Sebaliknya, sudah bertahun-tahun hasrat itu dikongsi dengan penulis betapa hati kecilnya terlalu mendesak beliau untuk menambah ‘ahli keluarga’ yang lebih besar yang berada di seluruh pelosok negara tanpa mengira latar belakang kehidupan, batasan agama, kaum dan usia.

Bagi Aznil, dalam kehidupan yang sudah memungkinkan beliau memiliki segala-gala yang diperlukan dalam hidup, yang paling utama kini ialah berkongsi dengan orang lain.

Kalau bukan wang ringgit, masa, ilmu, kepakaran, tenaga dan pengalaman, kasih sayang juga sedia diperuntukkan kerana beliau sedar yang ada padanya hari ini semuanya pinjaman semata-mata.

Lalu, titik kesedaran yang terbit dari jiwa murni Datuk Aznil Nawawi membawa kepada penubuhan Yayasan Pesona iaitu platform terbaik untuk beliau melakukan kerja-kerja kemasyarakatan.

Berbeza dengan yayasan yang sedia ada, Yayasan Pesona ilham peribadi Aznil selain menjadi perantara untuk membantu golongan yang memerlukan, paling utama akan memberikan tumpuan kepada aspek membangunkan generasi muda yang berketrampilan, memiliki keyakinan diri, berani berkongsi pendapat dan akhirnya melahirkan seorang individu yang dihormati dan disegani.

Lantaran keperibadian beliau yang sentiasa menawan segenap hati para peminat serta seluruh anggota masyarakat selain kemasyhuran yang disandang kerana kejayaannya mengekalkan kedudukan sebagai personaliti televisyen ternama tanah air menyebabkan Aznil terarah untuk membentuk peribadi generasi muda.

Kerana itu, kunjungan sulung beliau bersama Yayasan Pesona ke Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Ulu Tebrau dan Sekolah Kebangsaan Felda Ulu Tebrau, Ulu Tiram, Johor hujung minggu lalu memberikan makna yang sangat istimewa buatnya.

Masakan tidak, dengan jumlah penyertaan pelajar dari kedua-dua buah sekolah yang berjumlah lebih 1,000 orang memberikan petunjuk bahawa keputusannya memilih untuk memberi pendedahan dan berkongsi ilmu pembinaan peribadi yang menawan menerusi platform Yayasan Pesona sangat tepat.

“Sungguh di luar jangkaan. Saya terlalu gembira melihat wajah-wajah kegembiraan para pelajar di kedua-dua sekolah ini. Mudah-mudahan perkongsian yang dibuat akan memberi manfaat kepada anak-anak yang bersekolah di sini,” katanya kepada Mega Hits.

Beruntungnya Aznil atau lebih senang disapa Pak Nil dalam kalangan para peminat ialah aura dan kesederhanaan personalitinya yang menyebabkan ikatan kasih sayang antara beliau dengan para pelajar sekolah berkenaan terjalin dengan begitu mudah sekali.

Di hadapan pelajar kedua-dua sekolah berkenaan, Aznil menggunakan sepenuhnya ruang selama dua jam berkongsi pengalaman sepanjang hampir tiga dekad dalam industri hiburan berhubung kepentingan memiliki keyakinan diri.

“Saya memikirkan sudah sampai masanya saya turun padang dan bertemu anak-anak muda dan berkongsi pengalaman serta menyuntik inspirasi bahawa dalam hidup setiap daripada kita tidak ada yang mustahil untuk dicapai.

“Namun untuk mencapai kejayaan atau cita-cita itu, setiap orang harus memiliki keyakinan diri yang tinggi, berani menyuarakan pendapat, menjaga budi bahasa, keperibadian dan sebagainya.

“Inilah intipati pengisian program saya menjelajah ke sekolah-sekolah di seluruh negara menerusi platform Yayasan Pesona,” ujarnya.

Tercapai cita-cita

APABILA Yayasan Pesona berjaya direalisasikan, Aznil menyedari tugasnya semakin besar manakala tanggungjawabnya juga tidak akan habis. Bagaimanapun, semua itu tidak pernah menjadi alasan kenapa beliau harus takut melalui satu lagi fasa penting dalam kehidupannya.

Yayasan Pesona merupakan lambang kasih sayang beliau terhadap masyarakat serta keprihatinannya dalam melahirkan generasi muda yang memiliki keperibadian menawan, elegan serta berbudi bahasa.

Kepada beliau, biarlah wang ringgit, masa dan tenaga dikongsi dengan masyarakat kerana inilah masa yang telah Allah tentukan untuk beliau memberi semula kepada orang ramai.

