenarnya mampu mengembangkan minda. Banyak cabaran yang perlu dilalui. Saya belajar satu perkara, hidup ini penuh dengan kepalsuan. Hanya dengan akal dan fikiran kita dapat bertindak secara waras,” ujarnya.

Tambahnya lagi, ada ketikanya peminat di luar sana menganggap seorang pelawak itu adalah individu yang sama seperti karakter yang dibawa dalam televisyen. Sehinggakan mereka tidak dapat menerima jika pelawak di hadapan mereka tidak mampu membuat mereka ketawa ketika terserempak di luar.

“Peminat tidak dapat membezakan situasi tersebut. Pelawak adalah dua orang yang berbeza. Jika dalam televisyen tugas mereka membuat orang ketawa tetapi di luar, mereka adalah individu biasa sama seperti orang lain. Ada perasaan letih, marah dan sebagainya,” tuturnya.

 

DERITA KANSER TAHAP EMPAT

Terbaru, dunia seni tanah air terkejut apabila Zaibo disahkan menghidap penyakit kanser esofagus. Lebih memeranjatkan lagi, penyakit tersebut sudah pun berada di tahap empat. Biarpun masih bersedih namun dia reda dengan ketentuan yang telah tertulis.

Bercerita dengan lanjut tentang penyakit itu, menurut Zaibo, semuanya bermula ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu. Ketika itu dia sering tersedak dan muntah sejurus menikmati makanan. Pelik dengan keadaan dirinya, dia terus ke klinik untuk mengetahui punca sebenar.

“Setiap kali makan, saya mesti tersedak teruk. Bila muntah, baru rasa lega. Mula-mula doktor ingatkan ada masalah usus, jadi dia bekalkan ubat. Walaupun makan ubat, ia tetap berulang lagi sehinggalah saya pergi ke hospital dan disahkan menghidapi penyakit kanser.

“Masa doktor cakap suruh bersabar, saya dah agak mesti ada yang tak kena. Mula-mula tak dapat terima juga yalah kita tahu diri kita sihat tak pernah sakit tiba-tiba kena kanser dan tahap empat pula. Lama juga saya ambil masa untuk tenangkan diri dan terima dengan hati terbuka,” ujarnya sedih.

Kini tiada apa yang difikirkan lagi selain berusaha untuk memulihkan tahap kesihatan. Selain daripada menanti waktu untuk sesi kemoterapi dan beberapa prosedur perubatan, dia juga ada mencuba beberapa rawatan alternatif yang lain.

“Saya mencuba pelbagai cara untuk mengubati penyakit ini. Sejak berita ini tersebar, ramai rakan-rakan artis dan peminat yang memberi semangat dan menghulurkan bantuan. Terima kasih banyak-banyak. Doakan kesihatan saya bertambah baik,” ujarnya terharu.

Zaibo yang kini berusia 62 tahun berkahwin dengan Siti Hawa Sawal, 52, pada tahun 2010. Sejak itu dia mengambil keputusan untuk menetap di Rengit, Batu Pahat bersama isteri dan sembilan orang anak tirinya. Antara drama dan filem lakonan Zaibo adalah Tari Tirana, Queen Control, Soalnya Siapa?, Lu Pikirlah Sendiri The Movie dan banyak lagi.