Tempoh yang panjang itu membuatkan Salina menganggap kerjaya sebagai pelakon drama tersebut sudah menjadi pekerjaan tetap buat dirinya yang kini sudah bergelar isteri dan memiliki dua cahaya mata.

“Sejak melahirkan anak, Datuk (Yusof Haslam) memberi banyak kelonggaran kepada saya. Misalnya saya dibenarkan mengambil cuti pada hari minggu dan waktu kerja yang lebih fleksibel. Dengan itu, saya dapat mengurus rumah tangga dan anak-anak tanpa masalah,” ujar Salina kepada S2.

Salina yang ditemui S2 baru-baru ini berkata, walaupun sudah sedekad berlalu, namun dia tidak pernah berasa bosan memegang watak sebagai seorang anggota polis.

Ini kerana katanya, watak itu sudah sebati dengan diri dan jiwanya yang lasak.

Katanya, sepanjang bergelar pelakon, sudah banyak watak yang dipegangnya, namun watak sebagai pegawai polis dalam drama bersiri Gerak Khas tetap menjadi kegemarannya.

“Tidak tahu kenapa, tetapi watak Asisten Suprintendan Salina bagaikan diri saya sendiri. Saya memang suka dengan watak lasak dan tegas seperti itu.

“Walaupun saya sudah cuba pelbagai watak lain, namun watak pegawai polis ini juga yang paling saya suka,” katanya.

Tambahnya, watak itu tidak dapat lari daripada dirinya apabila dia turut menerima tawaran untuk berlakon di dalam sebuah filem yang diterbitkan di Bangladesh, Dhaka Attack pada 2016. Di dalam filem itu, dia menggalas watak seorang anggota polis.

Dalam pada itu, katanya, watak sebagai seorang anggota polis mempunyai keterbatasan yang telah ditetapkan bagi menjaga sensitiviti pihak terlibat.

“Saya sudah dimaklumkan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dibuat ketika melakonkan watak sebagai anggota polis di dalam Gerak Khas,” katanya.

Salina berkata, bagi memastikan dia betul-betul menjiwai watak sebagai pegawai polis, dia sering bergaul dengan anggota polis sebenar bagi mendapatkan pengalaman menjalankan tugas sebagai anggota pasukan keselamatan itu.