Berpeluang menjelaskan keadaan sebenar, kongsi Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 26, kenyataan yang dikeluarkan bukan datang dari mulutnya, tetapi daripada pihak lain. Malah apa yang berlaku juga lebih kepada salah faham sahaja.

“ Saya diajukan soalan mengenai pandangan beberapa pihak yang mengatakan saya dan Tajul tidak lagi sesuai untuk berduet. Jadi, bukan saya yang mengeluarkan perkataan tidak relevan itu.

“Cuma, saya akui tahu ada beberapa pendapat yang mengatakan saya dan Tajul tidak relevan untuk disatukan lagi,” katanya jujur.

Sentiasa positif dalam menerima kritikan demi kelangsungan kariernya, tambah Wany, dalam soal

 

ini dia tidak akan memandang remeh akan pandangan yang disuarakan. Bagaimanapun, Wany tidak menolak faktor lagu dan kelebihan nyanyian solo lebih menyerlah menyebabkan anggapan itu dilontarkan kepada mereka berdua.

“Mungkin ada yang lebih senang melihat kami menjadi penyanyi solo atau ada yang mahu melihat kami berduet dengan penyanyi lain pula.

“Dalam soal ini memang saya ada bincang dengan pihak pengurusan memandangkan kita perlu menerima pandangan orang di luar sana,”

“Kena ada idea tentang pilihan lagu duet kami pada masa hadapan sebab sekarang orang lebih suka akan lagu-lagu yang lebih jelas selain sesuai dengan pendengar kini,” katanya lagi.

Remuk dan sedih, itu perasaan yang digambarkan Tajul ketika diberitahu mengenai kenyataan yang kononnya dikeluarkan rakan duetnya itu. Tidak menyangka keadaan itu sekadar salah faham, Tajul pada mulanya akui agak kecewa.

 

“Memang terkejut sebenarnya bila saya ingat dia keluarkan kenyataan seperti itu. Malah untuk sedapkan hati saya anggap dia hanya buat gimik untuk lagu duet terbaharu kami berjudul Aku Serius.

“Tetapi bila sudah dijelaskan Wany baru saya faham akan situasi sebenar dan kami tidak ada masalah,” katanya.

Malah, dia tidak perlu berasa runsing dengan pendapat pihak luar yang dia dan Wany kini dilihat bukan lagi pasangan duet pilihan. Tajul atau nama sebenarnya Tajul Ariff Noor Md Shari, 20, yakin yang paduan suaranya dengan Wany masih menjadi pilihan.

“Bila sudah mempunyai tiga lagu duet mungkin setiap orang ada pandangan masing-masing. Saya tidak mahu nafikan ada peminat yang masih menyokong kami untuk teruskan berduet.

“Saya masih selesa untuk terus digandingkan dengan Wany dan berharap Aku Serius bukan lagu terakhir untuk kami bekerjasama,” katanya.

Tidak melihat keserasian itu menyebabkan dia perlu menolak peluang untuk berduet dengan penyanyi lain, kongsi Tajul, sama seperti Wany dia juga terbuka dan bersedia untuk berduet dengan penyanyi lain sekiranya diberi peluang.

“Saya akui buat masa ini saya selesa dengan Wany sebab sudah biasa. Malah, dia juga seorang yang mudah bekerjasama. Tetapi tidaklah kami menutup peluang untuk berduet dengan penyanyi lain.

“Boleh sahaja berduet dengan penyanyi lain, malah kalau diberi pilihan saya teringin untuk berganding dengan penyanyi hebat seperti Misha Omar,” katanya lembut.

Ketika orang di luar sana melihat gabungan mereka tidak lagi relevan, bagi Wany pula dia sentiasa selesa dengan kehadiran Tajul dalam perjalanan seninya. Malah, dia juga tidak melihat perlu mereka menghentikan kerjasama yang sudah terjalin selama ini.

“Saya faham mungkin ada yang melihat saya tersekat dengan Tajul. Jujurnya saya tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan orang lain. Malah saya yakin dapat memberikan pengalaman baharu jika berduet dengan orang lain pula.

“Namun, dalam waktu ini saya tidak ada masalah untuk terus berduet dengan Tajul. Sebabnya antara kami juga sudah lebih jelas dengan cara kerja masing-masing,” katanya.

Sentiasa menghormati keputusan pihak pengurusan dalam merangka kerjaya mereka berdua, namun dalam masa yang sama ada yang perlu disuarakan Wany agar dia dan Tajul lebih kompetitif dalam bersaing sebagai antara penyanyi remaja pilihan.

“Barangkali untuk masa hadapan, kami perlu lebih bijak memilih lagu-lagu yang berkualiti.

“Rasanya bukan saya seorang sahaja yang mahukan lagu-lagu yang mempunyai nilai `pertandingan’, tetapi penyanyi lain juga. Sebab ini juga antara kepuasan yang kami cari sebagai penyanyi,” jelasnya.