Rindu itu bertandang lagi apabila tibanya Syawal.

“Saya antara cucu yang sangat rapat dengan opah. Terlalu banyak kenangan manis kami bersama. Setiap kali tibanya hari raya, arwah adalah orang yang saya paling rindu. Memang sakit rindukan orang yang telah tiada, hanya doa yang saya berikan,” kata Wany dengan nada sayu.

Wany Hasrita

Justeru, Syawal yang sudah seminggu berlalu diraikan dalam keadaan sederhana di kampung sebelah ibunya di Bagan Datuk, Perak lantaran ingatan Wany tidak pernah putus buat opah tercinta.

“Saya masih ingat lagi pada awal pagi raya arwahlah yang akan membuka lampu kelip-kelip yang diiringi muzik lagu hari raya. Suaranya menjerit ‘bangun, pergi mandi’ masih terngiang-ngiang dalam kepala saya sehingga ke hari ini.

“Pagi-pagi lagi saya dan cucu-cucu lain kena leter olehnya. Kerana malas nak dengar leterannya, kami terus bangun dan mandi. Peliknya, sekarang saya rasa rindu sangat dengan suaranya,” luah Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 26.

Paling kekal dalam ingatan Wany adalah juadah masakan opahnya iaitu rendang dan bubur kanji yang bagi penyanyi ini tiada siapa yang boleh menandingi masakan tersebut.

Dalam masa sama, Wany juga melahirkan rasa sedih apabila saudara sesama Islam di Palestin beraya dalam keadaan serba kekurangan akibat peperangan.

Wany meluahkan rasa syukurnya kerana masih sempat beraya dalam suasana yang meriah dan aman.

“Dalam kita bergembira, saya turut terkenangkan kesulitan umat Islam di Palestin yang beraya dalam kesedihan dan serba kekurangan. Kita di sini makan sedap dan berpakai cantik, mereka di sana dalam ketakutan dan berjaga-jaga.

“Setiap kali muncul video tentang umat Islam di Palestin, saya tidak dapat menahan sebak melihat mereka dalam kesengsaraan sedangkan saya di sini aman dan damai.

“Kita sepatutnya bersyukur dengan apa yang ada sekarang. Hargailah keamanan dan tali persaudaraan sesama Islam. Jagalah hubungan walaupun berjauhan.

“Jangan terlalu obses dengan laman sosial yang boleh menyebabkan sebaran fitnah berlaku yang boleh mengakibatkan perpecahan masyarakat,” kata Wany yang baru sahaja muncul dengan lagu Menanti Aidilfitri bersama-sama artis wanita syarikat rakaman FMC iaitu Wani Shaz, Muna Shahira dan Wan Azlyn.