Jangan lekas membuat tohmahan. Salina Saibi cuma berbuat demikian jika di depan kamera sepanjang penggambaran drama Gerak Khas sahaja.

Pemegang watak Asisten Supritendan Salina dalam drama popular bercorak kepolisan itu, meskipun sedang hamil anak kedua tetap memberikan komitmen penuh terhadap drama terbitan Skop Production itu yang berbaki enam episod untuk ditamatkan.

Kalau di luar set, tidak mungkin pelakon ini mahu menyembunyikan kandungannya yang kini sudah mencecah tujuh bulan.

Bercerita tentang kandungan dan kerjaya kata Salina, sayang sekali untuk dia tiba-tiba 'bercuti’ daripada penggambaran tersebut hanya kerana dia hamil sedangkan masih terikat dengan tugasnya dengan keseluruhan tenaga produksi.

“Sebenarnya saya tak rasa tekanan pun berlakon untuk drama lasak ini walaupun sedang berbadan dua. Alhamdulillah, Datuk Yusof Haslam adalah seorang penerbit yang memahami. Dia telah merombak sedikit jadual penggambaran termasuk tidak membenarkan saya buat aksi lasak untuk menjaga kandungan.

“Banyak babak dibuat di pejabat dan duduk. Itu yang kadangkala boleh nampak saya tutup-tutup perut dengan fail dalam episod-episod sebelum ini sebab kita tak boleh ubah watak ASP Salina tu.