Zayan boleh diikuti menerusi frekuensi 104.9FM di Lembah Klang, Alor Star (98.1FM), Ipoh (106.4FM), Melaka (98.9FM), Johor Bahru(92.8FM) dan Kuantan (91.6FM), merupakan stesen berbahasa Melayu keempat di bawah naungan Astro Radio.

Sementara itu, penyampai radio Zayan adalah juara Akademi Fantasia(AF) musim ketiga Mawi, bekas penyanyi kumpulan nasyid, Anas, penyanyi lagu ketuhanan Raqib, Falyqdan pengacara rancangan Bismillahdduha (Astro Oasis), Lin Ariffin.

Pengurus Kandungan Zayan, Wan Syahrul Amry Wan Mansor berkata, Zayan menyediakan pelbagai kandungan menarik yang menepati cita rasa para pendengar di Malaysia.

“Zayan menyediakan pelbagai kandungan yang merangkumi fesyen, teknologi, hiburan dan gaya hidup terkini berlandaskan gaya hidup Muslim moden kontemporari. Gelombang baharu ini tertumpu kepada golongan pelajar-pelajar dan dewasa bekerjaya serta pendengar muda alaf baru yang sentiasa aktif menerokai dunia dan berkongsi pengalaman mereka.

“Stesen ini turut menawarkan alternatif yang lebih baik untuk para pendengar khususnya golongan Muslim moden kontemporari, yang mementingkan pengisian positif dalam mendasari dan memenuhi kehidupan seharian mereka. Kami menampilkan barisan personaliti radio yang bertenaga, kreatif, trendy, peramah, ceria dan mempunyai prinsip hidup yang tinggi,” katanya.

Tambahnya, muzik yang ditawarkan di saluran Zayan merangkumi muzik tempatan dan antarabangsa yang menyampaikan mesej-mesej yang baik.

Antara segmen yang disediakan di Zayan adalah Salam Bros Mawi & Anas (6 pagi - 10 pagi), #ZOTD Lin Ariffin (10 pagi - 3 petang), Zayan Valet Raqib (3 petang - 7 malam), Zayan Fikir (7 malam - 8 malam) dan Zayan Cafe Falyq (8 malam - 12 tengah malam). UTUSAN ONLINE