“Saya tidak tahu bagaimana mahu gambarkan rasa gembira dan terharu kerana akhirnya Yayasan Pesona direalisasikan. Saya mahu memastikan misi dan visi saya dalam Yayasan Pesona mencapai objektifnya. Insya-Allah jika ada rezeki, masa dan diberikan kesihatan yang baik, saya akan menjelajah ke seluruh negara untuk bertemu dengan masyarakat,” jelasnya.

Sebagai individu yang mengasaskan sebuah yayasan, kita harus memahami dan menyedari bahawa tokoh seperti beliau tidak akan sesuka hati menubuhkan badan seperti Yayasan Pesona seandainya bukan kerana mahu melakukan pelaburan dalam menghadapi masa depan.

Apa lagi, mengasaskan sebuah yayasan menuntut iltizam yang amat tinggi kerana merupakan sebuah legasi yang berkait rapat dengan perihal kerja-kerja kemanusiaan.

Namun mengenali Aznil, beliau memiliki disiplin dan semangat yang kental untuk menyahut cabaran dan melaksanakan tugas-tugas yang ada kaitan dengan masyarakat.

Ditanya, apakah ini pelaburan saham akhirat beliau, Aznil memberikan penulis jawapan yang meninggalkan makna yang sangat mendalam.

“Biarlah kau (penulis) menjadi saksi hidup terhadap yang saya lakukan. Kau lihat dan tafsir sendiri kenapa saya asaskan Yayasan Pesona. Satu hari nanti kau akan dapat jawapannya,” kata Aznil mengakhiri perbualan.

Imam tersentuh peribadi Aznil

JIKA anak-anak kecil meminati Aznil kerana kebaikan dan kebijaksanaannya menawan hati sesiapa sahaja, Ustaz Mohamad Din Bahran harus mengakui kebenaran kata-kata itu selepas melihat betapa personaliti itu menjadi seorang insan yang sangat ‘kerdil’ sekalipun merupakan seorang personaliti yang sangat masyhur di seluruh negara.

Di mata Ustaz Mohamad Din, Aznil saling tidak ubah seperti seorang anak watan yang kembali berbakti pada desa yang melahirkannya.

“Dia (Aznil) macam anak jati Felda Ulu Tebrau. Kedatangannya ke sini benar-benar menyentuh hati saya dan orang kampung. Bukan hanya datang membawa ilmu untuk dikongsi dengan anak-anak muda bahkan saya sendiri berpeluang berkongsi ilmu yang ada dalam dadanya.

“Paling membuatkan saya sebak melihat Aznil ialah bagaimana dia menghormati dan mendahului warga emas. Cara dia menyantun kami, berkongsi rezeki, bercerita dan berbual menggambarkan betapa dia dibesarkan dalam sebuah keluarga yang mementingkan kasih sayang dan rasa hormat,” ujar Ustaz Mohamad Din yang juga salah seorang daripada imam di Masjid Al-Falah, Felda Ulu Tebrau merumuskan keperibadian ‘anak angkatnya’ itu.

Seandainya, masyarakat Felda Ulu Tebrau menerima kehadirannya dengan tangan terbuka, Aznil pula merasakan beliau memasuki penempatan peneroka di sana dengan langkah kanan memandangkan sambutan diberikan buatnya sungguh luar biasa.

Kunjungan beliau dengan pasukan Yayasan Pesona ke penempatan peneroka di felda berkenaan diterima seperti orang kenamaan. Setiap penduduk di situ berbesar hati menerima kehadirannya. Layanan yang diberikan kepadanya juga benar-benar menyentuh hati.

Bagi anak bandar sepertinya yang dibesarkan di Kuala Lumpur, peluang tiga hari dua malam bersama penduduk Felda Ulu Tebrau menjadi rakaman paling indah sepanjang 56 tahun kehidupannya.

Dalam setiap pertemuan dan aktiviti kemasyarakatan sepanjang Program Bersama Pak Nil itu, pengacara program realiti Akademi Fantasia yang juga Perunding Kreatif di stesen televisyen Astro itu menemui makna kasih sayang dan kebahagiaan.

Duduk bersila menikmati Nasi Ambeng, bergaul mesra dengan jemaah masjid, ketua kampung, imam, wakil persatuan belia, guru-guru serta masyarakat setempat memberikan terjemahan yang sangat besar mengenai kepentingan hidup berteraskan kasih dan sayang.

“Saya melihat sebuah kehidupan dari sisi yang berbeza. Kesederhanaan, berjiwa besar, kesantunan dan keramahan penduduk di sini membahagiakan saya,” kata Aznil merumus pengalaman singkat di kampung keluarga baharunya itu.