Hisham, 71, yang kini berada di Tanah Suci berada dalam keadaan yang sihat meskipun pergerakannya agak terbatas kerana masalah sakit kaki. 

"Syukur kerana saya berjaya juga menunaikan umrah buat kali pertama walaupun terpaksa menggunakan kerusi roda. 

"Kalau berjalan kaki, memang saya tidak mampu sebab kaki saya sudah tidak kuat untuk bergerak  jauh. 

"Ini pun masih terasa bisa-bisa di kaki bila terlalu lama duduk di kerusi roda," kata Hisham yang pernah menunaikan haji beberapa tahun lalu. 

Berbekalkan ubat sepanjang 10 hari berada di Tanah Suci, Hisham tetap berusaha menunaikan solat di Masjidilharam. 

"Tetapi saya tidak mahu memaksa diri kerana terlalu ramai jemaah. Bila rasa tidak sihat, saya sekadar solat di bilik," katanya. 

Mengenai dunia lakonan,  bekas kakitangan kerajaan ini masih berhasrat meneruskan bidang tersebut walaupun sudah tiga tahun tidak berlakon. 

"Saya masih boleh berlakon dan masih berminat dengan dunia ini selepas bertahun-tahun terlibat dalam bidang ini. Cuma tawaran itu sudah berkurangan. 

"Barangkali orang ingat saya sudah berhenti berlakon kerana faktor kesihatan," kata Hisham.

Pelakon ini antara 10 insan seni dan atlit kebangsan veteran yang terpilih  mengerjakan  umrah yang dianjurkan oleh Pejabat Penasihat Perdana Menteri dengan kerjasama Yayasan Perpaduan Ummah (YPU) dan Yayasan Mustika Kasih menerusi Program Penggiat Seni 2.0. 

Selain Hisham, turut terpilih ialah penyanyi Amir Ukays, pelakon Rashidah Jaafar,,  Zulkifli Abdul Ghani, Masitah Md. Isa, Sapri Ibrahim dan tiga atlit kebangsaan iaitu  bekas pemain bola sepak negara, Syed Ahmad Abu Bakar, bintang sukan angkat berat, Rameli Manap dan pesilat kebangsaan, Ramliee Ahmad. 

Januari lalu seramai 30 jemaah yang kesemuanya terdiri daripada penggiat seni adalah kumpulan pertama yang diberi peluang tersebut. 

Program ini adalah cetusan idea Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika meraikan insan seni pada majlis berbuka puasa di kediamaan beliau di Seri Perdana, Putrajaya, tahun lalu yang kemudian seterusnya direalisasikan oleh YPU. - UTUSAN ONLINE