Menurut juara program realiti Mentor 5 dan 3 Juara itu, dia amat terharu apabila lagu nyanyiannya, Akhirnya Cinta mula dimainkan di stesen-stesen radio lain kerana sebelum ini hanya diputarkan di Hot FM sahaja.

Malah, isteri kepada finalis Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9), Azri Abdullah itu menyedari, video persembahannya ketika menyertai AJL32 yang lalu mendapat tontonan tinggi di laman YouTube.

“Sehari selepas AJL32 tamat pada 11 Februari lalu, ada maklum balas daripada peminat yang menyampaikan kepada saya bahawa mereka mendengar lagu Akhirnya Cinta di sebuah stesen swasta.

“Sebelum ini lagu ciptaan abang Ajai dan liriknya ditulis oleh abang Slen itu tidak kedengaran dimainkan di stesen tersebut.

“Saya terharu atas impak yang diterima menerusi penganjuran pertandingan berprestij itu. Walaupun tidak memenangi sebarang trofi, tetap ada hikmahnya,” ujarnya kepada Utusan Online.

Dalam pada itu, penyanyi yang berasal dari Tawau, Sabah itu berbangga apabila mendapat tahu lagu Akhirnya Cinta telah mula mendapat tempat di hati peminat muzik tanah air.

Katanya, menerusi aplikasi Smule, ramai yang mula cuba-cuba menyanyikan lagu tersebut.

“Bukan sahaja orang awam, malah ada juga penyanyi sedia ada yang ‘cover’ lagu itu. Memang rasa bangga,” akuinya.

Salma menyatakan, selaku artis yang bernaung di bawah syarikat pengurusan milik Ajai, dia mengikut sahaja percaturan komposer terkenal itu dalam memilih lagu yang bersesuaian dengan vokalnya.

“Insya-Allah, saya akan keluar dengan single seterusnya dan proses tersebut akan dimulakan dalam masa terdekat.

“Terima kasih kepada semua peminat yang tidak pernah putus memberi sokongan kepada saya selama ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE