Sukar untuk meleraikan persoalan yang berlaku dalam hubungan Saleem dan penyanyi Syafiq Farhain.

Sebagai orang luar, yang boleh dikatakan, mungkin ada sengketa yang membuatkan hati si bapa terguris. Bagaimanapun dalam hal ini hanya pihak Saleem dan Syafiq sahaja yang mampu selesaikan perkara yang berbangkit. Kita hanya mampu berdoa agar hubungan anak beranak ini kembali pulih.

Sementara itu antara watak ketiga yang menjadi perhatian dalam kontroversi ini adalah isteri kepada Saleem iaitu Julia Bachok. Begitu lantang memperjuang nasib suaminya, ketika ini Julia juga dilihat sebagai pihak yang cuba memecahbelahkan hubungan dua beranak ini.

Menolak itu yang cuba dilakukan, Julia berkata, sebagai pengurus kepada Saleem, dia hanya memperjuang nasib artis bawah jagaannya.

“Mereka di luar sana kena faham, di luar saya adalah pengurus Saleem, hanya di rumah saya sebagai isterinya. Dalam hal ini saya tidak mahu komen mengenai hubungan penyanyi (baharu) itu dengan suami saya.

“Yang mahu saya perjuang kini adalah bagaimana syarikat rakaman Music Valley Malaysia (MVM) boleh membenarkan penyanyi itu menggunakan nama artis saya untuk tujuan promosi singlenya. Ini sepatutnya tidak berlaku kerana (perkara) itu tidak profesional,” ujarnya.

Enggan mengulas lebih lanjut mengenai dakwaan yang mengatakan dia merupakan orang ketiga dalam hubungan anak beranak ini, kata Julia, dia tidak pernah peduli dengan kata-kata orang mengenai dirinya.

“Saya tidak kisah dengan apa sahaja kata orang mengenai diri saya. Biar orang menghina saya tetapi bukan artis saya,” katanya tegas.

Mega HITS berkesempatan bertemu empat mata dengan Julia dan Saleem serta wakil MVM di pejabat syarikat rakaman itu ketika pasangan tersebut ke sana untuk meminta penjelasan dan permohonan maaf daripada pihak MVM berikutan kemelut yang berlaku pada petang Rabu lalu.

Saleem pertahan isteri

Mengenai dakwaan yang mengatakan dia membenci penyanyi yang juga anaknya itu, kata Saleem, sepatutnya perkara ini tidak dilihat dari sudut tersebut.

“Bukan soal benci, yang saya tidak mahu adalah mengambil kesempatan ke atas nama saya untuk cepat popular.

“Jika benar dia mempunyai bakat, buktikan tanpa menggunakan nama saya. Sebab saya juga melalui perkara yang sama tanpa bantuan sesiapa,” kata Saleem.

Menolak dakwaan isterinya adalah ‘batu api’ dalam hal ini, Saleem memberitahu, dia yakin isterinya itu hanya mempertahan haknya sebagai seorang penyanyi.

“Dia bukan batu api. Dia adalah isteri yang baik untuk saya. Jadi mereka di luar sana jangan memberi komen tanpa mengetahui perkara yang berlaku,” katanya. - Gambar ZAINI HUSIN

Syarikat rakaman mohon maaf

Dalam pada itu Pengarah Urusan MVM Production, Rumhadi Rumnan mengakui kesilapan yang dilakukan pihaknya dan berjanji yang perkara seperti ini tidak akan berlaku pada masa depan.

“Di sini saya ingin membuat permohonan maaf secara terbuka dan saya akui pihak kami ada menggunakan nama abang Saleem bagi tujuan mempromosi lagu baharu Syafiq Farhain.

“Dan saya juga ingin memohon maaf di atas tersiarnya satu tajuk artikel temu bual sebuah portal online di mana tajuk yang diketengahkan dilihat telah melukakan hati abang Saleem.

“Dan saya berjanji bermula hari ini kami tidak lagi menyentuh nama abang Saleem bagi tujuan promosi Syafiq,” katanya.

Tambah Rumhadi pihaknya juga akan bertanggungjawab untuk mengeluarkan apa sahaja kandungan promosi Syafiq di YouTube yang menggunakan nama Saleem.

“Kami akan keluarkan jika bahan tersebut datang daripada pihak kami.

“Namun yang kami takutkan jika bukan pihak kami yang lakukan,” katanya.